Remaja Muslimah dan Perawatan Kulit (Skincare)
Oleh: Nabila Ummu Anas
Perkembangan produk penjagaan kulit (skincare) hari ini sangat berpengaruh terhadap gaya hidup remaja muslimah, terutamanya dari segi penampilan dan kecantikan. Lebih-lebih lagi jika millennial menjadi model iklan produk skincare tersebut.
“Zamannya sudah berbeza,” komen kebanyakan ibu bapa hari ini. “Ibu sewaktu masih muda tidak tahu tentang skincare, hanya memakai bedak ketika hendak keluar rumah. Mengenal alat solek pun ketika sudah berkahwin.”
Ibu bapa muslim, terutama para ibu, tidak boleh menganggap remeh ketika melihat anak gadisnya sekarang sangat menjaga penampilan dan wajahnya. Ketika mereka mula meminta duit yang cukup banyak untuk membeli face mask, pembersih wajah, sunscreen, hand and body lotion sehingga ke minyak wangi, ini adalah amaran bagi ibu bapa terhadap anak gadisnya.
Sesungguhnya, pemahaman mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang. Benar atau tidak pemahaman tersebut akan menentukan perilaku yang muncul, iaitu perilaku baik atau menyimpang. Setiap muslim, lelaki dan wanita perlu menjadikan pemahaman Islam sebagai standard perilakunya, apa pun sikap yang diperlihatkan. Di sinilah ibu bapa perlu peka dan segera menanamkan pemahaman Islam, serta menghilangkan pemahaman yang keliru pada anak gadisnya.
Tidak Mempamerkan Kecantikan
Ingin terlihat cantik adalah sikap yang muncul daripada naluri seksual. Apatah lagi ada pujian daripada lawan jenis terhadap penampilan seorang gadis. Dengan demikian, remaja puteri akan berusaha kelihatan cantik dan menarik sehingga disukai dan dipuji orang lain.
Gharizah nau’ atau naluri seksual ini adalah fitrah yang ada pada setiap manusia, lelaki dan wanita. Ia adalah bahagian daripada anugerah yang Allah SWT ciptakan. Akan tetapi, Allah juga menurunkan Islam sebagai risalah yang akan menuntun hidup manusia. Islam menjadi panduan mengendalikan naluri seksual ini, termasuk mengatur penampilan wanita agar sesuai syariat Islam.
Mengajarkan cara muslimah berpenampilan sesuai syariat Islam kepada anak gadis perlu menjadi agenda setiap keluarga muslim. Dengan demikian, mereka akan memiliki pemahaman yang benar sesuai tuntunan syariat sejak kecil lagi. Islam tidak mengekang, tetapi juga tidak mengumbarnya. Namun, Islam mengendalikan naluri manusia sesuai tujuan penciptaannya.
Allah SWT berfirman dalam surah Al Ahzab: 59, “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. ‘Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Juga firman-Nya di dalam surah An-Nur: 31, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Allah SWT juga berfirman, “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.” [TMQ Al-Ahzab (33): 33]
Berdasarkan nas di atas, jelaslah bahawa kecantikan tubuh wanita justeru wajib ditutup. Kalaupun wajah dan telapak tangan boleh terlihat, tetapi tidak boleh berhias seperti orang-orang jahiliah. Penampilan yang boleh merangsang timbulnya naluri seksual lawan jenis justeru diharamkan dalam Islam.
Penggunaan skincare dan make up yang dilakukan remaja muslimah agar penampilannya terlihat cantik sehingga menarik perhatian dan mendorong naluri seksual lawan jenis dengan munculnya rasa suka lelaki terhadapnya adalah perbuatan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Jauhkan Remaja Muslim daripada Budaya Konsumtif
Ibu bapa perlu menanamkan pemahaman bahawa ada pelbagai keperluan hidup yang perlu dipenuhi, sebaliknya ada keinginan yang boleh ditunda, bahkan tidak perlu dipenuhi. Anak gadis kita perlu diajarkan agar bijak memilih antara keperluan dan kehendak. Dengan demikian, bukan semua promosi produk skincare mereka ingin beli dan cuba.
Remaja muslimah sepatutnya sudah boleh diajak berfikir tentang pemenuhan keperluan hidup. Ada keperluan asas yang menuntut segera direalisasikan dan ada keperluan pelengkap yang boleh ditunda pemenuhannya. Lebih-lebih dalam keadaan ekonomi keluarga yang makin sukar hari ini. Setiap keluarga perlu betul-betul mempertimbangkan kewangan rumahtangga agar tetap boleh bertahan hidup. Sistem kapitalisme sekular mengabaikan dan gagal memenuhi keperluan hidup masyarakat sehingga remaja muslim perlu diajak peduli terhadap keadaan kewangan keluarganya.
Gaya hidup sederhana perlu ditanamkan sejak kecil di dalam keluarga. Memang tidak mudah melakukan hal ini pada anak-anak. Lebih-lebih lagi budaya konsumtif memang digencarkan oleh negara-negara kapitalis terhadap negara berkembang yang menjadi pasaran bagi produk mereka. Bonus demografi usia muda adalah pasaran yang berpotensi bagi negara kapitalis.
Di sinilah perlunya membina keluarga muslim dengan Islam. Dengan demikian, keluarga dapat menjadi benteng terhadap pemahaman yang tidak sejalan dengan Islam. Keluarga yang terbina dengan Islam akan memiliki kesedaran bahawa mereka tidak hidup dalam sistem yang ideal bagi manusia. Kesedaran ini akan mendorong usaha mewujudkan sistem ideal tersebut dalam kehidupan masyarakat. Sistem ideal ini hanya ada dalam institusi Daulah Khilafah Islamiah yang akan menerapkan Al-Quran dan sunnah, serta menjadi benteng besar nan kukuh bagi keluarga, generasi dan seluruh umat muslim. Wallahualam bissawab.
#remajamuslimah #kepenggunaan #islamicconsumerism #skincare #kecantikan #bijakberbelanja