Narasi Al-Quran Mendidik Anak Pra-baligh (Bahagian Pertama)
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Dalam sebuah ceramahnya, sangat menarik apa yang disampaikan oleh Ustaz Adi Hidayat tentang mendidik anak dalam prosesnya membesar. Kita dapat lihat daripada penggunaan bahasa al-Quran yang ternyata berbeza mengikut setiap peringkat usia.
Beliau menyampaikan bahawa ketika Luqman mendidik anaknya, beliau memanggil dengan narasi “ya bunayya”. Panggilan itu dikenali sebagai panggilan penuh kasih sayang, panggilan manja, untuk anak usia pra-baligh.
Dalam bahasa Arab, narasi ya bunayya adalah narasi tadlil.
يُدَلِّلُ طِفْلَهُ” : يُدَلِّعُهُ، يُغَنِّجُهُ، يُعامِلُهُ مُعامَلَةً فيها الكَثيرُ مِنَ اللُّطْفِ وَالتَّرْفيهِ.
Intinya adalah panggilan yang lembut dan manja.
Dari sini difahami bahawa al-Quran mengajarkan agar ibu bapa memanggil anak dengan cara yang menyenangkan untuk didengar, menggunakan panggilan kasih sayang yang penuh kelembutan, bukan dengan kata-kata kasar, bentakan, atau panggilan yang tidak baik.
Pelajaran pertama yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya adalah asas akidah Islam. Selepas panggilan kasih sayang itu, Luqman menggunakan kata larangan dalam perkara keimanan.
Setelah menggunakan kata ya bunayya, maka nasihat terbaik yang disampaikan oleh Luqmanul Hakim adalah dengan menggunakan kata larangan laa – “jangan”.
وَاِذْ قَالَ لُقْمٰنُ لِابْنِهٖ وَهُوَ يَعِظُهٗ يٰبُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللّٰهِ ۗاِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيْمٌ
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”
Menggunakan kata larangan dalam melarang perkara mempersekutukan Allah sangat mudah difahami oleh anak, kerana konsep bersekutu dengan yang lain sangat mudah dihadirkan faktanya.
Kami pernah merangsang pemahaman anakanda ketika usianya masih di peringkat awal, sekitar usia 4 tahun, dengan menjelaskan bahawa Allah itu Ahad, tiada sekutu bagi-Nya.
“Adik, bagaimana keadaan bumi sekiranya pencipta itu tidak satu tetapi bersekutu, ada dua?”
“Kalau ada dua, nanti bumi hancur, sebab yang satu hendak ke sini, yang satu hendak ke sana,” sambil menunjuk arah kiri dan kanan.
“Bagaimana kalau tiga?”
“Bumi semakin hancur, Umi.”
Sebelumnya pernah dibincangkan tentang sebuah kereta yang dipandu oleh dua orang pemandu. Apa yang akan berlaku? Kereta boleh hancur jika kedua-dua pemandu membuat keputusan yang berbeza.
Juga sangat mudah untuk menjelaskan bahawa Allah tidak bersekutu dengan makhluk, Allah tidak melahirkan dan tidak dilahirkan seperti manusia, dan tidak ada yang setara dengan sesiapa pun.
Dari sini juga akan membawa anakanda untuk mengakui kelemahan dan kekurangan diri di hadapan Allah apabila ditunjukkan realiti alam, manusia, dan kehidupan yang merupakan ciptaan Allah serta ditadbir oleh Allah SWT. Maka lahirlah pengakuan terhadap keagungan dan kesucian Allah dalam fikiran dan jiwanya.
Dari sini, anak dibimbing untuk bersyukur kepada Allah yang telah menciptakan bumi dan langit serta segala isinya untuk manusia; dibimbing bahawa cara bersyukur itu adalah dengan menghambakan diri di hadapan Zat Yang Maha Agung melalui ibadah, tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan tanpa bantahan.
(Bersambung)
Sumber: Dunia Parenting
#KeluargaMuslimIdeal #KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat #IslamicParenting