MENYAYANGI ISTERI
Penulis: Arief B. Iskandar
Selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah dan berzikir di surau bersebelahan rumahnya, ustaz muda yang juga merupakan seorang aktivis itu kelihatan termenung agak lama. Dia kelihatan keletihan setelah seharian bekerja di rumahnya kerana ‘ditinggalkan’ isterinya yang pada hari itu kerana perlu menyertai aktiviti dakwah dari pagi sehingga petang. Sebagai seorang ustaz, sudah tentu dia bukannya tidak faham betapa beratnya beban seorang isteri yang sekali gus memegang peranan sebagai suri rumah .
Namun, pengalaman menguruskan sendiri semua urusan rumah tangga pada hari itu merupakan tugas yang amat meletihkan. Tugasan tersebut bermula daripada menjerang air, menyapu rumah serta halaman, mencuci pinggan mangkuk serta pakaian, hinggalah memasak dan menyediakan makanan untuk anak-anak. Dia juga perlu memandikan mereka, menghantar serta menemani mereka ke sekolah (memandangkan ada yang masih belajar di tadika), menjaga serta menenangkan mereka apabila menangis dan meragam, membersihkan mereka selepas membuang air kecil atau besar serta menukar pakaian mereka, meleraikan pergaduhan antara mereka, dan pelbagai urusan lain.
Apatah lagi semua itu dilakukan sejak pagi hingga petang. Itu baru sehari. Bagaimana kalau terpaksa dilakukan setiap hari? Boleh jadi tertekan! Oleh sebab itu, ustaz muda itu semakin menyedari betapa tanpa kehadiran isteri, menguruskan rumah tangga dengan keempat-empat anaknya yang masih kecil itu rupa-rupanya tidak seringan yang dibayangkannya.
Semenjak dari itu dia mula menyedari bahawa kadang-kadang dia bersikap pentingkan diri. Sebagai suami dan ketua keluarga, dia berasa dialah yang paling penat kerana mencari nafkah, berdakwah, menguruskan jemaah, dan sebagainya. Sebelum ini, beliau merasakan dirinyalah yang paling sibuk. Akibatnya, apabila layanan isterinya dirasakan sedikit berkurang—sama ada disebabkan kelewatan, keadaan rumah yang agak berselerak, atau masakan yang kurang menyelerakan—beliau mudah merungut, malah tergamak mencela.
Kini, di tengah-tengah renungannya, dia amat menyesal. Tanpa disedari, air matanya menitis membasahi pipinya. Selepas solat Maghrib itu, dia menyedari betapa dia sering berlaku tidak adil terhadap isterinya. Semenjak itu, dia mula bersikap sabar dan tidak lagi merungut jika pada pandangannya isterinya kurang melayani dirinya atau menguruskan rumah tangganya.
Seorang suami memang wajar menghargai, menghormati, memuliakan dan menyayangi isterinya walaupun pada pandangannya, isterinya itu banyak kekurangan. Sebab, sekalipun ukurannya dikembalikan kepada piawaian material, kerja sebagai seorang suri rumah tangga sebenarnya amat mahal. Kenapa tidak?!
Dari sudut masa, jika seorang suami/bapa bekerja secara umumnya dari pagi hingga petang, atau paling lama sejak terbit fajar hingga terbenam matahari, maka seorang isteri/suri rumah tangga, meminjam ungkapan seorang ustazah, bekerja kadang-kadang jauh sebelum terbit fajar dan baru berhenti setelah ‘terpejam mata suami’. Oleh sebab itu, boleh dikatakan, seorang suri rumah tangga jauh lebih tangguh dan hebat berbanding suaminya.
Dari sudut kebendaan, di laman web http://www.reuters.com disebutkan bahawa selepas kaji selidik dijalankan terhadap 18,000 suri rumah tangga di Toronto, Kanada, mengenai senarai kerja rumah tangga harian mereka (seperti memasak, membersihkan rumah, menjaga anak, menguruskan keluarga, dan sebagainya), sebuah syarikat piawaian penggajian menghuraikan nilai, harga dan gaji yang wajar bagi “kerja” suri rumah tangga ini jika mereka digaji. Di Kanada, daripada sekian banyak tugas dan kerja domestik, seorang suri rumah tangga, jika digaji secara layak, pendapatannya sebulan boleh mencapai $124,000. Jumlah itu bersamaan dengan kira-kira RM254,500.00.
Jika sebanyak itu yang perlu diperoleh seorang suri rumah tangga, sudah tentu hanya seorang suami yang berkedudukan sebagai CEO sebuah syarikat besar, atau sekurang-kurangnya pemilik pelbagai perniagaan yang berjaya, yang mampu menggaji isterinya setiap bulan. Sudah tentu jumlah tersebut tergolong sangat besar jika dilihat daripada piawaian negara mana pun, hatta negara yang paling moden dan maju sekalipun.
Oleh sebab itu, “Satu salah faham yang sangat lazim apabila pilihan seorang wanita untuk menjadi suri rumah tangga dianggap lebih mudah dan lebih ringan daripada menjadi wanita berkerjaya . . . ,” kata Lena Boltos, seorang penyelidik tinjauan yang menjalankan kaji selidik dan pengiraan tersebut (Hidayatullah.com, 30/3/2010).
Jika sebesar itu nilai “kerjaya” sebagai seorang suri rumah tangga, maka secara berseloroh kita boleh mengatakan, alangkah kurang bijaknya seorang isteri/ibu sehingga sanggup mengorbankan urusan keluarga/rumah tangganya hanya kerana sibuk bekerja dengan gaji yang tentunya tidak seberapa berbanding jumlah di atas. Lebih kurang bijak lagi jika seorang suami memandang rendah isterinya, tidak mahu menghargai dan memuliakan isterinya, hanya kerana isterinya banyak berada di rumah sekadar menjalankan “profesion”-nya sebagai suri rumah tangga.
Itu dari sudut kebendaan. Bagaimana jika dilihat dari kacamata Islam? Dalam pandangan Islam, seorang suri rumah tangga bertanggungjawab sepenuhnya atas seluruh urusan keluarga/rumah tangganya kerana kedudukannya sebagai umm[un] wa rabbah al-bayt (ibu sekali gus pengurus rumah tangga). Dialah juga yang bertanggungjawab atas penjagaan dan pendidikan anak-anaknya. Seorang penyair Arab berkata, “Al-Ummu Madrasah al-Ula, Idza A’dadtaha A’dadta Sya’ban Khayr al-‘Irq” (Seorang ibu adalah sekolah pertama bagi anaknya. Jika engkau menyediakannya dengan baik, maka sama seperti engkau menyediakan bangsa yang berakar kebaikan).
Lebih daripada itu, betapa mulia dan terhormatnya kedudukan seorang isteri/suri rumah tangga tergambar dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA berikut:
Golongan wanita pernah datang menghadap Rasulullah SAW Mereka bertanya, “Ya Rasulullah, golongan lelaki telah pergi dengan keutamaan dan jihad di jalan Allah. Adakah amalan untuk kami yang dapat menyamai amalan para mujahidin di jalan Allah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Sesiapa sahaja antara kamu yang berdiam diri di rumahnya (melayani suaminya, mendidik anak-anaknya dan menguruskan rumah tangganya), sesungguhnya dia telah menyamai amalan para mujahidin di jalan Allah.” (HR al-Bazzar).
Subhanallah! Oleh sebab itu, tiada alasan bagi para suami, apatah lagi para aktivis dakwah, untuk tidak memuliakan dan menyayangi isterinya dengan setulus hati. Kalau boleh, berterima kasihlah kepadanya, setiap hari!
Wa ma tawfiqi illa billah wa ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi unib.
#parenting #keluargamuslimideal #kasihsayang