Membentengi Anak Dari Ancaman Judi Atas Talian
Penulis : Wiwing Noeraini
Ayah-Bonda, setiap ibu bapa pasti menginginkan anak-anak mereka menjadi individu yang mempunyai keperibadian Islam yang kuat, taat kepada Allah SWT dan RasulNya dalam semua aspek kehidupan. Namun, sistem kehidupan sekular kapitalisme yang diamalkan pada hari ini telah menyuburkan kemaksiatan, termasuklah perjudian dalam talian. Oleh yang demikian, mendidik anak untuk taat kepada Allah SWT menjadi semakin sukar.
Mengajak anak untuk menghindari aktiviti perjudian bukanlah suatu yang mudah. Apabila anak-anak mengakses internet, mereka mudah terjebak dalam perjudian atas talian. Ini kerana mereka tidak dapat membezakan antara permainan dalam talian dan perjudian dalam talian. Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai anak-anak yang menjadi mangsa.
Ayah-Bonda, apakah yang boleh kita lakukan sebagai ibu bapa untuk melindungi anak-anak kita daripada ancaman perjudian dalam talian?
Perkukuhkan Iman
Iman adalah benteng terkuat bagi setiap Mukmin. Iman yang teguh akan mendorong setiap mukmin berusaha menjauhkan diri daripada semua yang dilarang oleh Allah SWT. Oleh itu, sejak dari awal, Ayah-Bonda perlu membina keimanan yang sebenar dalam diri anak dengan sabar. Ini adalah asas yang mesti ditanamkan dengan kukuh. Anak muslim harus mengetahui bahawa Tuhannya adalah Allah SWT, bahawa hidup di dunia ini adalah untuk beribadah menyembah Allah SWT.
Mereka juga mestilah mengenali Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan utusan Allah SWT, malah contoh teladan terbaik bagi seluruh manusia. Sejak kecil, perkenalkan anak-anak dengan Al-Quran sebagai satu-satunya panduan hidup. Ceritakan juga kepada mereka tentang para malaikat, syurga, dan neraka. Tanamkan keyakinan bahawa ketaatan kepada seluruh syariah Allah SWT dan RasulNya akan membawa kepada kebaikan di dunia dan nikmat yang tidak terhingga di syurga. Sebaliknya, maksiat kepada Allah SWT dan RasulNya akan membawa kepada kesengsaraan di dunia dan azab yang pedih di neraka.
Ajak Mereka Terikat pada Seluruh Syariah
Ayah-Bonda juga perlu mengajarkan anak-anak untuk terikat pada seluruh syariah Allah [TMQ Al-Baqarah (2): 208]. Ajarkan bahawa syariah Allah SWT merangkumi pelbagai perkara dan mengatur kehidupan manusia dalam semua aspek kehidupannya. Di sinilah Ayah-Bonda boleh mengajarkan anak tentang keharaman judi [TMQ Al-Maidah (5): 90].
Keharaman judi sudah sangat jelas kerana dicela di dalam Al-Quran, bahkan dinyatakan sebagai ‘perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan’. Ini menunjukkan bahawa judi adalah haram secara pasti.
Kita tanamkan keyakinan pada anak bahawa judi adalah perbuatan yang sangat buruk dan jika dilakukan akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Kita ajak anak untuk berfikir bahawa, walau betapa seronoknya mereka dengan sebuah permainan, ia mesti ditinggalkan jika dilarang oleh Allah SWT. Hanya inilah yang akan menyelamatkan mereka dari azab pedih di akhirat kelak.
Kita juga perlu membina pemahaman bahawa Allah Maha Melihat; bahawa Allah SWT tidak pernah tidur atau lalai. Allah SWT sentiasa mengawasi kita. Sekalipun Ayah-Bonda tiada di samping mereka, Allah SWT tetap mengawasi mereka. Inilah yang akan membuat kita tidak was-was ketika tidak bersama anak-anak. Mereka akan berusaha untuk taat kepada seluruh perintah dan laranganNya di mana pun mereka berada.
Ajarkan pada Anak Memahami Fakta
Tidak kurang penting, Ayah-Bonda perlu mengajarkan anak untuk memahami fakta mengenai judi dalam talian. Perlu dijelaskan kepada mereka, mana yang merupakan permainan dalam talian dan mana yang merupakan judi dalam talian. Ini kerana bentuk aplikasi judi dalam talian kebanyakannya mirip dengan permainan dalam talian sehingga menyebabkan gamifikasi perjudian di era digital. Ajak anak berhati-hati apabila menemui permainan yang melibatkan pertukaran coins atau top-up, kerana itu sudah termasuk dalam pentas judi dalam talian.
Fahamkan juga kepada anak tentang bahaya judi dalam talian. Dari aspek kesihatan fizikal, judi dalam talian boleh menyebabkan penurunan aktiviti fizikal, juga gaya hidup yang tidak sihat seperti makan tidak teratur dan kurang tidur. Ini disebabkan oleh masa yang dihabiskan untuk bermain dan memantau perkembangan judi dalam talian. Dari aspek sosial, ketagihan judi dalam talian boleh menyebabkan remaja menjadi anti-sosial, malah cenderung menghindari dari bersosial dan berinteraksi dengan orang lain. Malas belajar, malas membuat kerja sekolah, bahkan menyebabkan perilaku buruk lain seperti mencuri wang untuk terus bermain judi dalam talian. Dari aspek psikologi, judi dalam talian juga boleh menyebabkan tekanan, kemurungan, dan kebimbangan.
Bahaya terbesar daripada aktiviti judi dalam talian ini boleh menyebabkan anak ketagihan. Malah, berterusan melakukan dosa. Ini akan diikuti oleh dosa-dosa lain, seperti berbohong, mencuri, mengabaikan ibadah seperti solat fardhu, dan ibadah-ibadah yang lain.
Ajak Anak untuk Bijak Menggunakan Gajet
Ayah-Bonda, gajet adalah pintu masuk yang boleh membuat anak terjerumus ke arah judi dalam talian. Oleh itu, Ayah-Bonda perlu betul-betul fokus dalam mengawasi penggunaan gajet ini. Bagi anak-anak yang masih kecil dan belum mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk, penggunaan gajet ini harus berada di bawah pengawasan ketat Ayah-Bonda. Jangan berikan mereka telefon bimbit (HP) kerana mereka belum memerlukannya. Ayah-Bonda boleh memberikan alat permainan yang edukatif (mendidik). Ayah-Bonda juga boleh memilihkan rancangan-rancangan yang baik dan bermanfaat serta menonton bersama-sama dengan anak. Jauhkan mereka daripada permainan yang mengandungi unsur negatif seperti perjudian, kekerasan, pornografi, dan lain-lain.
Bagi anak-anak yang sudah dewasa, mendekati usia baligh atau sudah baligh, akal mereka sudah dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Ketika inilah kita perlu mengajari mereka agar bijak dalam menggunakan gajet. Jauhkan anak dari kandungan yang negatif. Ajak mereka mencari kandungan yang memberikan ilmu dan pengetahuan, terutamanya ilmu agama, serta kandungan yang dapat mencerdaskan akal dan mengasah jiwa mereka, yang mendorong mereka untuk melakukan amal-amal soleh. Ajak anak menjadikan media sosial sebagai sarana dakwah, mengajak dan menyebarkan kebaikan kepada semua.
Kita Tidak Sendirian
Melindungi anak dari bahaya judi dalam talian tidak dapat dilakukan sendirian. Ayah-Bonda perlu menjalin sinergi dengan melibatkan orang di sekeliling anak untuk turut serta dalam usaha penjagaan ini.
Kita boleh meminta bantuan pengasuh anak atau pembantu di rumah untuk menjaga anak-anak ketika kita keluar bekerja. Carilah pembantu yang dapat dipercayai, mempunyai keperibadian Islam yang teguh, dan pandangan yang sama terhadap bahaya judi dalam talian ini.
Kita juga perlu bekerjasama dengan pihak sekolah di mana mereka belajar untuk turut serta memantau perilaku mereka. Di samping itu, kita boleh mengikut serta anak-anak dalam kajian-kajian keislaman di sekitar rumah. Langkah ini terbukti sangat berkesan dalam memastikan anak sentiasa taat kepada syariah. Guru-guru di sekolah, guru mengaji, ibu bapa rakan anak-anak, jiran sekitar rumah, keluarga besar seperti datuk, nenek, pakcik, dan makcik semuanya adalah orang yang boleh dilibatkan dalam usaha penjagaan ini.
Kita juga hendaklah tidak mementingkan diri sendiri. Jangan hanya letakkan fokus pada anak kita sahaja, tetapi juga anak-anak muslim lain yang perlu diselamatkan daripada bahaya judi dalam talian ini. Mereka adalah aset umat, penerus kepimpinan bangsa dan negara. Apa yang akan terjadi pada masa depan negara ini, jika generasi mudanya lemah dan tidak berkualiti kerana masalah kesihatan fizikal, sosial, dan mental?
Generasi muda Islam harus kita selamatkan daripada semua bentuk judi yang meresahkan ini. Sudah tentu, menyelamatkan generasi tidak cukup hanya dengan peranan ibu bapa. Diperlukan juga peranan masyarakat dan negara dalam menerapkan sistem Islam secara sempurna. Negara seharusnya membanteras judi dalam talian hingga ke akarnya, dan menerapkan sekatan tegas sesuai dengan syariah Islam kepada para pemain, pengiklan, sehingga kepada para bookie judi. Adakah kita mampu berharap pada sistem hari ini untuk melakukan semua itu? Sudah tentu tidak. Hanya negara dalam sistem Islam iaitu Daulah Khilafah Islamiyyah, yang mampu melaksanakan hal ini sepenuhnya.
Akhirnya, kita perlu menyedari bahawa anak-anak yang taat kepada Allah SWT lahir daripada ibu bapa yang taat juga. Maka, marilah kita perbaiki diri, berusaha untuk menjadi lebih taat kepada Allah SWT dalam melaksanakan seluruh aktiviti kita, terus mendalami dan belajar Islam secara kaffah dan turut serta dalam usaha memperjuangkan penerapannya. Jangan lupa, mari kita terus mendoakan anak-anak kita. Semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, dan semoga Allah SWT sentiasa melindungi mereka daripada pelbagai perkara yang membahayakan mereka.
Wallhu a’lam bissawâb.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat