Nafkah untuk Keluarga adalah yang Paling Utama
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
«دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ»
“Satu dinar yang kamu nafkahkan (belanjakan) di jalan Allah, satu dinar yang kamu belanjakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu, maka yang paling besar ganjarannya adalah yang kamu nafkahkah untuk keluargamu.” (HR al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad no. 751, Muslim no. 995, Ahmad no. 10119 dan 10174, dan an-Nasai di dalam Sunan al-Kubrâ no. 9139).
Hadis ini diriwayatkan dari jalur Abu Hurairah ra. Ada juga redaksi lain yang senada dari jalur Tsauban ra. Abu Qilabah menuturkan daripada Abu Asma‘ daripada Tsauban ra. yang berkata: Rasulullah SAW bersabda:
«أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ، دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ، وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ عَلَى دَابَّتِهِ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى أَصْحَابِهِ فِي سَبِيلِ اللهِ» قَالَ أَبُو قِلَابَةَ: “وَبَدَأَ بِالْعِيَالِ”.
“Satu dinar paling utama yang dibelanjakan seorang lelaki adalah satu dinar yang dia belanjakan atas keluarganya, satu dinar yang dibelanjakan seorang lelaki atas haiwan tunggangannya di jalan Allah, dan satu dinar yang dibelanjakan pemiliknya di jalan Allah.” Abu Qilabah berkata, “Baginda memulai dengan keluarga.” (HR Muslim no. 994 dan al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubrâ no. 9138).
Imam al-Munawi (w. 1031 H) di dalam At-Taysîr bi Syarhi al-Jâmi’i ash-Shaghîr menyatakan, “Al-Qadhi al-Baidhawi mengatakan, sabda baginda [ دِيْنَارٌ ] (satu dinar)’ adalah mubtada’, dan [ أَنْفَقْتَهُ ] (kamu nafkahkan)’ adalah sifatnya dan kalimat [ أَعْظَمُهَا أَجْرًا ] (paling besar pahalanya)’ adalah khabar. Nafkah untuk keluarga itu lebih umum daripada keberadaannya yang wajib atau mandûb, dan ia paling besar pahalanya.”.
Imam al-Munawi (w. 1031 H) menjelaskan hadis Tsauban di dalam Faydh al-Qadîr, “Keluarga didahulukan kerana nafkah untuk mereka adalah yang paling penting, yang wajib dia berikan. Maksud hadis tersebut adalah dorongan atas nafkah untuk keluarga dan bahawa itu paling besar pahalanya berbanding semua nafkah sebagaimana yang dinyatakan oleh riwayat Muslim daripada Abu Hurairah ra.”
Imam an-Nawawi (w. 676 H) menjelaskan di dalam Syarhu Shahîh Muslim, “Ini adalah bab tentang keutamaan nafkah untuk keluarga dan hamba sahaya yang dimiliki serta dosa orang yang menelantarkan mereka atau menahan nafkah mereka daripada mereka. Maksud bab ini adalah dorongan atas nafkah untuk keluarga dan penjelasan tentang besarnya pahala di dalamnya. Sebab, di antara mereka ada orang yang wajib nafkahnya kerana kekerabatan, juga ada orang yang nafkahnya mandûb dan menjadi sedekah dan silaturrahîm. Di antara mereka juga ada orang yang nafkahnya wajib kerana pernikahan atau kepemilikan hamba. Semua ini merupakan keutamaan yang didorong dan itu lebih utama daripada sedekah tathawwu’. Oleh kerana itu, Rasul SAW bersabda dalam riwayat Ibnu Abi Syaibah:
«أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ »
“Yang paling besar pahalanya adalah yang kamu nafkahkan untuk keluargamu.” (HR Ibnu Abi Syaibah).
Padahal sebelum itu baginda menyebutkan nafkah di jalan Allah (jihad), dalam memerdekakan hamba, dan sedekah. Lalu baginda menguatkan nafkah untuk keluarga atas semua ini. Ini kerana apa yang telah kami sebutkan. Baginda lalu menambah penegasan dengan sabdanya dalam hadis lain:
«كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ»
“Cukuplah seseorang berdosa jika dia tidak menafkahi orang yang menjadi tanggungannya.”
Syihabuddin al-Qasthalani (w. 923 H) di dalam Irsyâd as-Sârî li Syarhi Shahîh al-Bukhârî menjelaskan, “Arah dalil tersebut bahawa nafkah untuk keluarga, yang merupakan fardhu ‘ain, lebih utama daripada nafkah di jalan Allah, iaitu jihad yang merupakan fardhu kifayah.”
Imam ath-Thabari, sebagaimana dikutip oleh Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani (w. 852 H) di dalam Fathu al-Bârî mengatakan, “Nafkah yang dimulai daripada keluarga itu mencakup diri sendiri. Sebab, diri seseorang itu termasuk keluarganya bahkan lebih besar haknya daripada keluarganya yang lain. Hal ini kerana, tidak boleh seorang pun menghidupkan orang lain dengan membinasakan diri sendiri, kemudian menafkahi keluarga begitu juga.”
Keutamaan pahala itu akan didapatkan jika dilakukan kerana mengharap pahala Allah. Adapun jika tidak dengan mengharap pahala-Nya, maka dia tidak mendapat pahala. Rasul SAW bersabda:
«إِذَا أَنْفَقَ المُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ، وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا، كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً»
“Jika seorang Muslim menafkahi keluarganya, dan dia mengharap pahalanya, maka untuk dia pahala seperti pahala sedekah.” (HR al-Bukhari no. 5351, Muslim no. 1002, Ahmad no. 17082, ad-Darimi no. 2706, an-Nasai no. 2545 dan Ibnu Hibban no. 4239).
Menurut Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani (w. 852 H) di dalam Fathu al-Bârî, “Sabda Rasul SAW ‘wa huwa yahtasibuhâ’ adalah muqayyad untuk kemutlakan yang ada bahawa menafkahi keluarga adalah seperti sedekah. Yang dimaksudkan dengan al-ihtisâb adalah maksud mencari pahala. Yang dimaksud dengan sedekah adalah pahala (ats-tsawâb) dan penyebutannya merupakan majaz at-tasybîh. Yang diinginkan adalah pokok pahala (ashlu ats-tsawâb), bukan kuantiti dan tata caranya (kualitinya). Dari situ dapat difahami bahawa pahala tidak diperoleh melalui amal kecuali dikaitkan (disertai) dengan niat.”
Ibnu al-Jauzi (w. 597 H) di dalam Kasyfu al-Musykil min Hadîts ash-Shahîhayn menjelaskan, “Makna yahtasibuhâ adalah dia meniatkan (memberi nafkah keluarga, red.) itu dalam rangka mentaati Allah dan mengharap pahala-Nya. Dengan begitu, nafkahnya diberlakukan seperti sedekah.”
Al-Hafizh Ibnu Rajab (w. 795 H) di dalam Jâmi’u al-‘Ulûm wa al-Hikam menyatakan, “Hadis ini menunjukkan bahawa tidak lain diberi pahala di dalamnya jika dia mengharapkan pahala di sisi Allah.”
Ubaidullah ar-Rahmani (w. 1414 H) di dalam Mir’âtu al-Mafâtîh Syarhu Misykât al-Mashâbîh menjelaskan: Al-Qurthubi mengatakan, “Sabda baginda dengan manthûq-nya memberikan faedah bahawa pahala dalam infak tidak lain diperoleh dengan maksud taqarrub (al-qurbah), samada ia wajib atau mubah. Dengan mafhûm-nya memberikan faedah bahawa siapa yang tidak memaksudkan al-qurbah, dia tidak mendapat pahala tetapi tanggungannya telah terbebas daripada nafkah yang wajib, sebab itu rasional (rasionaliti nas).”
WalLâh a’lam wa ahkam.
#Hadis #Nafkah #Keluarga #HukumSyarak #FikihKeluarga #KeluargaMuslimIdeal