[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Zuriat, Permata Keluarga
Bila dua insan disatukan dalam ikatan pernikahan, salah satu impian yang terbit secara fitrah ialah memiliki zuriat. Anak-anak adalah sosok yang bakal menjadi penyeri rumah tangga, pewaris nama, penyambung silaturahim dan lebih besar dari itu, pewaris nilai, iman dan amal, serta penerus legasi perjuangan menegakkan syariat Islam.
Namun dalam Islam, zuriat bukan sekadar buah hati pasangan suami isteri, tapi juga amanah. Ia ibarat ladang bagi ibu bapanya. Jika seandainya ibu bapa selalu menjaga dan memperhatikan ladangnya, melindunginya dari semak samun, perosak, maka ladang tersebut akan menjadi subur, tanamannya tumbuh baik dan memberikan hasil yang bermanfaat, insyaAllah.
“Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (TMQ Asy-Syu’ara, 49-50)
Imam Ibnu Kathir menjelaskan terkait ayat ini: “Didatangkan kepada manusia dalam empat keadaan: ada di antaranya mendapat anak perempuan dan ada yang mendapat anak lelaki dan ada daripadanya mendapat kedua-duanya dan ada daripadanya tidak mendapat anak. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT berhak menentukannya agar manusia beriman dan bergantung harap kepadanya” (Lihat: Tafsir Ibnu Kathir, 7/198)
Jelaslah bahawa zuriat adalah hak milik Allah, bukan simbol pencapaian manusia.
Zuriat Yang Soleh, Bukan Sekadar Ada
Dalam banyak rumah tangga, pasangan mula merasa ‘selamat’ sebaik sahaja diberi cahaya mata. Tetapi Islam mendidik kita supaya tidak cukup hanya “mempunyai anak”, tetapi mesti melahirkan zuriat yang berkualiti yakni yang soleh, berakhlak dan bertanggungjawab.
Nabi SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan akan ditanya tentang kepimpinannya. Suami adalah pemimpin keluarga, isteri adalah pemimpin rumah suaminya dan anak-anak mereka…” (HR. Bukhari dan Muslim)
Anak-anak tidak boleh dilihat sebagai penerus keturunan dan pewaris harta ibu bapa semata, tetapi mestilah didambakan agar menjadi pewaris atau penyambung nilai agama dalam keluarga. Ini kerana, anak akan menjadi cermin kepada siapa kita sebagai ibu bapa, dan bukti siapa yang kita jadikan sebagai sumber nilai di rumah, termasuk aspek akidah, ibadah, akhlak dan adab.
Rasulullah SAW bersabda: “ Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR al-Bukhari)
Secara literal, “fitrah” adalah merujuk kepada keadaan asal manusia yang suci, bersedia untuk menerima kebenaran. Ia bukan bermaksud semua bayi lahir terus dalam keadaan beragama Islam, tetapi mereka berada dalam potensi keimanan – belum memilih, belum menghukum. Justeru, ibu bapa bertanggungjawab menyuburkan fitrah ini dengan bimbingan berupa menyediakan ilmu agama yang benar dan suasana yang baik.
Sekaligus, ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa memikul tanggungjawab asuhan dan pengaruh sosial dalam membentuk kepercayaan dan identiti anak-anak, yang mana
1. Ibu bapa adalah faktor utama pembentukan akidah. Anak yang suci ibarat kertas putih, maka merekalah yang mencorakkannya. Pendidikan agama, nilai moral dan contoh kehidupan seharian adalah alat utama yang membentuk jati diri seorang anak.
2. Ibu bapa perlu memastikan pendidikan agama yang betul diterima oleh anak. Bukan sekadar menyuruh anak solat atau puasa, dakwah dan sebagainya, sebaliknya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya faham kenapa mereka perlu melakukan setiap perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya – iaitu kerana keimanan dan cinta kepada Allah.
3. Persekitaran sosial juga menjadi tanggungjawab ibu bapa. Media, rakan sebaya, dan budaya popular hari ini boleh pesaing dalam parenting dan kepada kefungsian ibu bapa secara tidak langsung. Maka perlunya bimbingan berterusan agar anak-anak tidak terpesong dari fitrah mereka.
Sehubungan dengan ini, ada ungkapan indah untuk kita renung:
”Berkembangnya anak-anak kecil di sekeliling kita,Adalah sesuai dengan apa yang dilakukan oleh ayahnya”
Demikianlah pada dasarnya setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah yang baik, dan memiliki potensi kebaikan. Namun fitrah ini boleh menyimpang dek kerana ketidakpedulian atau pendidikan yang salah oleh ibu bapa atau penjaga.
Apabila Zuriat Menjadi Ujian
Bagi pasangan yang belum dikurniakan anak, cabarannya sudah jelas – penantian penuh kesabaran dan berdoa tanpa putus. Namun bagi pasangan yang sudah memiliki anak, ujiannya juga tidak kecil – mendidik mereka dengan nilai yang benar dalam dunia dominasi sekularisme hari ini yang penuh kekeliruan dan campur aduk antara haq dan batil.
Nabi Nuh ‘alaihissalam diuji dengan anaknya sendiri yang enggan beriman, walaupun ayahnya seorang nabi. Ini menjadi bukti bahawa usaha bukanlah penentu mutlak kerana hidayah tetap milik Allah.
Allah SWT berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”. (TMQ Hud [11]:46)
Dari kisah Nabi Nuh ini kita belajar bahawa kita tidak boleh sombong dengan usaha kita mendapat anak, dan apa yang lakukan dalam mendidik atau membesarkan anak-anak, serta kita tidak boleh putus asa dari mengharapkan pertolongan Allah SWT. Malah ibu bapa juga perlu sentiasa istiqamah membimbing anak-anak. Dengan kata lain, usaha mendidik anak dan menjaga keluarga adalah proses sepanjang hayat.
Dan ingatlah, ujian dan dugaan perlu dihadapi dengan tawakal dan bersangka baik kepada Allah SWT.
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.“ (TMQ al-Baqarah [2]: 216)
Dalam hadis pula, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah musibah terus menimpa terhadap seorang mukmin lelaki dan mukmin perempuan pada dirinya, anaknya dan harta bendanya hingga nanti bertemu Allah tidak tersisa kesalahan sama sekali“. Dalam sebahagian riwayat imam Malik: “Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah pada anaknya dan sanak kerabatnya hingga nanti bertemu Allah tidak tersisa kesalahan sama sekali.“ (HR At-Tirmidzi, Ahmad)
Demikianlah, bila mendapat ujian apa pun terkait anak, maka hendaklah kita menanggapinya dengan sabar dan kembali kepada Allah SWT.
Kesimpulan
Oleh itu, pasangan suami isteri yang ingin membina generasi cemerlang di sisi syarak hendaklah tidak hanya bersandarkan pada usaha semata. Namun perlu bersandarkan juga pada Allah As-Shamad, tempat bergantung dan meminta segala sesuatu, seperti para nabi yang tak pernah berhenti berusaha dan berdoa mengharapkan zuriat yang soleh. Inilah konsep usaha dan tawakal yang mesti menjadi amalan setiap ibu bapa, sekalipun anak-anak, cucu cicit sudah dewasa.
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.“ (TMQ Al-Furqaan [25]:74)
Wahai ibu bapa,
Jika kamu masih menanti zuriat, mohonlah dengan sabar.
Jika kamu sudah dikurniakan, didiklah dengan adil dan kasih sayang.
Jika kamu diuji melalui zuriatmu, kembalilah kepada Allah SWT.
Tempuhlah perjalanan keibubapaan dengan hati yang sentiasa bersyukur, jiwa yang menyala dengan rasa cinta dan penuh keikhlasan, serta kekuatan sabar yang menjadi sandaran dalam ujian. (Embrace the journey of parenthood with a heart full of gratitude, a soul fueled by passion, and the quiet strength of patience). Kerana akhirnya, bukan zuriat itu yang menentukan bahagia kita tetapi siapa mereka di sisi Allah, dan siapa kita sebagai ibu bapa.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat