Srebrenica – 30 Tahun Berlalu
Tahun ini menandakan 30 tahun sejak pembunuhan beramai-ramai lebih 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Muslim dari Srebrenica, sebuah bandar kecil yang padat di Bosnia, dalam tragedi yang kekal sebagai kekejaman paling buruk pernah berlaku di bumi Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Kejatuhan Srebrenica — salah satu daripada enam kawasan “selamat” yang diisytiharkan oleh PBB — merupakan babak akhir yang tragik dalam perang berdarah selama empat tahun di bekas Yugoslavia. Batalion Belanda, Dutchbat, yang dikerahkan sebagai sebahagian daripada Pasukan Perlindungan PBB, gagal melindungi penduduk enklaf yang melarikan diri dari pembersihan etnik tanpa henti demi agenda “Serbia Raya” oleh Milosevic. Pelarian ini melarikan diri daripada pengeboman, pemindahan paksa, kem penyeksaan dan rogol sistematik — dengan sehingga 50,000 wanita menjadi mangsa keganasan seksual.
Kengerian yang berlaku di Srebrenica bukan hanya pada angka, tetapi pada pengkhianatan. Pasukan PBB bukan sahaja melucutkan senjata lelaki Muslim atas janji keselamatan palsu, tetapi turut menyerahkan mereka kepada tentera Serbia. Pihak pasukan PBB malah membantu memisahkan lelaki daripada wanita pada hari pembunuhan beramai-ramai berlaku dan membenarkan mereka yang mencari perlindungan di kem dibawa pergi — sedangkan pihak pasukan mengetahui sepenuhnya apakah nasib yang bakal menimpa orang-orang tersebut.
Namun, di sebalik kegagalan yang nyata ini, walaupun terlibat secara langsung dalam salah satu pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden, ramai umat Islam hari ini masih mengharapkan PBB — seolah-olah badan yang sama ini mampu melindungi, mempertahankan atau membebaskan ummah ini.
Jadi, marilah kita bertanya lagi: Apa yang telah PBB lakukan untuk umat Islam sejak itu?
- Palestin
Walaupun lebih 100 resolusi PBB telah diluluskan, penjajahan Palestin semakin mendalam. “Israel” terus memperluas penempatan haram, sekatan ke atas Gaza kini berubah menjadi kepungan kebuluran, dan pada tahun 2023, lebih 57,680 rakyat Palestin — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — terbunuh dalam serangan udara tanpa henti. Seluruh hospital, sekolah dan tempat perlindungan PBB dimusnahkan. Kakitangan PBB turut menjadi mangsa.
Namun, masih tiada sekatan. Tiada pertanggungjawaban. Tiada penguatkuasaan.
Amerika Syarikat terus menggunakan kuasa vetonya untuk melindungi “Israel” daripada sebarang akibat, membuktikan sekali lagi bahawa dalam struktur PBB, pakatan politik mengatasi hak asasi manusia.
Malah Keberanian Moral Tidak Mampu Menyelamatkan Sistem Yang Rosak
Namun, dalam institusi yang sangat terkompromi ini, muncul seorang tokoh yang menjadi lambang integriti: Francesca Albanese, Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin yang dijajah.
Albanese tidak gentar dan tidak berkompromi. Beliau menyifatkan rejim “Israel” sebagai sistem “apartheid peneroka-penjajah” dan memberi amaran secara jelas mengenai kemungkinan berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Beliau mengkritik sikap berdiam diri Barat, mengutuk perlindungan terhadap jenayah perang, dan menuntut akauntabiliti di bawah undang-undang antarabangsa. Bahasanya jelas. Bukti-bukti yang dikemukakan sangat banyak. Pendiriannya juga tegas secara moral.
Namun, walaupun dengan semua ini — tiada apa yang berubah.
Kerana PBB tidak bertindak atas dasar keberanian atau kebenaran. Ia bertindak atas dasar politik dan kuasa. Jawatan Albanese, seperti pelapor-pelapor sebelum ini, tidak mempunyai kuasa eksekutif. Laporannya diabaikan oleh institusi yang sepatutnya bertindak balas kepada mereka. Apabila beliau bercakap benar, beliau difitnah, dipinggirkan, malah diancam.
Jadi, walaupun PBB melahirkan sejumlah tokoh bermoral tinggi yang jarang berlaku, namun sistem itu memastikan mereka tidak relevan secara praktikal. Keberanian Albanese hanya mendedahkan lagi betapa tidak warasnya sistem di mana pembunuhan beramai-ramai boleh didokumentasikan secara langsung, namun tiada apa yang dilakukan untuk menghentikannya.
- Iraq
Pencerobohan AS ke atas Iraq pada tahun 2003 dilancarkan tanpa kebenaran Majlis Keselamatan PBB. Peristiwa itu mengakibatkan lebih 460,000 orang mati dan negara itu hancur berkecai. Perang itu tidak sah dari segi undang-undang, namun PBB tidak melakukan apa-apa. Struktur veto memastikan penceroboh tidak boleh dipertanggungjawabkan.
Lebih buruk lagi: AS tidak peduli menggunakan vetonya — mereka bertindak secara unilateral. PBB menjadi pemerhati kepada salah satu peperangan paling dahsyat abad ini.
- Kashmir
Sejak India secara haram membatalkan Artikel 370 pada tahun 2019, Kashmir menjadi salah satu kawasan pendudukan tentera paling ganas di dunia. Puluhan ribu ditahan, diseksa, atau hilang. Pemimpin politik diam. Penduduk hidup dalam ketakutan, sentiasa diawasi dan ditekan secara berterusan.
PBB hanya mengeluarkan kenyataan. Ia menyatakan “kebimbangan.” Tetapi tiada satu pun resolusi dikuatkuasakan.
- Yaman
Perang yang diketuai Arab Saudi ke atas Yaman disokong oleh AS, UK, Perancis, dan “Israel”, kini telah memasuki tahun ke-10. Lebih 400,000 nyawa terkorban, kebanyakannya berpunca daripada akibat yang boleh dicegah seperti kelaparan dan penyakit. Jutaan rakyat menghadapi kebuluran, dan generasi demi generasi dihapuaskan.
PBB berulang kali gagal mempertanggungjawabkan pelakunya. Proses keamanannya sering lebih memihak kepada kepentingan Saudi dan Barat, bukannya keadilan atau hak untuk rakyat Yaman.
- Rohingya
Lebih sejuta Muslim Rohingya telah diusir sejak 2017, melarikan diri daripada apa yang disifatkan oleh pakar sebagai pembunuhan beramai-ramai. PBB mengeluarkan amaran, menerbitkan laporan, dan mengakui skala kekejaman tersebut. Namun, ia tetap tidak bertindak.
Walaupun doktrin “Tanggungjawab untuk Melindungi” yang diguna pakai pada tahun 2005, yang mewajibkan tindakan dalam menghadapi kekejaman besar-besaran — PBB hanya memerhati. Meskipun tanda-tanda amaran awal sudah lama kelihatan sejak bertahun-tahun, PBB tetap gagal mencegah pembunuhan, jenayah rogol dan pengusiran secara paksa.
- Syria
Dengan lebih 500,000 kematian dan lebih 12 juta kehilangan tempat tinggal, Syria kekal sebagai salah satu krisis kemanusiaan terbesar zaman moden. Penggunaan senjata kimia, kepungan kebuluran, dan serangan ke atas hospital semuanya telah didokumentasikan oleh PBB.
Tetapi, setiap usaha untuk bertindak telah diveto — biasanya oleh Rusia atau AS, bergantung pada pihak mana yang terlibat. Akibatnya? Kebuntuan. Lumpuh. Kematian berterusan.
Kesimpulan: Sistem yang Dicipta untuk Mengagalkan Ummah
PBB ditubuhkan pada tahun 1945 untuk mengekalkan keamanan global dan mencegah perang dunia seterusnya. Namun strukturnya yang didominasi lima anggota tetap dengan kuasa veto, memastikan ia berkhidmat untuk kuasa besar dunia, bukan keadilan sejagat.
Ia gagal di Bosnia.
Ia gagal di Palestin.
Ia gagal di Iraq, Kashmir, Yaman, Myanmar, dan Syria.
Malah terus gagal walaupun ketika ada individu seperti Francesca Albanese yang berani menyatakan kebenaran.
Seperti yang pernah diakui oleh bekas Duta AS, Nikki Haley, di hadapan Majlis Keselamatan:
“Apabila PBB secara konsisten gagal menjalankan tanggungjawab untuk bertindak secara kolektif, maka ada masanya dalam kehidupan negara, kita terpaksa mengambil tindakan kita sendiri.”
Kita juga mesti sampai kepada kesimpulan yang sama.
Bukan melalui PBB — sebuah badan yang lumpuh akibat politik — bahawasanya umat Islam akan menemui keadilan, keselamatan, atau kebebasan. Tetapi melalui pergantungan kepada Allah SWT, dan kekuatan serta kesatuan ummah.
Seperti yang diingatkan Allah SWT dalam Surah Al-Anfal:
﴿وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ﴾
“Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” [TMQ Al-Anfal (8):73]
Hanya ummah yang bersatu boleh mencegah tragedi seperti Srebrenica. Seterusnya, membebaskan Palestin, menamatkan penjajahan Kashmir, dan menghentikan pertumpahan darah di Yaman. Ini memerlukan penolakan terhadap sistem yang melayani kepentingan asing dan mengembalikan sistem pemerintahan yang hanya tunduk kepada Allah SWT.
#Sebrenica #Kahsmir #Yaman #Palestine #Rohingya
#ItsTimetobeOneUmmah #1Ummah #WeNeedKhilafah