Khutbah Wada’ Bukan Sekadar Ucapan Perpisahan Tetapi Satu Amanah
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Dakwah Muslimah, Shafiqah Hakim menyatakan bahawa khutbah Wada’ bukan sekadar ucapan perpisahan, tetapi satu bentuk penyerahan amanah.
“Ia sebuah pengisytiharan bahawa risalah agama ini telah lengkap dan kini menjadi tanggungjawab kita untuk jaga, sampaikan dan untuk dihidupkan ,” ujarnya dalam Open Circle yang bertajuk Labbaika Ya Rasulullah Istimewa Untukmu Wanita, Sabtu (14/6/2025).
Beliau menambah, daripada sekian banyak perkara besar yang Rasulullah SAW sebutkan dalam khutbah terakhir baginda, tentang darah, maruah, politik, riba dan persaudaraan ummah, baginda tidak lupa menyebut tentang wanita. Ada lima point terkait wanita dalam khutbah terakhir Rasulullah SAW.
Pertama, wanita adalah amanah. Amanah daripada Allah maknanya tanggungjawab dan urusan ibadah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.
Rasulullah SAW bersabda, “wahai manusia, bertakwa kepada Allah mengenai urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah.”
Beliau menjelaskan, ini menunjukkan wanita adalah amanah besar dalam agama yang perlu dijaga.
“Wanita adalah amanah yang Allah serahkan kepada seorang lelaki, bukan untuk dikuasai tetapi untuk dijaga dan dilindungi. Sebelum datangnya Islam, wanita dipandang hina, dianggap beban malah satu aib bagi keluarga, dianggap pembawa sial, diperlakukan macam barang boleh diwarisi oleh ayah dari tangan ke tangan tanpa suara, tanpa hak, kemudian bila Islam datang Islam mengangkat tinggi martabat wanita, diberi hak pewarisan, hak memilih, hak untuk dilindungi dan dihormati suara dan jasadnya serta dimuliakan peranannya,” jelasnya.
Kedua, mengenai hak dan kewajipan suami dan isteri. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kalian mempunyai hak atas isteri-isteri kalian dan mereka juga mempunyai hak atas kalian..”
Beliau menerangkan, maksudnya pasangan suami isteri bukan sekadar pasangan yang saling menuntut, walaupun masing-masing mempunyai hak, tetapi dua jiwa yang saling memberi dan melengkapi.
“Dalam Islam bukan sekadar apa aku akan dapat, apa aku kena tuntut tapi juga apa yang aku perlu bagi kepada suami dan apa yang kau perlu bagi kepada isteri. Setiap pihak ada hak masing-masing dan sebelum menuntut hak, keduanya suami dan isteri perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing. Sebab rumah tangga tak akan tenang kalau hanya dipenuhi dengan suara-suara menuntut tapi sunyi dari suara-suara memberi,” terangnya.
Ketiga, tentang kewajipan suami memberi nafkah dengan cara yang makruf. Firman Allah SWT,
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” [TMQ An-Nisaa (4): 34]
Ayat ini menerangkan bahawa lelaki adalah pemimpin dan pelindung kepada keluarga. Mereka ada qawwamun yakni pemikul amanah dalam memimpin, melindungi dan memberi nafkah kepada isteri yang berada di bawah tanggungannya.
“Penting untuk fahami bahawa Allah lebihkan lelaki kerana mereka diberikan beban tanggungjawab yang besar adalah memberi nafkah kepada isteri,” jelasnya.
Keempat, larangan menyakiti dan mempermainkan wanita. Islam juga mengajarkan adab dan cara berinteraksi antara lelaki dan perempuan, suami dan isteri.
“Islam menegaskan tidak dibenarkan memperlakukan wanita dengan kasar, menghina atau mempermainkan perasaan isteri, dan sekiranya berlaku perbalahan atau pertelingkahan itu bukan lesen untuk suami bertindak zalim, marah bukan tiket untuk menjatuhkan harga diri pasangan,” tegasnya.
Beliau menambah, sekiranya isteri nusyuz, maka ada adabnya.
“Nasihat dengan kasih sayang bukan herdikan, pisahkan tempat tidur sebagai tanda serius bukan hukuman, pukulan ringan tidak menyakitkan yang majoriti ulama tafsirkan sebagai simbolik bukan literal. Jika semua ini tidak berjaya, lantik pendamai daripada kedua-dua belah keluarga. Semua ini menunjukkan Islam atur dengan cantik, bukan terus bercerai, bukan juga menyakiti secara emosi dan fizikal,” tambahnya.
Kelima, perlindungan untuk golongan rentan, salah satunya adalah wanita.
“Wanita terlalu kerap menjadi mangsa sistem dan kehendak lelaki. Kita tengok realiti hari ini, maruah wanita terus tercalar, bukan kerana Islam gagal melindungi mereka, tapi kerana sistem hari ini gagal melindungi wanita. Dan para suami tidak lagi menjadi pelindung kepada isterinya. Tahun 2024 saja lebih 7000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan, rumah yang sepatutnya tempat paling selamat kini tidak lagi menjadi tempat perlindungan,” jelasnya.
Beliau menyimpulkan, hari ini wanita bukan sekadar menjadi mangsa keganasan rumah tangga malah hak seorang isteri diabaikan.
“Ada yang didera, ada yang ditinggalkan tanpa nafkah, ada yang dijadikan objek nafsu semata, hak mereka diabaikan, ini adalah tanda bahawa khutbah terakhir Rasulullah SAW telah diabaikan. Sedangkan Islam telah mengangkat darjat wanita dari kehinaan kepada kemuliaan, diberikan hak untuk dilindungi, hak pewarisan dan sebagainya,” simpulnya.
#KhutbahWada #AmanahWanita #KemuliaanMuslimah #HakWanita #IsteriadalahAmanah