WANITA TERANIAYA, SISTEM ISLAM SEBAGAI PEMBELA
Oleh: Rahmah
Adalah amat menyedihkan apabila ramai wanita terus bertahan dalam pernikahan yang penuh penderitaan hanya kerana status mereka sebagai suri rumah. Kebimbangan memikirkan keadaan selepas berpisah termasuk hilang tempat bergantung, hak penjagaan anak, serta stigma masyarakat menyebabkan ramai wanita terperangkap dalam rumah tangga yang penuh penderaan, baik daripada segi fizikal mahu pun mental.
Islam memandang wanita sebagai kehormatan yang wajib dipelihara dan dilindungi, bukannya membenarkan sebarang bentuk keganasan terhadap mereka, apatah lagi dalam institusi kekeluargaan. Rasulullah SAW bersabda,
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku.” [HR Ibnu Majah].
Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa keganasan terhadap isteri bukanlah sesuatu yang diterima oleh Islam. Status isteri sebagai wanita tidak bekerja bukanlah alasan untuk mereka terus dianiaya. Hakikatnya, wanita tidak diwajibkan untuk bekerja atau keluar mencari nafkah. Ianya merupakan tanggungjawab suami. Maka, tidak bekerja bukanlah satu dosa dan ia sama sekali tidak menghilangkan hak wanita untuk dihormati, dilindungi dan diberikan keadilan yang sewajarnya.
Dalam Islam, suami diangkat sebagai qawwam (pemimpin keluarga), bukan sebagai penguasa yang bebas menindas. Tanggungjawab ini menuntut agar suami memastikan rumah tangganya dibina atas asas sakinah, mawadah, dan rahmah dengan berlaku adil, menjaga hak isteri serta menjauhkan segala bentuk kezaliman.
Ketaatan isteri kepada suami pula adalah dalam batas syariat, dan ia bukan alasan untuk suami berlaku zalim. Jika berlaku penderaan atau penganiayaan, suami telah melakukan maksiat terhadap perintah Allah SWT dan RasulNya. Isteri tidak wajib mentaati suami yang zalim. Seperti sabda Rasulullah SAW,
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan hanya dalam perkara kebaikan.” [HR Bukhari dan Muslim].
Maka, ketaatan dalam hubungan suami isteri bukanlah bersifat mutlak, apatah lagi jika ia membawa kepada kemudaratan.
Namun begitu, ketakutan dilabel sebagai nusyuz dan kebimbangan kehilangan hak penjagaan anak sering menjadi penghalang utama wanita untuk keluar daripada perkahwinan yang menyakitkan. Sedangkan Islam sendiri memberi ruang yang selamat untuk wanita melindungi diri melalui hukum fasakh atau khuluk. Tanggapan bahawa isteri perlu kekal taat walaupun didera jelas menyimpang daripada prinsip keadilan Islam yang sebenar.
Islam bukan sekadar menuntut kesabaran dalam penderitaan, tetapi menyediakan jalan keluar yang syarie apabila kezaliman berlaku secara berpanjangan dalam perkahwinan. Rasulullah SAW tidak pernah membiarkan kezaliman berleluasa, apatah lagi terhadap kaum wanita. Maka, wanita berhak untuk keluar daripada penderitaan yang dialami dengan menggunakan saluran yang dibenarkan syarak.
Namun, hakikat yang harus diakui ialah proses untuk menuntut keadilan itu bukanlah mudah. Tuntutan fasakh atau khuluk sering kali dibebani pelbagai prosedur, bukti yang sukar diperoleh, serta perjalanan perundangan yang panjang dan memenatkan. Keadaan ini bukan sahaja menambah tekanan emosi, malah meletakkan wanita dalam keadaan yang lebih tertekan dan tidak berdaya.
Sesungguhnya, Islam mampu merungkaikan setiap permasalahan kehidupan, termasuklah dalam kemelut rumah tangga. Islam memberikan jalan keluar bagi wanita yang teraniaya, namun sistem yang diterapkan dan pelaksanaan sedia ada sering kali menyusahkan dan menelan belanja yang tinggi. Wanita tidak wajar dibiarkan terus menderita akibat sistem sokongan yang longgar dan pelaksanaan undang-undang yang lemah.
Dalam hal ini, sistem Islam yang menyeluruh (kaffah) perlu diangkat kembali sebagai pembela sebenar. Sistem Islamlah yang akan menjamin hak, keselamatan dan keadilan bagi kesejahteraan wanita khususnya dan keluarga daripada terus dizalimi.
#StopDomesticViolence