Bolehkah Suami Tidak Memberikan Nafkah kepada Isteri yang Mempunyai Pendapatan Sendiri?
Oleh: Ustaz KH M. Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Ustaz, bolehkah suami tidak memberikan nafkah kepada isteri yang mempunyai pendapatan sendiri?
Jawapan:
Hukum asalnya, suami wajib memberikan nafkah kepada isterinya walaupun isteri mempunyai pendapatan sendiri. Namun, kewajipan ini boleh gugur sekiranya terdapat sebab syarie yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Contohnya, isteri telah melepaskan haknya untuk menerima nafkah daripada suami (al-ibra’/al-tanazul ‘an al-haqq), atau isteri melakukan nusyuz, iaitu tidak mentaati suami dalam urusan rumah tangga yang menjadi hak suami.
Kewajipan suami memberikan nafkah kepada isterinya antaranya berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (TMQ al-Baqarah [2]: 233).
Berdasarkan dalil tersebut dan dalil-dalil lain yang seumpamanya, suami wajib memberikan nafkah kepada isterinya (‘Abdurrahman al-Maliki, Al-Siyasah al-Iqtishadiyyah al-Mutsla, hlm. 146).
Kewajipan suami memberikan nafkah kepada isteri tidak gugur walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Hal ini kerana tidak terdapat dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menggugurkan kewajipan nafkah dalam keadaan tersebut.
Para ulama turut menegaskan perkara ini sebagaimana dalam beberapa petikan berikut:
Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah menegaskan:
“Nafkah kepada isteri tetap wajib ke atas suami walaupun isteri sudah mampu berdikari dari sudut kewangan dengan hartanya sendiri.” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma‘ad, 5/378).
Imam al-Kasani menjelaskan:
“Nafkah itu sungguh telah wajib hukumnya atas dia (suami). Dan hukum asalnya, bahawa bahwa apa yang wajib itu tidaklah gugur kecuali dengan memberikan nafkah itu (kepada isteri) atau dengan pelepasan hak nafkah (al-ibra) (oleh pihak isteri).” (Imam al-Kasani, Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib al-Syara’i‘, 5/158).
Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin menjelaskan:
“Wajib atas seorang lelaki untuk memberikan nafkah kepada keluarganya, iaitu isteri dan anak-anaknya, mengikut kadar yang makruf, walaupun isterinya seorang yang kaya.” (Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin, Syarh Riyadh al-Salihin, 6/163).
Walau bagaimanapun, kewajipan suami memberikan nafkah boleh gugur sekiranya terdapat sebab syarie yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Antaranya apabila isteri melepaskan haknya untuk menerima nafkah daripada suami (al-ibra’ atau al-tanazul ‘an al-haqq).
Antara dalil yang menunjukkan bolehnya al-tanazul ‘an al-haqq ialah QS al-Baqarah [2]: 280 dan QS an-Nisa’ [4]: 92 (Hazim Ismail Jadullah, At-Tanazul ‘an al-Haqq wa al-Ruju‘ ‘anhu wa Atsaruhu fi al-Furu‘ al-Fiqhiyyah, hlm. 27).
Begitu juga, kewajipan nafkah boleh gugur daripada suami apabila isteri melakukan nusyuz (Imam Ibn Qudamah, Al-Mughni, Juz VII, hlm. 564).
Yang dimaksudkan dengan nusyuz ialah ketidaktaatan isteri dalam perkara-perkara rumah tangga yang menjadi hak suami. Contohnya, suami meminta isteri melayani suaminya, tetapi isteri menolak tanpa sebab syarie seperti sakit. Suami melarang isteri keluar rumah, tetapi isteri tetap keluar. Suami meminta isteri berpindah ke bandar tertentu mengikut tempat tugas baharu suami, tetapi isteri enggan, dan sebagainya (Sayyid Sabiq, Fiqh as-Sunnah, 2/111).
Dalil gugurnya nafkah tersebut ialah QS an-Nisa’ [4]: 34 yang memberikan hak kepada suami untuk berpisah tempat tidur daripada isteri yang melakukan nusyuz. Menurut Imam as-Sarakhsi, ayat ini menjadi dalil bahawa hak isteri untuk menerima nafkah daripada suami gugur ketika isteri melakukan nusyuz (Imam as-Sarakhsi, Al-Mabsut, Juz III, hlm. 174).
Kesimpulannya, Suami tetap wajib memberikan nafkah kepada isterinya walaupun isteri mempunyai pendapatan sendiri. Kewajipan memberikan nafkah ini tidak gugur kecuali dalam keadaan tertentu yang mempunyai dalil syarie, misalnya apabila isteri melepaskan haknya untuk menerima nafkah atau apabila isteri melakukan nusyuz.
Wallahu a‘lam.
#rumahtanggamuslim #fikihrumahtangga #keluargamuslim #suamiisteri #nafkah