Tidak Layak Merdeka Kerana Sistem Penjajah Masih Mengatur Kehidupan Umat Islam
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis HTM Ustaz Umar Husein menyatakan bahawa kita tidak layak dikatakan merdeka walau pun dalam konteks fizikal, penjajah telah keluar dari Malaysia kerana hakikatnya penjajah masih mengekalkan sistem kehidupan di tengah-tengah kehidupan masyarakat Malaysia.
“Tidak layak kita mengatakan merdeka, kita melaungkan jeritan kemerdekaan, walau pun dalam konteks fizikal kita sudah melihat penjajah keluar dari Malaysia, tapi pada hakikatnya penjajah masih lagi mengekalkan sistem kehidupan mereka dan penjajah juga berjaya menyiapkan mereka-mereka yang bersedia dan patuh untuk menjalankan sistem kehidupan yang ditinggalkan oleh penjajah,” ujarnya di akaun Facebook Abu Hamzah, bertajuk Hakikat Penjajahan, Isnin (18/8/2025).
Beliau melanjutkan, inilah satu persoalan yang perlu difikirkan kerana sistem yang mengatur kehidupan umat Islam adalah sistem penjajah.
“Satu persoalan yang perlu kita fikirkan, kita lihat apakah hari ini sistem pemerintahan yang diguna pakai di Malaysia, sistem ekonomi yang diterapkan, undang-undang yang dilaksanakan dalam institusi mahkamah di Malaysia, budaya yang diagung-agungkan, sistem sosial yang mengatur kehidupan masyarakat, apakah semua ini benar-benar bebas dari penjajah? Faktanya tidak!”, tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa sistem pemerintahan yang ‘dihadiahkan’ oleh penjajah adalah sistem demokrasi, sedangkan dalam Islam ada sistem pemerintahannya.
“Dalam Islam ada sistem pemerintahan Islam, sistem politik Islam. Dan pemerintahan beragama itu mestilah berasaskan kepada al-Quran dan as-sunnah, dan bentuk pemerintahan itu adalah Khilafah,” jelasnya.
Beliau menambah lagi, begitu juga dengan sistem ekonomi, sistem kehakiman, sistem sosial, polisi luar negara, polisi pendidikan masih lagi tidak bebas daripada aturan yang dibawa oleh Barat.
“Sistem ekonomi yang berasaskan riba, sedangkan riba adalah dosa yang diisytiharkan perang oleh Allah dan Rasul. Sistem kehakiman, undang-undang yang dipakai dalam institusi kehakiman di Malaysia jelas bukanlah undang-undang yang datang daripada wahyu. Begitu juga dengan sistem sosial, budaya yang mendominasi masyarakat atau pun umat Islam hari ini dan sistem-sistem yang lain masih lagi tidak bebas daripada cengkaman penjajah,” tambahnya.
Beliau menyimpulkan bahawa kemerdekaan hakiki itu hanya akan dapat dicapai dengan Islam apabila umat Islam menjadi hamba Allah SWT yang tunduk dan patuh sepenuhnya kepada sistem peraturan yang diturunkan oleh Allah SWT.
“Perkara yang perlu difikirkan bersama oleh kita, jika kita benar-benar inginkan kemerdekaan hakiki itu hanya dengan Islam. Kemerdekaan yang dibawa oleh Islam adalah apabila kita hari ini menjadi hamba yang tunduk, patuh sepenuhnya kepada sistem atau peraturan yang diturunkan oleh Allah SWT sama ada dalam konteks politik, ekonomi, budaya, undang-undang dalam institusi kehakiman dan sebagainya, inilah hakikat kemerdekaan yang sebenarnya,” simpulnya. []
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1BPZoL5hK4/