Benarkah Kita Takut kepada Allah?
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Takut kepada Allah adalah satu kewajipan. Sesiapa yang tidak takut kepada Allah di dunia ini akan takut pada hari kiamat, sebagaimana hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya:
وَعِزَّتِي لاَ أَجْمَعُ عَلَى عَبْدِي خَوْفَيْنِ وَأَمْنَيْنِ، إِذَا خَافَنِي فِي الدُّنْيَا أَمَّنْتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَإِذَا أَمِنَنِي فِي الدُّنْيَا أَخَفْتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Demi keagungan-Ku, tidak akan Aku kumpulkan dalam diri hamba-Ku dua ketakutan dan dua keamanan. Jika dia takut kepada-Ku di dunia maka akan Kuberi keamanan di akhirat, dan jika dia merasa aman dari-Ku di dunia, akan Aku buat dia ketakutan di hari kiamat”.
Hanya saja rasa takut yang sebenar kepada Allah bukan sekadar di bibir, tetapi terpancar dalam hati, sikap, perbuatan dan perkataan.
Abu Laits memetik kata-kata Al-Rabî’ bin Khaitsam yang menyatakan:
عَلَامَةُ خَوْفِ اللَّهِ تَعَالَى يَتَبَيَّنُ فِي سَبْعَةِ أَشْيَاءَ:
Tanda bahawa seorang hamba itu takut kepada Allah Taala terlihat dalam tujuh perkara:
أَوَّلُهَا: يَتَبَيَّنُ فِي لِسَانِهِ، فَيَمْتَنِعُ لِسَانُهُ مِنَ الْكَذِبِ، وَالْغِيبَةِ، وَكَلَامِ الْفُضُولِ، وَيَجْعَلُ لِسَانَهُ مَشْغُولًا بِذِكْرِ اللَّهِ تَعَالَى، وَتِلَاوَةِ الْقُرْآنِ، وَمُذَاكَرَةِ الْعِلْمِ.
Pertama, ia muncul di lidah, lidah akan terhalang daripada berbohong, mengumpat, dan terlalu banyak bercakap. Lidahnya akan sibuk berzikir, membaca Al-Quran, dan membincangkan ilmu.
وَالثَّانِي: أَنْ يَخَافَ فِي أَمْرِ بَطْنِهِ، فَلَا يُدْخِلَ بَطْنَهُ إِلَّا طَيِّبًا وَحَلَالًا، وَيَأْكُلَ مِنَ الْحَلَالِ مِقْدَارَ حَاجَتِهِ
Kedua, dia takut dalam urusan perutnya, sehingga tidak memasukkan ke dalam perutnya melainkan makanan yang baik dan halal, serta memakan yang halal sekadar keperluannya sahaja, tidak berlebihan.
وَالثَّالِثُ: أَنْ يَخَافَ فِي أَمْرِ بَصَرِهِ، فَلَا يَنْظُرَ إِلَى الْحَرَامِ، وَلَا إِلَى الدُّنْيَا بِعَيْنِ الرَّغْبَةِ، وَإِنَّمَا يَكُونُ نَظَرُهُ عَلَى وَجْهِ الْعِبْرَةِ.
Ketiga, dia takut dalam urusan pandangannya, sehingga dia tidak memandang kepada sesuatu yang haram untuk dilihat, dan tidak pula dia memandang dunia dengan pandangan yang penuh cita-cita. Pandangannya terhadap dunia hanya digunakan untuk mengambil ibrah dari apa yang berlaku.
وَالرَّابِعُ: أَنْ يَخَافَ فِي أَمْرِ يَدِهِ، فَلَا يَمُدَّنَّ يَدَهُ إِلَى الْحَرَامِ، وَإِنَّمَا يَمُدُّ يَدَهُ إِلَى مَا فِيهِ طَاعَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Keempat, dia takut dalam urusan tangannya, sehingga dia tidak menghulurkannya kepada yang haram, dia hanya menghulurkan tangannya dalam ketaatan kepada Allah Taala.
وَالْخَامِسُ: أَنْ يَخَافَ فِي أَمْرِ قَدَمَيْهِ، فَلَا يَمْشِي فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ
Kelima, dia takut dalam urusan kakinya, sehingga dia tidak melangkah dalam kemaksiatan kepada Allah.
السَّادِسُ: أَنْ يَخَافَ فِي أَمْرِ قَلْبِهِ، فَيُخْرِجَ مِنْهُ الْعَدَاوَةَ، وَالْبَغْضَاءَ، وَحَسَدَ الْإِخْوَانِ، وَيُدْخِلَ فِيهِ النَّصِيحَةَ وَالشَّفَقَةَ لِلْمُسْلِمِينَ.
Keenam, dia takut dalam masalah hatinya, sehingga dia membuang perasaan permusuhan, benci dan dengki terhadap saudara, dan memasukkan ke dalam hatinya nasihat dan simpati kepada kaum Muslimin.
وَالسَّابِعُ: أَنْ يَكُونَ خَائِفًا فِي أَمْرِ طَاعَتِهِ، فَيَجْعَلَ طَاعَتَهُ خَاصَّةً لِوَجْهِ اللَّهِ تَعَالَى، وَيَخَافَ الرِّيَاءَ، وَالنِّفَاقَ
Ketujuh, dia takut dalam urusan ketaatan kepada Allah, sehingga menjadikan ketaatannya dengan ikhlas mengharap kepada Allah semata-mata, bimbang terjerumus ke dalam riya’ dan nifaq. (Abu Laits al-Samarkandi, Tanbîh Al-Ghâfilîn, Cet. III. (Beirut: Dâr Ibnu Katsir, 2000), hlm. 390-391).[1]
Sungguh kita tertipu oleh diri sendiri jika kita mengaku takut hanya kepada Allah, namun masih ringan lidah untuk berdusta, hati masih merasa berat menerima hukum dan ketentuan Allah Taala, mata masih lebih suka melihat aurat yang terbuka, dan gemerlap dunia masih lebih memukau kita daripada berjuang merealisasikan ketaatan kepada Sang Pencipta.
Tidak kira sama ada kita rakyat biasa ataupun pemerintah, menentang syariat Allah Taala, memusuhi para pejuangnya serta menyematkan tuduhan-tuduhan dusta kepada mereka merupakan bukti bahawa kita berani memerangi Allah walaupun mulut kita berbuih mengatakan “aku hanya takut kepada Allah”. Allâhu A‘lam.
Rujukan:
[1] Abu Laits al-Samarkandi, Tanbîh Al-Ghâfilîn, Cet. III. (Beirut: Dâr Ibnu Katsir, 2000), hlm. 390-391.
Sumber: https://mtaufiknt.wordpress.com/2019/04/04/betulkah-kita-takut-kepada-allah/
#NafsiyahIslam #takutkepadaAllah #muhasabah