Menanamkan Adab Berbicara kepada Anak
Oleh: Noor Afeefa
Antara perkara yang cukup merisaukan ibu bapa berkaitan tingkah laku anak-anak mereka ialah tabiat buruk dalam berbicara. Padahal berbicara merupakan aktiviti yang paling banyak dilakukan oleh manusia. Berbicara juga merupakan perkara pertama yang dilakukan oleh bayi ketika baru dilahirkan, iaitu melalui tangisannya. Betapa bahagianya seorang ibu ketika mendengar perkataan pertama yang diucapkan oleh buah hatinya.
Seterusnya, seiring dengan perjalanan waktu, anak mula membesar, berkembang dan menyerap pelbagai maklumat yang diterimanya. Pada ketika itulah anak mula banyak menyebut segala sesuatu yang pernah didengarnya. Malangnya, tidak jarang kebahagiaan ibu terpaksa digantikan dengan rasa bimbang, terutamanya apabila anak kesayangannya mula berbicara tanpa adab dan sopan santun, malah bertentangan dengan syariat.
Rasa bimbang kian mendalam apabila ternyata, meskipun anak sudah mula mencapai usia baligh, adab berbicara semakin ditinggalkan. Tidak jarang didapati mereka berani membantah nasihat ibu bapa atau guru, semakin pandai berbohong, tidak berasa berdosa ketika mencaci atau mengejek rakan, serta berani mendedahkan aib rakannya. Malah, mereka tidak teragak-agak untuk mengucapkan kata-kata kotor, kasar, sumpah seranah atau mengaitkan sesuatu dengan perkara yang tidak layak bagi manusia.
Mengapakah mereka boleh membesar menjadi sedemikian? Inilah antara permasalahan yang dialami oleh ibu bapa. Perkara ini kelihatan remeh, tetapi sebenarnya sangat berat kerana persoalan lisan (perkataan) boleh membawa implikasi ke syurga atau ke neraka. Oleh itu, ibu bapa seharusnya mempunyai kepekaan yang mendalam dan ilmu yang mencukupi dalam membimbing anak kesayangan mereka agar amanah yang Allah berikan itu dapat menjadi penuntun ibu bapa menuju syurga, bukannya menghalang mereka daripada memperoleh tempat yang paling mulia itu.
Sebahagian daripada Akhlak Islam
Betapa agungnya Islam yang mengatur aspek akhlak. Sebagai sebahagian daripada ajaran Islam yang tidak dapat dipisahkan, pengaturan akhlak dalam Islam mempunyai nilai untuk memberikan keunggulan atau kemuliaan kepada mereka yang melaksanakannya.
Syariat Islam telah memerintahkan umat Islam agar menghiasi setiap tingkah laku mereka dengan akhlak yang mulia, sama ada ketika beribadah, bermuamalah dengan orang lain mahupun dalam tingkah laku yang bersifat peribadi. Sebaliknya, syariat telah melarang umat Islam daripada akhlak yang tercela. Abdullah bin Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya.” [HR Muttafaq ‘alaih]
Antara akhlak Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT ialah adab. Bahkan, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang perkara yang paling banyak menjadi penyebab manusia masuk ke dalam neraka. Lalu, Baginda bersabda: “Perkara itu ialah mulut dan kemaluan.” [HR al-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Bukhari, Ahmad dan al-Hakim]
Rasulullah SAW ialah insan yang paling baik. Dalam berbicara, baginda sememangnya sentiasa dibimbing oleh wahyu. Namun, sebagai suri teladan bagi seluruh manusia, tingkah laku baginda merupakan contoh nyata bagi setiap Muslim.
Cara Menanamkan Adab Berbicara kepada Anak
Menanamkan adab berbicara mesti dimulakan seawal mungkin kerana perkara ini berkaitan dengan kebiasaan. Sebaliknya, membiarkan tabiat buruk itu dalam diri anak-anak akan menjadikannya suatu karakter yang sukar diubah. Berikut ialah beberapa panduan umum untuk menanamkan adab berbicara kepada anak:
Pertama: Tanamkan akidah yang kukuh.
Akidah yang kukuh akan menanamkan keyakinan bahawa sebagai hamba Allah, kita wajib mengikuti semua peraturanNya. Salah satu daripada peraturan tersebut ialah akhlak dalam berbicara (menjaga lisan). Melalui pendekatan ini, akan tertanam sikap ikhlas dalam melaksanakan akhlak tersebut semata-mata kerana Allah SWT. Sejak seawal mungkin, anak harus mula belajar melakukan kebaikan dalam berbicara, bukan untuk mengharapkan ganjaran material atau pujian daripada orang lain. Sikap ini juga akan memberikan ketahanan diri yang tinggi apabila anak berhadapan dengan ancaman daripada persekitaran yang kurang baik.
Kedua: Ajarkan keteladanan Rasulullah SAW dalam berbicara.
Antara contoh keteladanan Rasulullah SAW termasuklah sentiasa menyatakan kebenaran, bersikap jujur, berbicara dengan lemah lembut, terutamanya kepada ibu bapa, tidak banyak bercakap dan sebagainya. Semuanya menunjukkan betapa berharganya nilai berbicara itu.
Ketiga: Jangan bosan memberikan teladan.
Anak akan meniru kebiasaan berbicara dalam persekitarannya. Oleh itu, sebaik-baiknya ibu bapa dan seluruh penghuni rumah menjaga tutur kata masing-masing. Teladan yang baik juga akan mewujudkan persekitaran yang baik untuk anak, sehingga anak lebih mudah membentuk kebiasaan berbicara yang baik.
Keempat: Biasakan mengucapkan kalimah thayyibah.
Dengan membiasakan amalan ini, anak tidak mempunyai peluang untuk mengucapkan kata-kata kotor dan sia-sia. Antara kalimah thayyibah yang biasa diajarkan ialah kalimah Bismillah untuk memulakan setiap perbuatan baik, Astaghfirullah apabila anak melakukan kesalahan, Subhanallah apabila melihat pemandangan yang indah, Masya-Allah apabila memperoleh sesuatu yang menakjubkan, Inna lillahi apabila ditimpa musibah dan sebagainya.
Membiasakan anak dengan amalan ini juga dapat menghindarkannya daripada tabiat latah yang sia-sia. Tanamkan juga dalam diri anak bahawa mengucapkan kalimah thayyibah jauh lebih baik dan mendapat pahala berbanding mengucapkan kata-kata sumpah seranah seperti “gila!”, “busyet!”, “monyet!”, “dasar bodoh!” dan sebagainya.
Selain kalimah thayyibah, biasakan anak sejak kecil menggunakan kata-kata yang sopan ketika berinteraksi, misalnya “terima kasih” atau jazakallah, “maaf”, “tolong”, “tumpang tanya” dan ungkapan seumpamanya.
Kelima: Jauhkan anak daripada persekitaran yang tidak baik.
Tidak diterapkannya sistem Islam menyebabkan keluarga Muslim terpaksa lebih berhati-hati dalam menjaga anak-anak mereka. Walaupun kebiasaan berbicara yang baik sudah dibentuk di rumah, keadaan di luar rumah belum tentu sama. Padahal secara semula jadi, anak-anak juga memerlukan ‘dunia luar’ untuk belajar dan bersosialisasi.
Oleh itu, ibu bapa khususnya mestilah mampu membimbing anak dalam memilih rakan yang sesuai untuk mereka bermain. Jauhkan anak daripada menjalin persahabatan rapat dengan anak-anak yang mempunyai kebiasaan berbicara secara buruk. Berikan penjelasan yang bijaksana kepada anak supaya mereka tidak membantah atau mempersoalkan mengapa mereka perlu memilih rakan.
Ibu bapa juga hendaklah selektif dalam memilih rancangan media untuk ditonton oleh anak-anak. Jangan biarkan mereka menonton filem untuk orang dewasa, lebih-lebih lagi filem yang memaparkan adegan keganasan dan sering mengandungi kata-kata kasar.
Sebaliknya, berikan tontonan yang bersifat pendidikan dan dapat merangsang anak-anak untuk berbicara dengan baik. Jika anak terlanjur mendengar kata-kata kotor daripada media, maka menjadi tugas ibu bapa untuk menjelaskan hakikat kata-kata kotor tersebut dan mengajak anak agar menjauhinya.
Keenam: Bijak dalam memberikan teguran atau nasihat.
Apabila anak mengucapkan sesuatu yang tidak sesuai dengan syariat, maka ibu bapa wajib menasihatinya. Sewajarnya ibu bapa bersikap bijaksana dengan mengelakkan perbuatan mengejek ketika memberikan nasihat. Selain kata-kata sedemikian boleh menjadi doa untuk anak-anak, sebenarnya pada ketika itu ibu bapa sedang mengajarkan jenis perkataan yang buruk kepada anak mereka.
Nasihat yang benar seharusnya disertai dengan penjelasan dalil syariat, terutamanya bagi anak yang sudah semakin dewasa. Hal ini penting untuk menimbulkan rasa bersalah dalam diri anak kerana telah melanggar ketetapan Allah SWT dan RasulNya. Dengan demikian, diharapkan anak-anak tidak mengulangi kesalahan tersebut pada masa akan datang.
Ketujuh: Mewujudkan persekitaran di sekitar rumah yang sentiasa menjaga lisan.
Antaranya adalah dengan tidak membiarkan anak jiran yang mempunyai kebiasaan berkata buruk terus berbuat demikian, sebaliknya berusaha agar mereka meninggalkan tabiat tersebut. Kesilapan yang sering berlaku dalam masyarakat pada hari ini ialah menyerahkan pendidikan akhlak anak-anak jiran kepada ibu mereka sendiri. Padahal, apabila keburukan itu benar-benar berlaku di hadapan mata, maka usaha melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap anak jiran sudah tentu menjadi kewajipan kita. Walau bagaimanapun, kaedah yang baik perlu dicari agar tindakan tersebut tidak mencetuskan konflik antara jiran. Inilah yang dimaksudkan dengan kawalan sosial yang perlu diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan syariat Islam terpelihara.
Penutup
Sesungguhnya, anak-anak dapat memiliki adab berbicara yang sesuai dengan syariat apabila mendapat bimbingan yang mencukupi daripada ibu bapa mereka. Walaupun perkara ini bukanlah mudah, semuanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan dan tanggungjawab yang besar daripada ibu bapa.
Selain itu, sebagaimana yang kita ketahui, kebiasaan berbicara secara buruk dalam kalangan anak-anak tidak terlepas daripada kesilapan dalam pola asuhan ibu bapa, persekitaran yang tidak Islami serta sistem pendidikan yang kurang menekankan pelaksanaan syariat secara menyeluruh (kaffah), termasuk dalam aspek akhlak.
Oleh itu, usaha menanamkan adab berbicara kepada anak-anak juga perlu disertai dengan usaha memperjuangkan syariat dan Khilafah. Dengan demikian, usaha ibu bapa dalam melaksanakan amanah mendidik anak-anak akan menjadi selangkah lebih mudah.
Wallahu a‘lam bissawab.
Sumber : Majalah Al Wa’ie