Benarkah Isteri Tidak Wajib Melakukan Pekerjaan Rumah Tangga?
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Kebelakangan ini, saya agak terkejut mendengar cerita rumah tangga beberapa orang rakan yang sememangnya merupakan para aktivis dakwah. Terdapat keresahan dalam kalangan mereka berkaitan hak dan kewajipan suami isteri. Para suami merasa bimbang jika mereka melanggar syariat, manakala para isteri pula merasakan bahawa selama ini mereka telah ‘dipergunakan’ oleh suami dalam urusan rumah tangga.
Tema yang menimbulkan keresahan mereka ialah: siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap urusan rumah tangga seperti memasak, menyediakan makanan dan minuman, membasuh pakaian serta menggosoknya? Suami atau isteri?
Bermula daripada beberapa kajian berkaitan perkara ini, selain sejumlah artikel yang tersebar di dunia maya — yang seperti biasa menjadi viral dan tersebar ke merata tempat — sebahagian Muslimah beranggapan bahawa selama ini para suami telah tersilap memahami kewajipan mengurus rumah tangga. Mereka berpendapat bahawa membasuh, menggosok pakaian, memasak dan sebagainya sebenarnya bukan kewajipan isteri, tetapi kewajipan suami.
Dalil yang dijadikan sandaran ialah firman Allah SWT: “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.” [TMQ al-Baqarah (2): 233]
Di dunia maya juga tersebar sejumlah tulisan — sebahagiannya ditulis oleh para asatiz rahimahumullah — yang merumuskan hak dan kewajipan wanita dalam perkahwinan. Ringkasnya, dalam tulisan tersebut dinyatakan bahawa para ulama salafussoleh memahami bahawa para isteri sama sekali tidak diwajibkan memasak, membasuh, menggosok pakaian dan melakukan sejumlah pekerjaan domestik yang lain.
Dalam sejumlah tulisan tersebut disebutkan bahawa kewajipan seorang isteri hanyalah istimta’, iaitu memenuhi keperluan biologikal suami. Selain daripada itu, tidak ada kewajipan lain. Perkara ini memang masyhur dalam sejumlah kitab fiqah merentas mazhab.
Para pengikut Mazhab Hanbali, misalnya, berpendapat bahawa tidak ada kewajipan bagi seorang isteri melakukan pekerjaan domestik seperti membuat adunan, membuat roti atau memasak. Pendapat yang sama turut dinyatakan oleh para pengikut Imam al-Syafie seperti yang terdapat dalam kitab al-Majmu‘ (juzuk 16, halaman 427, edisi Maktabah Syamilah).
Menurut mereka, jika para isteri berkhidmat kepada suami dalam pekerjaan-pekerjaan tersebut, ia merupakan amal yang terpuji (al-akhlaq al-mardhiyyah), bukan suatu kewajipan.
Namun demikian, tidak semua ulama berpendapat sedemikian. Abu Tsaur[i] berpendapat sebaliknya. Beliau menyatakan bahawa seorang isteri wajib membantu atau berkhidmat kepada suaminya dalam segala perkara (yang makruf-penulis). Beliau memetik sebuah hadis yang dicantumkan oleh Imam Ibn Habib dalam kitab al-Wadhihah, iaitu:
إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَكَمَ عَلَى فَاطِمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِخِدْمَةِ الْبَيْتِ كُلِّهَا
“Sesungguhnya Nabi SAW menetapkan bahawa Fatimah — semoga Allah meredhainya — menguruskan seluruh urusan rumah.”
Ulama lain yang berpendapat sedemikian ialah Allamah Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani rahimahullah. Beliau berpendapat bahawa seorang isteri memang wajib melaksanakan tugas-tugas domestik. Beliau mendasarkan pendapatnya kepada keputusan Nabi SAW terhadap rumah tangga Fatimah al-Zahra dan Ali bin Abi Talib RA:
فَإِنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَضَى عَلَى ابْنَتِهِ فَاطِمَةَ بِخِدْمَةِ الْبَيْتِ ، وَعَلِيٍّ مَا كَانَ خَارِجًا مِنْ الْبَيْتِ مِنْ عَمَلٍ
“Sesungguhnya Nabi SAW menetapkan kepada puterinya, Fatimah, supaya mengerjakan pekerjaan di rumah, manakala kepada Ali bin Abi Talib diberikan pekerjaan yang dilakukan di luar rumah.” [Musnad Ibn Abi Syaibah]
Hadis di atas diperkuat dengan hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Pada suatu ketika, Ali bin Abi Talib dan Fatimah al-Zahra sama-sama mengadukan pekerjaan masing-masing kepada Rasulullah SAW. Ali menceritakan bahawa pekerjaannya mengambil air (dari luar rumah) menyebabkan dadanya terasa sakit. Manakala Fatimah mengadu tentang keletihannya menggiling tepung sehingga tangannya melepuh. Namun Rasulullah SAW membiarkan keadaan tersebut dan sebaliknya mengajarkan kepada mereka berdua wirid dan zikir yang akan membuatkan mereka dicintai dan dimuliakan oleh Allah SWT.
Sikap Rasulullah SAW yang membiarkan Ali bekerja di luar rumah dan Fatimah bekerja di dalam rumah menunjukkan bahawa baginda menetapkan demikianlah pembahagian aktiviti suami dan isteri dalam Islam. Seorang suami sememangnya perlu bekerja untuk mendapatkan keperluan isteri dari luar rumah seperti membawa air dan bahan makanan, manakala isteri menguruskan sektor domestik atau pekerjaan di dalam rumah seperti menggiling tepung, memasak dan sebagainya.
Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari menyebutkan, “Melaksanakan pekerjaan di rumah adalah wajib bagi seorang wanita meskipun si isteri memiliki kedudukan yang terpandang dan mulia, jika suami mengalami kesukaran (untuk mendapatkan pembantu).”
Ibnu Hajar berkata, “Demikianlah Nabi SAW menetapkan Fatimah melakukan pekerjaan di rumah, manakala Ali melaksanakan pekerjaan di luar rumah.”
Selain itu, Rasulullah SAW juga sering meminta isteri-isteri baginda melakukan pekerjaan dalam sektor domestik, iaitu pekerjaan rumah tangga, seperti mengambil air minuman, menyediakan makanan dan sebagainya.
يَا عَائِشَةُ اسْقِينَا ، يَا عَائِشَةُ أَطْعِمِينَا ، يَا عَائِشَةُ هَلُمِّي الشَّفْرَةَ ، وَاشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ
“Wahai Aisyah, tolong ambilkan kami minuman. Wahai Aisyah, tolong ambilkan kami makanan. Wahai Aisyah, ambilkan kami pisau dan asahlah dengan batu!” [HR. Abu Daud, Ahmad dan Ibn Hibban]
Allamah Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani rahimahullah juga berpendapat bahawa seorang isteri wajib melayani suami di rumah serta menguruskan rumah mengikut kemampuannya.
Jika pekerjaan rumah tangga mendatangkan kesusahan kepada isteri, maka suami wajib membantu meringankannya. Misalnya, menyediakan mesin basuh atau mengupah pembantu rumah bagi meringankan tugas isteri di rumah.
Sebaliknya, jika pekerjaan di dalam rumah adalah ringan dan mampu dilakukan oleh isteri, maka tidak ada kewajipan bagi suami untuk mendapatkan pembantu. Malah, isteri wajib melaksanakan pekerjaan tersebut. Hal ini berdasarkan apa yang telah diputuskan oleh Nabi SAW terhadap Fatimah, puteri baginda.
Syeikh Taqiyuddin juga menyebutkan bahawa seorang isteri wajib melayani suami seperti membuat adunan roti, memasak, membersihkan rumah dan menyediakan minuman apabila suami memintanya.
Sebaliknya, suami wajib menyediakan segala sesuatu yang perlu dilakukan di luar rumah seperti membuang sampah, menyediakan kayu api atau gas LPG, mendapatkan bahan makanan dari pasar dan sebagainya.
Rasulullah SAW juga mengingatkan para wanita agar berdikari dalam melakukan pekerjaan rumah tangga dan tidak membebankan suami apabila mereka sendiri mampu melakukannya. Sabda Nabi SAW:
لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى امْرَأَةٍ لاَ تَشْكُرُ لِزَوْجِهَا وَهِىَ لاَ تَسْتَغْنِى عَنْهُ
“Allah SWT tidak akan memandang kepada seorang wanita yang tidak berterima kasih kepada suaminya, sedangkan dia tidak berusaha melakukan sendiri tanpa membebankan suaminya.” [HR al-Bayhaqi]
Menurut kami, inilah pendapat yang rajih (kuat), kerana nas-nas syarak di atas menunjukkan pembahagian tugas antara suami dan isteri dalam sebuah perkahwinan. Demikian juga kehidupan rumah tangga para sahabat pada zaman Rasulullah SAW berlangsung sedemikian rupa.
Para sahabiyyah berkhidmat kepada suami mereka dan menyediakan pelbagai keperluan rumah tangga. Mereka menggiling tepung, memasak roti dan membasuh pakaian suami mereka. Rasulullah SAW membiarkan dan mengakui perkara tersebut. Sekiranya pekerjaan tersebut bukan kewajipan kaum wanita, sudah tentu Rasulullah SAW akan membatalkan aktiviti-aktiviti tersebut.
Selain itu, sekiranya suami memerintahkan isteri melakukan pekerjaan rumah tangga seperti memasak, membasuh, menyapu dan sebagainya, maka wajib bagi isteri melaksanakannya. Ketaatan kepada suami serta mengakui dan melaksanakan hak-hak suami merupakan amal yang agung bagi seorang wanita dalam rumah tangga.
Sabda Nabi SAW:
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا لِمَا عَظَّمَ اللَّهُ مِنْ حَقِّهِ عَلَيْهَا
“Seandainya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan memerintahkan seorang wanita supaya bersujud kepada suaminya, kerana Allah telah menjadikan besar hak suami ke atas dirinya.” [HR. Abu Daud]
Sebagai penutup, meskipun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pelbagai mazhab, kami melihat bahawa pendapat yang rajih dan lebih kuat ialah menetapkan pembahagian tugas antara lelaki dan wanita sebagaimana ketetapan Nabi SAW kepada Ali dan Fatimah. Para lelaki bertugas dalam pekerjaan di luar rumah, manakala kaum wanita bertanggungjawab terhadap pekerjaan-pekerjaan domestik.
Inilah medan amal soleh yang wajib mereka laksanakan. Perkara ini bukan sekadar ‘urf atau adat, tetapi merupakan ketetapan yang datang daripada nas syarak. Oleh itu, tidak ada alasan bagi seorang wanita untuk menolak pekerjaan domestik dengan alasan bahawa perkara tersebut hanyalah ‘urf, apatah lagi dengan mendakwa bahawa ia bukan tugas seorang isteri.
Sekiranya benar demikian, sudah tentu Rasulullah SAW akan membela keluhan puteri baginda sendiri. Namun, hakikatnya baginda membiarkan aktiviti tersebut terus dilakukan dan bahkan mengajarkan kepadanya wirid dan zikir.
Mengabaikan tugas-tugas rumah tangga merupakan kemaksiatan di sisi Allah SWT kerana termasuk dalam melalaikan kewajipan. Oleh itu, seorang isteri hendaklah berusaha sedaya upaya melaksanakan tugas-tugas rumah tangga dengan sebaik-baiknya, agar rumah tangganya menjadi tempat berkumpul yang menyenangkan bagi suami dan anak-anaknya.
Lebih daripada itu, amal dalam rumah tangga merupakan amal yang agung yang boleh menyamai jihad fi sabilillah yang dilakukan oleh kaum lelaki.
Wallahu a‘lam.
#rumahtangga #keluarga #suamisiteri