Mengajarkan Makna Musibah Kepada Anak
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Berturut-turut negara kita dilanda musibah. Tidak dapat dielakkan, musibah merupakan suatu keadaan yang dirasai oleh semua orang, tidak terkecuali anak-anak. Malah, amat mungkin anak-anak merasai keadaan yang jauh lebih berat berbanding orang dewasa. Ketidakfahaman akan makna dan cara menghadapi musibah boleh membuatkan mereka mengalami kemurungan serta trauma yang berpanjangan.
Selalunya orang dewasa, termasuk ibu bapa, terlepas pandang untuk memberikan kefahaman yang betul tentang erti dan cara menghadapi musibah kepada anak-anak. Wujud tanggapan bahawa anak-anak belum perlu memahami makna musibah. Padahal, anak-anak juga merasai penderitaan akibat musibah tersebut. Mereka berasa bingung dan tidak tahu apa yang sedang berlaku mahupun apa yang sepatutnya dilakukan. Apatah lagi sekiranya orang dewasa yang sepatutnya menenangkan mereka justeru berada dalam keadaan cemas dan tekanan. Anak-anak pasti akan berasa lebih cemas.
Di sinilah ibu bapa perlu memberikan pemahaman mengenai musibah kepada anak-anak mengikut kadar kemampuan akal mereka, agar mereka dapat menghadapi musibah dengan betul serta memperoleh ketenangan.
Pertama, menjelaskan prinsip keimanan bahawa bencana alam ialah tanda kekuasaan Allah SWT. Ibu bapa boleh memetik beberapa ayat Al-Quran yang menjelaskan kejadian hujan, angin, dan seumpamanya. Sebagai contoh, firman Allah SWT:
“(Dialah) yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dialah yang menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia hasilkan dengan (hujan) itu buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Oleh itu janganlah kamu mengadakan tandingan-tandingan bagi Allah, padahal kamu mengetahui.” [TMQ al-Baqarah (2): 22]
Manfaatkan waktu musibah atau perkhabaran mengenainya untuk mengukuhkan keimanan anak kepada kekuasaan Allah SWT. Tunjukkan betapa lemah dan kerdilnya manusia di hadapanNya, kerana hanya dengan air hujan, angin, atau pergerakan tanah, bangunan yang kukuh boleh hancur berderai.
Kedua, mengajarkan kepada anak-anak bahawa apabila musibah melanda, setiap Muslim mestilah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT. Ceritakan kisah Nabi Yunus AS yang sentiasa berzikir kepada Allah SWT sehingga akhirnya diselamatkan daripada perut ikan yang menelannya. Atau kisah Nabi Ayyub AS yang sentiasa mengingat dan memohon pertolongan daripada Allah SWT sehinggalah akhirnya dikurniakan kesembuhan olehNya.
Ketiga, mengajarkan kesabaran kepada anak-anak agar tidak berterusan menangis atau berada dalam ketakutan. Kisah Nabi Ayyub AS dan Nabi Yunus AS amat sesuai dijadikan ibrah (pengajaran) tentang kesabaran dan ketenangan sewaktu menghadapi musibah. Begitu juga kisah Nabi Yusuf AS yang mengandungi iktibar kesabaran dalam menghadapi ujian.
Keempat, mengajak anak untuk sentiasa taat kepada Allah SWT dan memberikan penjelasan bahawa Allah SWT akan menjaga orang-orang yang menjaga agamaNya. Demikianlah pesanan Nabi SAW kepada Abdullah bin Abbas RA:
“Jagalah (agama) Allah, nescaya Dia akan menjagamu.”
Ibu bapa boleh mengambil hikmah daripada pelbagai kisah orang-orang soleh yang memperoleh perlindungan berkat ketaatan kepada Allah SWT. Contohnya kisah Nabi Nuh AS dan pengikutnya yang diselamatkan oleh Allah SWT daripada bencana banjir besar, serta kisah Nabi Soleh AS dan Nabi Hud AS yang mendapat perlindungan daripada azab Allah SWT.
Demikianlah, musibah boleh menjadi detik berharga untuk menanamkan akidah dan ketaatan dalam keluarga, khususnya buat anak-anak. Dengan cara ini, anak-anak dapat memahami hakikat musibah secara betul dan mampu bersikap mengikut tuntutan agama. Lebih daripada itu, mudah-mudahan mereka mempunyai ketahanan mental yang kuat sewaktu berhadapan dengan sebarang musibah.
#Parenting #Musibah #IslamicParenting