[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Hak Bersama Suami Isteri dalam Islam: Membangun Rumah Tangga, Menyuburkan Akhirat
Rumah tangga dalam Islam bukan sekadar urusan dunia. Ia adalah wasilah menuju redha Allah, ladang menuai pahala, dan tempat dua insan saling melengkapi dalam perjuangan menegakkan syariat Allah SWT, demi menumbuhkan makna kehidupan.
“…Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 228)
Allah menekankan pentingnya keseimbangan dalam pergaulan suami isteri, bukan dominasi satu pihak. Suami tidak hanya berhak ditaati, dia juga wajib berlaku adil dan bersikap lemah lembut. Manakala isteri, bukan hanya penurut, tetapi dia juga insan yang berhak dimuliakan, dihormati dan dilayani emosinya. Hak-hak ini tidak bersifat satu hala; ia bersifat reciprocal.
Dalam tinjauan kehidupan moden hari ini, ramai pasangan yang terperangkap dalam sistem “peranan kaku” suami isteri. Isteri dianggap perlu taat tanpa syarat, dan suami tidak perlu berubah sama sekali. Hal ini bercanggah dengan prinsip Islam yang menuntut kedua-duanya saling memenuhi hak dengan cara yang makruf, iaitu cara yang penuh ihsan dan kebijaksanaan.
Berikut empat hak utama suami isteri yang mesti difahami:
- Hak untuk Saling Bergaul dengan Baik
Hak untuk diperlakukan dengan baik atau disebut sebagai mu’asyarah bil ma’ruf, iaitu mempergauli pasangan dengan cara yang patut dan berakhlak. Allah SWT memerintahkan dalam surah an-Nisa’,
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (TMQ An-Nisa’ [4]: 19)
Islam meletakkan asas rumah tangga atas akhlak dan kerjasama, bukan dominasi. Baik suami mahupun isteri diperintahkan untuk bergaul dengan pergaulan yang baik, ihsan, sabar dan hikmah.
Ada satu hadis Nabi SAW yang popular, iaitu: “Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan tidak dapat kamu luruskan dengan cara bagaimanapun, jika kamu hendak bersenang-senang dengannya, kamu dapat bersenang-senang dengannya dan dia tetap saja bengkok, namun jika kamu berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah dan mematahkannya adalah menceraikannya”. (HR. Muslim)
Hadis ini sering disalahfahami sebagai gambaran kelemahan wanita. Namun, sebenarnya ia merupakan perumpaan indah tentang fitrah dan keunikan penciptaan wanita, yang memerlukan pendekatan mendidik yang penuh kelembutan, kesabaran dan pengertian. Rasulullah SAW tidak memerintahkan untuk “meluruskan” wanita dengan paksaan, tetapi untuk menerima perbezaan dan membimbing dengan hikmah.
Dalam perkahwinan, tidak akan pernah ada dua individu yang 100% serupa dalam gaya fikir, keperluan emosi atau pendekatan hidup. Maka, prinsip qana’ah (rasa cukup), toleransi, dan mencari titik sepakat menjadi asas kepada keharmonian. Hadis ini mendorong suami agar tidak menjadikan kekurangan isteri sebagai alasan untuk bersikap kasar atau menuntut perubahan total, sebaliknya belajar untuk menerima, menyesuaikan diri dan membina keluarga atas dasar kasih sayang dan toleransi.
Ia juga menjadi petanda bahawa isteri juga perlu memahami bahawa kehidupan berumahtangga menuntut kompromi toleransi dan penyesuaian dua jiwa. Toleransi bukan kelemahan, tetapi kekuatan peribadi yang membuahkan kedamaian jangka panjang.
Mengharapkan kesempurnaan dari pasangan adalah perkara yang sukar dijangkau, kerana hakikatnya tiada makhluk yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah SWT. Kata-kata orang bijak menuturkan, “Qana’ah (kepuasan) adalah harta yang tidak akan pernah pudar”. Sebab itu suami isteri perlu saling menerima dan bersyukur antara satu sama lain.
Hal ini sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bersabda, “Sungguh bahagia orang yang menerima apa seadanya, dikurniakan rezeki mencukupi, dan diberikan kepuasan dan kerelaan dengan apa yang Allah telah berikan kepadanya.” (HR Muslim, 1054)
Dalam perkahwinan juga selalu muncul rasa cemburu. Bahkan cemburu seringkali dimomokkan sebagai masalah dalam rumah tangga dan ketidakmatangan pasangan. Sedangkan rasa cemburu adalah fitrah, terutama apabila seseorang mencintai pasangannya dengan bersungguh-sungguh. Islam mengiktiraf cemburu sebagai tanda sayang, asalkan ia tidak melampau hingga mencetuskan fitnah, atau mengganggu ketenangan rumah tangga.
Dalam keluarga Rasulullah SAW juga pernah ada kecemburuan. Aisyah RA pernah cemburu terhadap isteri-isteri lain sehingga memecahkan pinggan berisi makanan yang dihantar oleh Zainab RA. Apa reaksi Rasulullah? Baginda memungut makanan yang jatuh dan meletakkannya kembali ke atas pinggan yang telah pecah, lalu berkata kepada para sahabatnya, “Makanlah, ibu kalian sedang cemburu.” Sementara Rasulullah tetap memegang pinggan yang pecah tersebut hingga mereka selesai memakan makanannya. Kemudian baginda menggantikan pinggan pecah tersebut dengan yang baru.
Baginda tidak marah, tidak menghukum, tetapi memahami bahawa cemburu ialah sebahagian dari emosi wanita yang perlu ditenangkan, bukan ditindas. Oleh itu, rasa cemburu antara suami isteri perlu diurus dengan komunikasi, kepercayaan, dan kejujuran. Bukan dipendam, dihapuskan malah bukan juga dengan kawalan atau curiga berlebihan.
- Hak Bersama dalam Keintiman
Perkahwinan memberi ruang kepada pemenuhan naluri fitrah manusia secara halal dan terhormat. Islam menganggap hubungan suami isteri sebagai ibadah jika diniatkan untuk menjaga kesucian dan membahagiakan pasangan.
Firman Allah SWT, “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 223)
Manakala dalam hadis sahih disebutkan: “Jika seorang lelaki meminta isterinya ke tempat tidur, lalu isterinya menolak, maka yang di langit akan murka kepadanya sehingga subuh.” (HR Muslim)
Namun, hubungan ini bukan hanya hak suami. Isteri juga berhak mendapat layanan yang baik, lemah lembut dan memuaskan dalam hubungan. Isteri juga boleh menolak jika dalam keadaan tidak mengizinkan (sebab-sebab syarie), sebagaimana suami pun tidak boleh memaksa atau bersikap keras.
Daripada Abdullah bin Zam‘ah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Janganlah salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian berhubungan dengannya pada akhir hari.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
- Hak untuk Saling Tolong Menolong dalam Kebaikan dan Takwa
Perkahwinan dalam Islam adalah ikatan yang menjadikan pasangan rakan seperjuangan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Mereka solat bersama, menasihati dengan lembut, bangunkan pasangan di akhir malam, dan sama-sama menjaga diri daripada dosa.
“Dan hendaklah kamu tolong menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (TMQ Al-Ma’idah [5]: 2)
Pasangan yang saling menasihati dalam ketaatan kepada Allah SWT seperti ibadah, aurat, adab dan Amanah, serta mencegah daripada apa-apa yang dilarang Allah SWT, mereka adalah pasangan yang sedang membangun syurga dari rumahnya sendiri. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun malam, lalu ia solat dan membangunkan isterinya; jika isterinya enggan, ia memercikkan air di wajahnya. Dan Allah merahmati seorang wanita yang bangun malam, lalu ia solat dan membangunkan suaminya; jika suaminya enggan, ia memercikkan air di wajahnya.” (HR Abu Daud, An-Nasa’i, Ibn Majah, dan Ahmad)
- Hak untuk Saling Tolong Menolong dalam Urusan Dunia
Rumah tangga tidak akan berjalan jika satu pihak memikul segalanya. Rasulullah SAW sendiri walaupun merupakan seorang pemimpin negara dan Rasul, pengemban risalah akhir zaman, baginda tetap membantu urusan rumah tangga.
MIsalnya, diriwayatkan dari ‘Urwah bin Zubair, dia berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah: ‘Wahai Ummul Mukminin, apa yang biasa Rasulullah SAW lakukan ketika bersama engkau?’ Kemudian Aisyah menjawab: `Seperti apa yang dilakukan setiap orang dari kalian di rumahnya dalam pekerjaan rumah tangganya, baginda memperbaiki seliparnya, menjahit pakaiannya dan menampal baldinya.” (HR Ahmad, Bukhari, Ibn Hibban)
Ini menunjukkan bahawa suami yang membantu dalam hal rumah tangga seperti mengurus anak, menyapu lantai atau mencuci pinggan bukanlah merendahkan martabatnya, sebaliknya mengangkat darjatnya sebagai insan yang mengikuti sunnah.
Begitu juga isteri, dia tidak hanya patuh, tetapi juga membantu suami meringankan beban rezeki dengan redha dan penuh kebaikan.
Kesimpulan
Rumah tangga tidak akan kukuh dan mencapai tujuannya jika hanya satu pihak yang berusaha. Oleh itu, suami dan isteri perlu melaksanakan peranan dalam berumah tangga secara bersama dan menghormati hak satu sama lain. Ibarat dua sayap yang saling menampung, suami isteri perlu saling bertoleransi dan bekerjasama menjalankan ketaatan dalam membangun rumah tangga mengikut acuan syariat. Bila keduanya saling memahami hak dan menjalankan kewajipan dengan keikhlasan, rumah itu akan menjadi tempat berteduh di dunia dengan harapan menuju syurga bersama di akhirat kelak. InsyaAllah.
Aliya Ab Aziz
(Lajnah I’lamiyyah MHTM)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat