[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Memahami Hak Suami, Pemimpin dalam Rumah Tangga
Dalam dunia yang semakin menuntut “kesamarataan” mutlak antara lelaki dan wanita, ramai yang terlupa bahawa dalam Islam, perbezaan peranan bukan penindasan sebaliknya ia adalah keseimbangan dan keadilan berdasarkan fitrah. Salah satu prinsip penting dalam rumah tangga Islam ialah hak suami yang wajib dipelihara oleh isteri, sebagai manifestasi cinta, penghormatan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka..” (TMQ An-Nisaa’ [4]: 34)
Dalam ayat ini, Allah menetapkan peranan suami sebagai qawwam, yakni pemimpin, pelindung, penyantun dan `pengarah’ bagi isterinya. Tapi suami bukanlah pemimpin seperti ‘bos’, dia malah tidak boleh bersikap diktator. Sebaliknya, dia adalah pemimpin yang akan dipersoalkan oleh Allah atas amanahnya. Islam menetapkan kepimpinannya bersama tanggungjawab, manakala isteri pula dituntut mentaati suaminya dalam perkara makruf.
Apakah Hak Seorang Suami yang Diakui Syariat?
- Ketaatan dalam kebaikan, urusan rumahtangga dan akhlak – Menjaga diri dan maruah ketika suami tiada.
Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah – selepas takwanya kepada Allah SWT – lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.” (HR Ibn Majah)
- Tidak mengizinkan sesiapa pun masuk ke rumah tanpa izin suami.
Rasulullah SAW bersabda, “Ingatlah bahawa kalian mempunyai hak atas isteri-isteri kalian, dan isteri-isteri kalian pun mempunyai hak atas kalian. Hak kalian atas mereka ialah mereka tidak memasukkan di tempat tidur kalian orang yang tidak kalian sukai, dan tidak pula mengizinkan di rumah kalian kepada orang yang tidak kalian sukai.” (HR At-Tirmidzi)
- Tidak berpuasa sunat ketika suami ada kecuali dengan izinnya.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa padahal suaminya berada di rumah, kecuali dengan seizinnya, dia tidak pula mengizinkan (seseorang masuk) ke dalam rumahnya kecuali dengan seizinnya. Dan tidaklah dia menafkahkan sesuatu tanpa perintahnya, maka separuhnya diserahkan kepadanya.” (HR Bukhari dan Muslim)
- Menjaga tempat tidur suami dan tidak menolak haknya tanpa alasan syarie.
- Menerima nasihat, didikan, bahkan teguran suami dengan hikmah.
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).
Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha-besar.” (TMQ An-Nisaa’ [4]: 34).
Wahai para isteri, taatmu kepada suami bukan kerana dia lelaki yang mengahwinimu semata, tetapi kerana Allah SWT lah yang memerintahmu begitu.
Wahai para suami, kepimpinanmu bukanlah lesen untuk mengarah, tapi peluang untuk membimbing dengan penuh hikmah, rahmah, dan rasa takut kepada Allah.
Dalam rumah tangga keluarga Muslim, tiada siapa raja, tiada siapa hamba. Yang ada hanyalah dua hati yang saling memimpin ke arah redha Allah.