MEMAHAMI PENGERTIAN NUSYUZ
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, apakah maksud nusyuz? Jika isteri curang, adakah ia termasuk nusyuz?
Jawapan:
Pengertian nusyuz secara umum adalah ketidaktaatan isteri kepada suaminya (‘ishyān al-mar`ati li-zaujihā). Hukumnya haram jika isteri tidak taat (nusyuz) kepada suaminya, sesuai dengan firman Allah SWT:
وَالّٰتِيْ تَخَافُوْنَ نُشُوْزَهُنَّ فَعِظُوْهُنَّ وَاهْجُرُوْهُنَّ فِى الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوْهُنَّۚ
“Perempuan-perempuan yang kamu bimbang akan nusyuz, hendaklah kami beri nasihat kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidur (pisahkan tempat tidur), dan (jika perlu) pukullah mereka.” [TMQ An-Nisā’ (4): 34].
Ayat di atas telah mengharamkan isteri untuk berbuat nusyuz. Lalu apa pengertian nusyuz itu secara lebih mendalam? Seperti yang telah dinyatakan di atas, nusyuz itu dalam pengertian umumnya adalah ketidaktaatan isteri kepada suaminya. Namun, para ulama berbeza pendapat mengenai ketidaktaatan dalam perkara apa isteri itu dapat dikatakan nusyuz.
Ulama Hanafiyyah mengatakan:
اَلنُّشُوْز هُوَ خُرُوْجُ الزَّوْجَةِ مِنْ بَيْتِ زَوْجِهَا بِغَيْرِ حَقٍّ
“Nusyuz adalah keluarnya isteri dari rumah suaminya tanpa alasan yang benar menurut syarak.” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 40/284).
Sedangkan menurut ulama Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah, nusyuz menurut mereka lebih umum, iaitu ketidaktaatan isteri pada suaminya dalam perkara-perkara yang menjadi hak suami atas isterinya, bukan sekadar keluarnya isteri dari rumah suami tanpa alasan yang benar. Definisi nusyuz menurut mereka adalah:
اَلنُّشُوْزُ هُوَ خُرُوْجُ الزَّوْجَةِ عَنِ الطَّاعَةِ الْوَاجِبَةِ لِلزَّوْجِ
“Nusyuz adalah keluarnya isteri daripada ketaatan yang sifatnya wajib terhadap suaminya.” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 40/284).
Secara lebih spesifik, Imam Ibnu Qudamah (ulama Hanabilah) menjelaskan definisi nusyuz tersebut dengan disertai contoh-contohnya sebagai berikut:
وَقَالَ الْإِمَامُ ابْنُ قُدَامَةَ الْحَنْبَلِيُّ وَالنَّاشِزُ لَا نَفَقَةَ لَهَا، فَإِنْ كَانَ لَهَا مِنْهُ وَلَدٌ أَعْطَاهَا نَفَقَةَ وَلَدِهَا ، مَعْنَى النُّشُوزِ مَعْصِيَتُهَا لِزَوْجِهَا فِيمَا لَهُ عَلَيْهَا مِمَّا أَوْجَبَهُ لَهُ النِّكَاحُ. فَمَتَى امْتَنَعَتْ مِنْ فِرَاشِهِ، أَوْ خَرَجَتْ مِنْ مَنْزِلِهِ بِغَيْرِ إِذْنِهِ، أَوِ امْتَنَعَتْ مِنْ الِانْتِقَالِ مَعَهُ إلَى مَسْكَنِ مِثْلِهَا، أَوْ مِنْ السَّفَرِ مَعَهُ ، فَلَا نَفَقَةَ لَهَا وَلَا سُكْنَى فِي قَوْلِ عَامَّةِ أَهْلِ الْعِلْمِ ، مِنْهُمْ الشَّعْبِيُّ، وَحَمَّادٌ، وَمَالِكٌ، وَالْأَوْزَاعِيُّ، وَالشَّافِعِيُّ، وَأَصْحَابُ الرَّأْيِ، وَأَبُو ثَوْرٍ. (الإمام ابن قدامة ،المغني، ج 8 ص 236 ط. مكتبة القاهرة)
Imam Ibnu Qudamah (ulama mazhab Hanbali) berkata, “Isteri yang melakukan nusyuz tidak berhak mendapatkan nafkah (dari suaminya). Makna nusyuz adalah ketidaktaatan isteri kepada suaminya pada perkara-perkara yang menjadi hak suami atas isteri sebagai konsekuensi wajib yang muncul daripada akad nikah. Maka jika isteri menolak digauli suaminya (tanpa uzur syarie), atau keluar dari rumah suami tanpa izin suami, atau menolak diajak berpindah bersama suami ke rumah yang baru, atau menolak diajak bersafar bersama suami, maka isteri (yang nusyuz) itu tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal, menurut pendapat umumnya ulama. Di antara mereka adalah Al-Sya’bi, Hammad, Malik, Al-Awza’i, Al-Syafi’i, dan Ash-hab Al-Ra`yi, dan Abu Tsaur.” (Imam Ibnu Qudamah, Al-Mughni, Juz XVII, hlm. 236, cet. Maktabah Al-Qahirah).
Berdasarkan penjelasan Imam Qudamah tersebut, jelaslah bahawa nusyuz itu meskipun benar secara umum merupakan ketidaktaatan isteri kepada suami, namun ketidaktaatan ini sifatnya khusus pada perkara-perkara yang terkait hak dan kewajipan suami isteri, sebagai akibat daripada akad nikah. Perhatikan contoh-contoh nusyuz yang diberikan oleh Imam Qudamah:
Pertama, isteri tidak mahu melayani suami di tempat tidur.
Kedua, isteri keluar rumah tanpa izin suami.
Ketiga, isteri tidak mahu berpindah ke rumah yang baru bersama suami.
Keempat, isteri tidak mahu ikut bersafar bersama suami.
Jelaslah, bahawa nusyuz itu khusus berkaitan dengan ketidaktaatan isteri pada suami, pada perkara-perkara yang menyangkut interaksi dalam hidup bersuami isteri (al-hayat al-zawjiyyah), berupa berbagai hak dan kewajipan yang menjadi konsekuensi daripada akad nikah.
Dengan demikian, tepat sekali definisi nusyuz sebagai berikut, yang dirumuskan oleh Imam Taqiyuddin An-Nabhani, rahimahullah, dalam Nasyrah Soal Jawab bertarikh 17 Februari 1972:
النَّشُوزُ هُوَ مُخَالَفَةُ أَوَامِرِ الرَّجُلِ وَنَوَاهِيهِ، فِيمَا يَتَعَلَّقُ بِالْحَيَاةِ الْخَاصَّةِ وَفِيمَا يَتَعَلَّقُ بِأُمُورِ الزَّوْجِيَّةِ. أَمَّا مَا عَدَا ذَلِكَ فَلَا يُعْتَبَرُ نُشُوزًا
“Nusyuz adalah menyalahi perintah-perintah dan larangan-larangan daripada suami, khususnya pada apa-apa yang berkaitan dengan kehidupan khusus dan pada perkara-perkara yang berkaitan interaksi suami isteri. Adapun apa-apa yang selain itu, maka tidak dianggap nusyuz.” (Taqiyuddin An-Nabhani, Nasyrah Soal Jawab, bertarikhl 17 Februari 1972, dipetik dalam kitab Radd ‘Ala Kitab Al-Da’wah al-Islamiyyah, hlm. 221).
Dengan demikian, ketika isteri tidak mahu melayani suaminya di tempat tidur (ranjang), tanpa uzur syarie misalnya sedang haid atau sedang sakit, jelas isteri itu telah berbuat nusyuz, kerana masalah ini merupakan perkara yang menjadi hak suami atas isterinya, sebagai konsekuensi wajib daripada adanya akad nikah. Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيْءَ لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ.
“Jika seorang suami mengajak isterinya ke atas ranjangnya, tetapi isterinya tidak mematuhinya, maka para malaikat akan melaknat isteri itu hingga ke pagi.” (HR. Al-Bukhari,no. 5193).
Tetapi ketika isteri tidak mahu berpakaian muslimah (berjilbab dan berkhimar) dalam kehidupan umum ketika suami memerintahkan hal itu, maka isteri itu tidak dapat dikatakan telah berbuat nusyuz, kerana isteri itu walaupun secara zahirnya nampak seperti menyalahi perintah suami, namun hakikatnya isteri itu secara langsung telah menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya, kerana Allah dan Rasul-Nyalah yang telah mewajibkan jilbab dan khimar bagi wanita muslimah, baik wanita muslimah itu bersuami mahupun tidak bersuami.
Perintah berjilbab (memakai jubah longgar yang terhulur sampai ke bawah) bagi wanita muslimah adalah daripada Allah SWT:
يٰۤاَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِّاَزْوَاجِكَ وَبَنٰتِكَ وَنِسَآءِ الْمُؤْمِنِیْنَ یُدْنِیْنَ عَلَیْهِنَّ مِنْ جَلَابِیْبِهِنَّ
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” [TMQ Al-Ahzab (33): 59].
Perintah berkhimar (mengenakan tudung/hijab) bagi wanita muslimah, juga adalah perintah daripada Allah SWT:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudungnya hingga ke dada..” [TMQ An-Nur (24): 31].
Demikianlah pengertian nusyuz yang sahih, yang perlu difahami oleh kita semua, khususnya suami isteri. Meskipun ada sebahagian ulama yang memasukkan ketidaktaatan isteri dalam hak Allah, contohnya isteri tidak mahu solat, sebagai bahagian daripada nusyuz, tetapi pendapat yang rajih adalah pendapat jumhur ulama yang mengkhususkan nusyuz itu pada ketidaktaatan isteri kepada suaminya, pada perkara-perkara yang menyangkut hak dan kewajipan suami isteri, sebagai konsekuensi daripada akad nikah, seperti disebutkan oleh Imam Ibnu Qudamah dan Imam Taqiyuddin An-Nabhani di atas. Wallahu a’lam.