Krisis Global Umat Islam: Mencari Jalan Menuju Kemenangan
Lebih seabad lamanya, umat Islam telah menyaksikan penderitaan yang mendalam dan berkepanjangan di wilayah-wilayah kaum Muslimin. Daripada kebuluran dan pengeboman Gaza kepada perang saudara di Sudan, daripada ketidakstabilan di Syria kepada penindasan di sudut lain di dunia. Berjuta-juta umat Islam telah kehilangan nyawa mereka secara langsung melalui peperangan atau secara tidak langsung melalui perpindahan, kemiskinan, dan pencerobohan sistemik. Tragedi ini menimbulkan persoalan, bagaimana mencari jalan menggapai kemenangan dan pertolongan yang telah Allah SWT janjikan?
Hakikatnya, al-Quran telah pun memberikan jawapan yang jelas bahawa pertolongan Allah SWT tidak datang secara automatik. Pelaksanaan hukum-hukum Allah SWT lah yang menentukan kemenangan, rezeki, dan keselamatan yang dinikmati setiap manusia. Hukum-hukum ini bahkan dilaksanakan secara konsisten sepanjang sejarah umat Islam.
Allah SWT telah menetapkan sunnatullah yang dengannya dunia ini beroperasi. Api secara semulajadi sifatnya membakar, kelaparan juga mampu mengakibatkan kematian, melainkan Allah Azza wa jalla menetapkan sebaliknya sebagaimana mukjizat yang diberikan khas kepada para Nabi. Begitu juga kekalahan yang menimpa orang-orang yang beriman adalah kerana mereka melanggar syarat-syarat untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT iaitu ketaatan yang tidak berbelah bagi kepadaNya.
Umat Islam generasi awal telah berdepan dengan realiti ini. Dalam peristiwa Perang Uhud, selepas mengecapi kemenangan di Badar, mereka mengalami kekalahan yang parah kerana perbuatan mereka sendiri. Al-Quran telah mengingatkan mereka,
“…Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)” (TMQ Ali Imran [3]: 165), iaitu akibat perbuatan, kelemahan, dan kemaksiatan mereka sendirilah yang menyebabkan mereka mendapat hasil sebaliknya. Allah SWT juga berfirman,
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” [TMQ asy-Syuura (42): 30].
Ini menunjukkan bahawa kekalahan bukanlah satu hal misteri, bukan juga untuk dikaitkan semata-mata dengan musuh luar, sebaliknya ia adalah cerminan keadaan dalaman tubuh umat Islam itu sendiri.
Melihat kepada dunia Islam pada hari ini, penyebab yang sama telah menjadikan kehidupan umat mundur walau pun dibalut dengan serba serbi kemodenan. Pembubaran sistem pemerintahan Islam pada tahun 1924 iaitu keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah telah menghentikan pelaksanaan hukum Allah SWT ke atas seluruh umat Islam.
Sebagai gantinya, timbul gagasan nasionalisme, kesukuan, dan sekularisme yang merupakan panji-panji asing kepada Islam namun dianut oleh jutaan orang masa kini. Ironi, gagasan ini dirangkul erat menggantikan konsep kesatuan ummah yang padahal sudah terkandung dalam al-Quran. Sama ada para pemimpin mahu pun rakyat, dari Turki ke dunia Arab sehingga ke Asia, mereka sama-sama bersatu di belakang tokoh-tokoh nasionalis.
Padahal realitinya, tokoh-tokoh nasionalis telah memecah-belahkan identiti umat yang satu kepada identiti kebangsaan dan perkauman. Dengan demikian, umat Islam meninggalkan panji-panji Nabi “La ilaha illallah Muhammad Rasulullah”. Mereka meninggalkan persaudaraan yang dinaungi akidah, beralih kepada persaudaraan ashobiyah.
Sebenarnya, ada kos yang tinggi perlu dibayar oleh umat Islam hasil daripada perpecahan mereka setelah terpatri dasar sempadan garisan Sykes-Picott. Kos tersebut adalah kerosakan dan kemusnahan yang berterusan di tanah-tanah umat Islam di seluruh dunia. Wilayah-wilayah umat Islam yang merentang dua per tiga benua suatu masa dahulu telah menjadi tanah-tanah yang kecil dengan kekuasaan yang serba terbatas, dan pertelagahan yang berterusan akibat pelbagai faktor politik.
Antara bukti nyata kos berdarah yang perlu kita bayar lebih 100 tahun adalah pendudukan Palestin sejak era Mandat British sehinggalah pendudukan Yahudi Zionis. Tidak cukup dengan siri berdarah saban tahun dan peristiwa kelam Nakbah 1948, kini umat di Tanah Berkah kembali dibantai dengan dahsyat di mata dunia. Dan kita, umat ini, hilang keupayaan untuk melindungi Gaza. Tidak juga mampu menghentikan peperangan yang tidak berkesudahan di Sudan. Tidak mampu membantu memberi makan saudara-saudara yang kelaparan sehingga satu per satu rebah menjadi korban di depan mata kita.
Ini bukanlah situasi terpencil. Sebaliknya, ia adalah hasil kumulatif daripada perpecahan umat sejak berdekad lamanya. Ia adalah hasil kompromi dan pengkhianatan para penguasa hari ini dengan kuasa asing, dan tadbir urus wilayah-wilayah kaum Muslimin dengan menggunakan undang-undang selain daripada syariat Allah SWT.
Tindakan seperti demonstrasi, derma dan doa, walau pun patut dipuji, tetap tidak mencukupi dan tidak boleh menggantikan perintah al-Quran yang mewajibkan umat Islam bersatu di bawah hukum Allah dan menolak semua wala’ atau kesetiaan yang memecah-belahkan umat. Allah SWT sudah memberikan peringatan dalam al-Quran,
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu;…“ [TMQ al-Mumtahanah (60):1].
Malah, Rasulullah SAW sendiri mengajarkan kepada kita tingginya nilai darah seorang Muslim berbanding seisi dunia. Sabda Baginda, “Musnahnya dunia lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang muslim.” [HR Muslim, An Nasa’i dan At Tirmidzi]
Terkait hal ini, ada perkara perlu kita berlapang dada dan renungkan. Tatkala jutaan orang bergegas untuk melakukan ibadah di Tanah Suci, rela menempuh segenap kesusahan dan cabaran, namun sayangnya sikap bersegera yang sama tidak ada dalam usaha melindungi nyawa umat Islam dan menerapkan sistem Islam. Padahal, sekali pun ibadah itu adalah rukun Islam yang penting, tetapi ia bukanlah dengan sendirinya membawa kepada kemenangan. Allah SWT menuntut alasan untuk memberikan pertolonganNya, dan alasan itu perlu selaras dengan perintahNya, yakni kesatuan, keadilan, dan penerapan hukum-hukum Allah SWT secara kaffah sebagai sistem kehidupan manusia.
Oleh itu, perubahan sebenar hanya akan datang apabila umat ini menolak nasionalisme dan semua ideologi lain yang memecahbelahkannya, dan kembali menjadi `satu tubuh’ di bawah naungan pentadbiran Islam yang syumul. Sebagaimana dalam hadis dari Nukman bin Basyir, dari Nabi SAW, baginda bersabda,
“Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.” [HR Ahmad]
Perpaduan umat ini mestilah merentas sempadan, bendera negara bangsa, dan mengikat umat Islam sebagai saudara pada satu tujuan. Selagi perintah kesatuan ini belum terealisasi, penindasan akan berterusan, sumber kekayaan wilayah umat akan dirompak, dan darah umat Islam akan terus mengalir tanpa pembelaan yang haq di atas dunia.
Jalan menuju kemenangan bukanlah satu rahsia yang tidak mampu dirungkai dan tidak boleh dicapai oleh orang-orang yang beriman kepada Allah SWT, RasulNya dan Hari Akhir. Ia terletak pada syarat-syarat yang telah Allah SWT turunkan, antaranya, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;…” [TMQ Ali-Imran (3): 103]
Oleh itu, umat Islam perlu memandang serius terhadap bisyarah Nabi SAW bahawa akan kembali Khilafah `ala minhaj Nubuwwah, dan menjadikan ia sebagai visi dan misinya untuk meraih kemenangan bagi seluruh umat, bukan per individu semata. Umat Islam mesti sekali lagi hidup di bawah negara dan kepimpinan yang menerapkan sistem Islam, melaksanakan peraturan Allah SWT secara kaffah, dan meninggikan risalahNya sebagai sumber kedaulatan umat. Barulah janji Allah SWT tentang kemenangan, kemuliaan maruah, dan perlindungan seluruh umat Islam yang merentang benua akan dipenuhi dan kita nikmati. InsyaAllah.
Aliya Ab Aziz
(Lajnah I’lamiyyah MHTM)