[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Anak, Amanah Ibu dan Bapa
Dalam Islam, setiap anak yang lahir ke dunia hadir bersama hak-haknya. Hak yang bukan sekadar tanggungjawab si ibu yang mengandung dan melahirkan, tetapi juga bapa sebagai peneraju utama rumah tangga Muslim.
Apakah Hak Anak yang Wajib Dipenuhi Ibu dan Bapa?
1. Hak untuk disusui selama dua tahun penuh.
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 233)
Menurut Buya Hamka, menyusukan anak bukan sekadar tugas fizikal, tetapi ibadah yang berdosa jika ditinggalkan tanpa sebab. Air susu ibu bukan sekadar makanan tapi ia membina tubuh, akal dan hati anak.
2. Hak untuk mendapat pendidikan agama sejak kecil.
“Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka…“ (TMQ At-Tahrim [66]: 6)
Setiap anak muslim wajib dibekalkan dengan ilmu agama seperti tentang iman, tauhid, dan akhlak. Sejak kecil mereka perlu diajar mengenal Allah, Nabi dan Rasul, tentang amal-amal soleh, syurga dan neraka – agar hatinya terpaut pada akhirat lebih awal dari dunia.
Malah menurut Dr. Abdul Aziz Al-Fauzan dalam Fikih Sosial, kewajipan agama yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa, yang juga merupakan maslahat bagi mereka di dunia dan akhirat, adalah memperhatikan anak-anak mereka, mengerahkan seluruh kemampuan untuk menjaga dan membesarkan mereka dengan pertumbuhan yang baik.
3. Hak untuk dibesarkan dengan kasih sayang.
Ibu dan bapa bukan sekadar penjaga makan minum. Sebaliknya ibu bapa adalah sumber rasa aman, tempat berteduh, dan pertumbuhan emosi anak-anak. Anak yang tidak dicintai tidak akan tahu mencintai. Di tangan ibu bapalah lembutnya jiwa dan kuatnya akhlak anak dibentuk.
4. Hak untuk mendapat nafkah dan perlindungan.
“…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.“ (TMQ Al-Baqarah [2]: 233)
Suami isteri perlu saling bekerjasama memastikan penafkahan dan perlindungan keluarga berjalan sesuai tuntutan syarak. Isteri yang sedar tentang hak anak, akan bersuara jika si bapa lalai. Ibu boleh bersungguh-sungguh menuntut hak anak bukan atas dasar cerewet atau materialistik, tetapi kerana memahami bahawa nafkah itu amanah.
Dalam dunia hari ini, ramai para ibu bapa keletihan membuktikan harga diri. Sedangkan Islam sejak dari awal sudah mengangkat martabat kedua ibu bapa melalui tanggungjawabnya yang agung.
Wahai para ibu bapa, jadikan rumah kalian madrasah, tempat tumbuhnya insan yang soleh, bukan hanya tempat beradu.
Wahai para ibu bapa, didiklah anak kalian bukan kerana kalian sempurna, tapi kerana itu tugas mulia serta keberuntungan masa hadapan yang mesti kita usahakan.
Jangan diremehkan peranan dan penglibatan ibu dan bapa dalam melayani dan membimbing anak-anak kerana setiap dari kita akan menuai apa yang ditanam, dan akan diberikan balasan dari segala bentuk perbuatan kita.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat