Ayah Bahagia dan Membahagiakan
Oleh : Dr.Rahma Qomariyah
Dalam sesebuah rumah tangga, Allah SWT telah menetapkan suami sebagai pemimpin rumah tangga. Dia wajib memimpin, melindungi, dan memberi nafkah kepada keluarganya. Peranan isteri adalah sebagai ibu, suri rumah, dan pendidik anak-anaknya di bawah pimpinan suaminya.
Allah SWT berfirman:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمً
“Orang-orang lelaki itu adalah pemimpin bagi wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian daripada mereka (lelaki) daripada yang lain (wanita), juga kerana mereka (lelaki) telah memberikan sebahagian daripada harta mereka (kepada wanita)” [TMQ An-Nisa’ (4): 34].
Di sinilah seorang lelaki mendapat kedudukan daripada Allah SWT sebagai seorang ayah. Kedudukan mulia ini boleh membawanya susah dan menyusahkan di dunia dan akhirat. Sebaliknya, kedudukan ini juga mampu membuatnya bahagia dan membahagiakan di dunia dan akhirat.
Untuk ayah boleh bahagia dan membahagiakan, menurut Imam al-Qudha’iy dalam Musnad asy-Syihab, kebahagiaan daripada segala kebahagiaan adalah panjang usia dalam ketaatan kepada Allah SWT. Daripada hal ini, beberapa faktor-faktor disimpulkan yang mampu menjadikan ayah bahagia dan membahagiakan sebagai berikut :
Pertama, ayah sentiasa melengkapi diri dan mendidik anak-anaknya menjadi pemimpin orang-orang bertakwa. Ibu bapa wajib mendidik anak-anaknya agar menjadi anak yang soleh, iaitu berkeperibadian Islam yang tingkah lakunya mengikut ajaran Islam. Pendidikan sangat penting diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya. Tiada sesuatu yang lebih bermanfaat bagi anak-anak, bagi kejayaan Islam dan kaum Muslim, kecuali pemberian pendidikan yang baik kepada anak-anak. Sabda Rasulullah SAW:
“ Tidak ada pemberian seorang ayah (ibu bapa) yang lebih utama daripada pendidikan yang baik”(HR.At-Tirmidzi).
Ibu bapa yang mampu memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anaknya ialah ibu bapa yang mampu membentuk anaknya menjadi qurrata a’yun lil muttaqina imama. Allah SWT berfirman :
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertakwa” [TMQ al Furqan (25): 74].
Imam ath-Thabari mentafsirkan ayat di atas, bahawa kandungan doa dalam ayat tersebut adalah memohon kepada Allah SWT :
(1) Pasangan dan anak-cucu yang bekerjasama untuk taat kepada Allah. Keluarga yang berkeinginan teguh untuk masuk syurga bersama-sama dan kemudian berkumpul semula di syurga.
(2) Diri dan keluarganya menjadi pemimpin orang-orang bertakwa, menjadi teladan dan bertakwa. Ini semua tidak boleh dicapai kecuali dengan ilmu dan amal.
Ertinya, ayah/ibu ayah mesti mencari ilmu agama untuk mendidik diri dan keluarganya sehingga apa yang ada dalam doanya tercapai.
Memang benar, ayah sebagai pemimpin dalam pendidikan keluarga.
Namun, untuk melaksanakannya, terutamanya pada anak-anak yang masih kecil, peranan yang paling utama adalah ibu. Ibulah asas pendidikan, madrasah utama dan pertama mereka. Kerana itu, para ibu dan bakal ibu, perhatikan pesanan ini : “Ibu, engkaulah sekolah yang pertama dan utama bagi anak-anakmu. Ditanganmulah kebaikan umat ini. Jika engkau mempersiapkan mereka, bererti engkau mempersiapkan umat menuju umat terbaik.”
Kedua, ayah memberi nafkah dengan rezeki yang halal dan keluarga sentiasa bersyukur. Allah SWT mewajibkan lelaki/suami sebagai pemberi nafkah keluarga. Tentu seorang ayah akan bahagia kalau mendapatkan rezeki yang halal dan mampu menafkahi keluarganya dengan cara yang makruf. Rezeki ini akan membahagiakan jika keluarganya sentiasa bersyukur. Kerana itu ayah wajib mendidik anak-anak dan isterinya agar pandai bersyukur. Rezeki ini hendaklah dibelanjakan sesuai keperluan, bukan mengikut keinginan, membazir dan mengutamakan kebendaan. Hal ini kerana, supaya rezeki yang diperoleh menjadi berkat dan semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keluarga yang selalu bersyukur tidak menuntut dan membebani ayah untuk memenuhi nafkah yang melebihi kemampuannya. Tidak sedikit ayah yang berasa sedih kerana tanggungan nafkah yang berat. Bahkan mendorong dia melakukan rasuah, penyelewengan dan hutang riba. Lebih daripada itu ada yang stress kerananya, malah membunuh diri.
Dalam Islam, isteri dan anak-anak diharamkan membebani ayah dalam masalah nafkah keluarga. Allah SWT berfirman :
وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لاَ تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلاَّ وُسْعَهَا لاَ تُضَآرَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلاَ مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ
“Kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma`ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anak-anaknya dan juga seorang ayah kerana anak-anaknya” [TMQ al-Baqarah (2): 233].
Dengan demikian seorang ayah mestilah mampu menjadikan keluarganya membelanjakan hartanya dengan betul dan pandai bersyukur. Ayah tidak boleh membina ekonomi keluarga berasaskan hutang seperti pinjaman rumah, kereta, motorsikal secara hutang dan yang berkenaan dengannya. Yang paling penting, membina ekonomi keluarga berasaskan hutang riba. Na’udzu billahi min dzalik.
Keluarga yang pandai bersyukur inilah yang mampu menghantarkan keluarganya menjadi keluarga amat bahagia, sakinah mawaddah wa rahmah. Allah SWT akan menambah rezekinya, sebagaimana janjiNya :
لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Sungguh jika kalian bersyukur pasti Aku akan menambah nikmatKu kepada kalian. Jika kalian mengingkari (nikmatKu), sungguh azabKu sangat pedih” [TMQ Ibrahim (14): 7].
Ketiga, ayah bergaul dengan keluarga secara makruf. Ayah yang mampu bergaul dengan keluarga secara makruf akan mampu menciptakan keluarga yang harmoni, saling membantu, dan saling membahagiakan. Pengaruhnya, isteri akan melaksanakan tanggung jawab dengan penuh cinta, semangat, riang dan bahagia. Ayah harus mampu menciptakan pergaulan suami-isteri yang harmoni, seperti dua sahabat. Demikian sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabani dalam An-Nizham al-Ijtima’I fi al-Islam. Dengan itu mereka mampu membentuk keluarga mereka menjadi amat bahagia, sakinah mawaddah wa rahmah.
Sekalipun kepimpinan ada pada suami, hal itu tidak menjadikan suami berkuasa dan berkeras terhadap isteri. Ini kerana hubungan antara suami dan isteri bukan seperti bukanlah seperti hubungan antara komander dengan tentera, ataupun antara suspek dengan pegawai polis. Ketika tanggungjawab isteri sangat banyak dan susah sehingga dia tidak mampu untuk mengerjakannya, maka suami berkewajipan membantu isteri untuk meringankan bebannya. Bantuan itu baik dibantu dengan tangannya sendiri mahupun dengan mengambil pembantu. Semuanya ini termasuk dalam kemampuan memberi nafkah secara makruf [TMQ al-Baqarah (2) :233].
Dalam suatu riwayat disebutkan, Rasulullah SAW, pernah menjahit seliparnya sendiri, membantu menggiling tepung dan membantu pekerjaan rumah yang lain. Ternyata Rasulullah SAW betul-betul hebat. Sekalipun saat itu baginda sangat sibuk tugas negara sebagai ketua Daulah Islamiyah, juga sebagai nabi dan rasulNya, beliau masih menyempatkan diri setiap malam sebelum tidur, bergurau terlebih dahulu dengan keluarganya.
Keempat, ayah mampu menjaga anak dan isterinya dari api neraka. Allah SWT berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً
“Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka [TMQ at-Tahrim [66]: 6].
Ayah yang membahagiakan akan sentiasa menginginkan keluarganya bahagia dunia dan akhirat. Ayah berusaha memberi ilmu agama Islam kepada keluarganya agar menjalani kehidupan mengikut syariah Islam secara kaffah. Baik urusan dunia mahupun urusan akhirat. Baik ketika interaksi sosial, aktiviti ekonomi, politik, kehidupan keluarga, hubungan dengan jiran, penglibatan dengan masyarakat, dan kehidupan dalam negara.
Sumber : Muslimah Pengukir Peradaban
#Ayah #PerananAyah #IslamicParenting #KepimpinanKeluarga