Adakah Terdapat Jalan Rujuk Setelah Talak Tiga?
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Soalan:
Assalamualaikum… Tuan, saya ingin bertanya. Saya dan suami telah bercerai dengan lafaz talak tiga. Namun begitu, suami ingin kembali rujuk dan tidak mahu saya berkahwin dengan orang lain. Sebenarnya, saya juga masih menyayangi suami. Mohon penjelasan daripada Tuan agar kami dapat kembali menjadi suami isteri. Terima kasih.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam….
Terdapat dua kemungkinan berkaitan dengan talak tiga:
Pertama: Talak tiga berlaku dalam tiga waktu berbeza. Contohnya, suami menjatuhkan talak kali pertama, kemudian rujuk. Pada masa lain, menjatuhkan talak kedua dan kembali rujuk, dan akhirnya menjatuhkan talak kali ketiga. Dalam kes ini, tiada khilaf dalam kalangan para ulama bahawa talak tiga telah pun jatuh secara sah.
Kedua: Talak tiga dijatuhkan sekaligus dalam satu lafaz, contohnya dengan berkata: “Aku ceraikan kamu dengan talak tiga.” Menurut pendapat majoriti sahabat, tabi’in, serta imam mazhab yang empat [Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali] dan juga Ibnu Hazm daripada mazhab Zhahiri, talak tersebut dikira sebagai tiga talak sekaligus.
Namun, terdapat juga pandangan daripada Thawus, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, Ibnu Taimiyyah, dan Ahlu az-Zahir yang mengatakan talak tiga sekaligus hanya dikira sebagai satu talak sahaja. [Rujukan: Fatwa MUI tahun 1981].
Akibat Talak Tiga
Bila telah jatuh talak tiga, maka tidak ada jalan untuk rujuk kembali dengan isteri, kecuali isterinya berkahwin dengan lelaki lain dan melakukan hubungan suami-isteri dengan suami baru tersebut, kemudian suami baru tersebut menceraikannya. Akan tetapi haram hukumnya melakukan pernikahan pura-pura hanya agar boleh kembali ke suami sebelumnya.
فَإِن طَلَّقَهَا فَلاَ تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىَ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ فَإِن طَلَّقَهَا فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
“Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” [TMQ al-Baqarah (2) : 230].
Daripada Ali bin Abi Thalib RA, dia berkata,
لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُحَلِّلَ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ
“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menikahi seorang wanita dengan tujuan agar wanita itu dapat kembali kepada suami pertamanya (muhallil) dan juga lelaki yang meminta hal tersebut dilakukan (al muhallal lahu).”[HR. Abu Daud dan Ibnu Majah].
Jika talak tiga telah berlaku, janganlah terlalu mengenang masa lalu. Allah SWT telah memberikan peluang untuk menilai kualiti hubungan dan tahap kesabaran dalam rumah tangga. Percayalah bahawa ketentuan Allah SWT adalah yang terbaik. Dia memberi jalan terbaik untuk hamba-hambanya, semoga puan mendapat pasangan yang lebih baik. Jika suatu hari nanti qadha Allah SWT setelah puan berkahwin dan berlaku perceraian secara semula jadi dengan suami baharu, maka barulah ada peluang untuk kembali bersama bekas suami terdahulu. Wallahu a’lam.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#Talak #Perceraian #TalakTiga