Perbezaan pendapat dengan pasangan, perlukah diselesaikan dengan perbalahan?
Penulis: Najmah Saiidah
Kita sering mendengar bahawa perbezaan pendapat atau perbalahan antara suami isteri adalah lumrah dalam perkahwinan, malah ia digelar sebagai “rempah” perkahwinan. Jadi, jika tidak ada pertengkaran langsung dalam perkahwinan, maka ia tidak menyeronokkan. Walau bagaimanapun, perbezaan pendapat juga boleh mencetuskan perbalahan dan akhirnya membawa kepada keretakan dalam hubungan suami isteri.
Lumrah
Pertengkaran atau perselisihan faham dengan seseorang biasanya bermula dengan perbezaan pendapat di antara kedua-duanya. Perkara ini juga berlaku bagi pasangan suami isteri terutamanya ketika awal perkahwinan dan ia kerap berlaku.
Ini adalah biasa kerana perkahwinan adalah proses penyatuan dua individu yang memiliki perspektif dan cara berfikir yang berbeza dan tabiat yang tidak sama. Maka, tidak menghairankan jika kadangkala kita akan terkejut dengan tingkah laku pasangan serta hal-hal yang kecil boleh menjadi besar.
Perselisihan faham serta perbezaan pendapat juga tetap akan berlaku walaupun sudah berkahwin dalam tempoh yang lama.
Walau bagaimanapun, semakin lama usia perkahwinan, setiap pasangan semakin mengenali dan memahami antara satu sama lain sehinggakan cara untuk menyelesaikannya menjadi lebih mudah. Mereka mampu untuk mengawal emosi apabila menyatakan pendapat sehinnga perselisihan tidak akan terus berterusan.
Perlukah ia berakhir dengan perbalahan?
Dugaan yang datang selepas berkahwin ialah ujian yang perlu dilalui dengan kematangan sikap dan pemikiran. Setiap masalah juga hendaklah dihadapi dengan hati dan fikiran yang jernih dan terbuka, sentiasa bersangka baik dan memaafkan sesama pasangan serta menjadikan Islam sebagai panduan dalam menyelesaikan pelbagai masalah atau perselisihan.
Di sinilah Islam datang untuk memberikan petunjuk kepada umat Islam—dengan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh terbaik—supaya ia tidak berakhir dengan perbalahan. Jadi apa yang boleh kita lakukan?
- Jadikan syariat Islam sebagai panduan.
Sebagai keluarga Muslim, kita seharusnya menjadikan akidah dan syariah Islam sebagai panduan dan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram dijadikan panduan dalam melakukan sesuatu perkara, bukan mengikuti hawa nafsu. Di sinilah pentingnya ahli keluarga untuk memberi pemahaman tentang syariat Islam dan berusaha untuk menjalaninya sesuai tuntunan dan petunjuk Allah SWT serta RasulNya.
Ketika syariat Islam dijadikan sebagai tuntunan dalam kehidupan berkeluarga, apabila timbul perbezaan maka ia akan meminimumkan berlakunya perselisihan atau perbalahan dengan pasangan. Ini kerana Islam berfungsi sebagai asas dan panduan, peraturan yang sempurna dan tidak berubah mengikut zaman. Selagi syariat Islam dipegang, maka keberkahan dan kedamaian akan sentiasa dicurahkan kepada keluarga kita.
- Memahami bahawa pasangan adalah sahabat kita.
Kehidupan perkahwinan adalah kehidupan persahabatan antara suami dan isteri. Suami adalah kawan baik isterinya dan isteri adalah kawan baik suaminya yang saling melengkapi dalam semua aspek kehidupan. Ini adalah sesuatu yang perlu difahami oleh pasangan suami isteri.
Sebagaimana layaknya sahabat, mereka berhak untuk memberikan cadangan, mengingatkan antara satu sama lain, menasihati dan berbincang ketika menghadapi masalah. Apabila berlaku perbezaan pendapat, bukan ego yang diketengahkan sebaliknya sangkaan baik bahawa pasangan juga mahu untuk menyelesaikan permasalahan bersama.
Selain itu, hubungan persahabatan ini akan menjadikan pasangan memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing serta saling terbuka sesama mereka. Ia akan menjadikan suami isteri mempunyai sifat empati dan tidak akan mudah untuk berburuk sangka antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka bertolak ansur dengan kesilapan dan kelemahan yang ada. Namun, sikap ini membolehkan pasangan untuk berfikir jauh sebelum menyuarakan pendapat.
- Mendengar dan tidak memotong percakapan.
Konflik kadangkala timbul ketika sebelah pihak tidak memberi peluang kepada pihak lain untuk bercakap dan akan mengakibatkan salah faham, rasa tidak dihargai dan emosi negatif yang mencetuskan perselisihan faham. Kita boleh mengelakkan perbezaan pendapat yang membawa kepada perbalahan atau pertengkaran dengan memberi peluang kepada pasangan untuk bercakap.
Kita mendengar dengan baik apa yang disampaikan, apa pendapatnya sehingga menyelesaikannya. Berusaha untuk memahami apa sebab di sebalik pendapat yang berbeza ini.
Serta yang paling penting, elakkan memotong ketika pasangan sedang bercakap. Dengan cara ini, kita memberi peluang kepada pasangan untuk meluahkan perasaan mereka tanpa disela. Jika kita malah melakukannya, pasangan kita akan tersinggung dan tidak ingin untuk terlibat dalam perbincangan kerana kita mencetuskan emosi mereka.
- Abaikan perbezaan yang tidak diperlukan.
Ketika kita berselisih faham dengan pasangan, ramai diantara kita tidak fokus dengan isu utama yang dihadapi. Apakah ia merupakan topik yang sangat penting untuk dibincangkan atau ia sebenarnya bukan permasalahan penting yang perlu dipertikaikan?
Sebaiknya, elakkan untuk mempertikaikan perkara-perkara kecil yang sebenarnya boleh diselesaikan tanpa berbalah. Cukup dengan salah seorang mengalah dan mengikut pendapat pasangannya. Sebagai contoh, mengenai rancangan untuk percutian anak-anak. Yang penting semua aktiviti adalah baik. Apabila timbul perbezaan sehingga menimpulkan perbalahan, lebih baik salah seorang mengalah. Masa dan tenaga yang kita gunakan untuk berbalah boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermakna.
- Tamatkan perbualan.
Terkadang, perbezaan pendapat memang tidak dapat dielakkan. Perbezaan pendapat juga akan bermula dengan perbincangan sehinggakan boleh terjadi perbalahan pada akhirnya. Jika nada suara mula meninggi, orang akan memaksa cara mereka dan akan menimbulkan suasana negatif, maka sudah tiba masanya untuk menamatkan perbualan untuk seketika. Kadang-kadang, kita perlu memberikan waktu kepada pasangan untuk berfikir dengan tenang.
Perbezaan pendapat dalam keluarga tidak selalunya buruk. Justeru, ia adalah peluang untuk kita dan pasangan saling belajar untuk menghormati pendapat orang lain. Kita akan semakin memahami antara satu sama lain, menerima sesama pasangan dan jadikan pengajaran.
- Berbincang dengan pasangan terkait permasalahan yang mubah.
Sebenarnya, perbezaan pendapat dengan pasangan bukan tentang siapa yang kalah atau menang. Perkara yang paling penting ialah mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh keluarga kita.
Dalam kitab Asy-syakhshiyyah Al-Islamiyah juz 1, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan tatacara musyawarah yang boleh kita jadikan sebagai rujukan apabila berlaku perselisihan pendapat dengan pasangan.
Jika ia berkaitan hukum syarak, kita mesti mengembalikannya kepada dalil dan tidak boleh berargumentasi mengenainya. Jika ia berkaitan pemikiran, kita kembalikan kepada pendapat yang betul. Manakala bagi hal yang melibatkan teknikal,kita boleh mengambil undi majoriti.
Jadi, merujuk kepada Syeikh Taqiyuddin mengenai isu teknikal, kita boleh berbincang dengan pasangan kita untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Kita boleh mempertimbangkan pendapat masing-masing, tetapi kita mesti memastikan bahawa perkara yang kita bincangkan adalah perkara teknikal yang mubah. Kemudian, kita mesti menilai yang mana paling mudah untuk dilaksanakan dan memastikan ia tidak ada masalah bagi ahli keluarga yang lain.
Khatimah
Kita akan menemui perbezaan pendapat di mana sahaja, walaupun dalam keluarga antara suami dan isteri. Perbezaan pendapat ini sebenarnya akan memberikan warna kepada sebuah keluarga jika kita mampu mengendalikannya. Ini bermakna, jika kita dan pasangan dapat menyelesaikannya dengan baik, maka ia tidak akan membawa kepada perselisihan faham ataupun pergaduhan.
Kuncinya adalah menjadikan akidah dan syariat Islam sebagai panduan untuk melayari kapal perkahwinan. Kita faham bahawa kehidupan berumahtangga adalah kehidupan persahabatan yang sempurna antara suami dan isteri.
Dan yang lebih utama ialah wujudnya komunikasi yang mendalam antara suami dan isteri.. Dengan ini, kita boleh mengendalikan perbezaan pendapat yang timbul antara kita dan pasangan.
Satu lagi perkara penting ialah doa yang dibacakan secara konsisten sepanjang perjalanan berumahtangga agar dapat bersama mengharungi ombak kehidupan dan suka duka. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita semua. Amin. Wallahu’alam