Site icon MuslimahHTM News

[NF144] Membina Keluarga Muslim Ideal Memerlukan Negara Ideal

[NF144 | Nahdhah Fikriyah]
Membina Keluarga Muslim Ideal Memerlukan Negara Ideal

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqaddimah

Pernahkah kita benar-benar menyedari apa yang sedang berlaku kepada keluarga Muslim pada hari ini? Adakah kita merasakan keluarga Muslim berada dalam keadaan baik-baik sahaja sehingga tiada keperluan untuk melakukan perubahan? Mari kita melihat sejenak realiti yang sedang dihadapi di sekeliling kita.

Hidup dalam sistem ekonomi kapitalisme, keluarga Muslim menanggung beban kewangan yang berat. Realitinya, ramai suami sebagai ketua keluarga terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan demi menampung keperluan ahli keluarga. Lebih menyedihkan, isteri juga terpaksa keluar bekerja bagi membantu suami menyara kehidupan keluarga.

Selain itu, keluarga Muslim hari ini tidak lagi hidup dalam suasana yang selamat. Kes-kes keganasan rumah tangga, penderaan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak semakin meningkat. Masalah sosial generasi muda pula kian membarah. Ditambah dengan gaya hidup sekular dan hedonisme yang melata, kehidupan keluarga Muslim semakin jauh daripada landasan Islam yang sebenar.

Islam sudah tidak menjadi the way of life, sebaliknya Islam hanya dijadikan sebagai agama ritual. Islam diambil hanya dalam aspek ibadah, perkahwinan, sebahagian aspek pengurusan harta dan jenayah sahaja. Sedangkan Allah SWT memberikan peringatan dalam firmanNya,

“Adakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan ingkar kepada sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan di dunia, dan pada hari kiamat nanti mereka akan diazab dengan Azab yang paling berat. Dan ingatlah Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu lakukan.” [TMQ: al-Baqaarah (2): 85]
Semua krisis yang berlaku terhadap keluarga Muslim ini adalah berpunca daripada sistem kapitalisme-sekular yang diterapkan dalam kehidupan keluarga Muslim. Sistem yang ada pada hari ini bahkan membuka seluas-luasnya pintu kemaksiatan menyebabkan institusi keluarga Muslim itu menjadi rapuh.

Khilafah: Negara Ideal Bagi Keluarga Muslim

Islam amat menekankan penjagaan institusi keluarga kerana keluarga merupakan asas kepada pembinaan peradaban Islam. Justeru, untuk melahirkan keluarga Muslim yang ideal, sokongan serta perlindungan daripada sebuah negara yang ideal amatlah diperlukan. Negara yang ideal itu tidak lain tidak bukan adalah Khilafah. Hanya melalui sistem Khilafah, keluarga Muslim dijamin dapat hidup sejahtera, aman, dan sentiasa berada di atas landasan syariat Islam.

Segala jaminan itu dapat direalisasikan melalui penerapan sistem Islam yang menyeluruh. Melalui sistem politik Islam, urusan umat diatur sepenuhnya berdasarkan syariat Islam, sehingga tercipta peraturan hidup yang memberikan keamanan dan kesejahteraan, termasuk kepada keluarga Muslim. Malah, pembinaan keluarga Muslim ideal bukan sahaja dipikul oleh individu, tetapi turut disokong oleh masyarakat dan negara yang sama-sama tunduk kepada syariat Islam.

Dengan kepimpinan politik Islam di bawah pemimpin Muslim yang bertaqwa, pemimpin berperanan sebagai ra‘in (penjaga). Rasulullah SAW bersabda,
“Imam (penguasa) adalah pemelihara dan dia bertanggung jawab atas pemeliharaannya (rakyat).” [HR Bukhari]

Kesejahteraan keluarga turut dijamin melalui keadilan sistem ekonomi Islam yang diterapkan oleh Khilafah. Negara akan memastikan setiap ketua keluarga mampu melaksanakan kewajipannya sebagai pencari nafkah untuk memenuhi keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) bagi ahli keluarganya. Khilafah menyediakan peluang pekerjaan seluas-luasnya, sehingga suami dapat menanggung keluarganya dengan baik. Dengan itu, isteri tidak dipaksa keluar bekerja, sebaliknya dapat fokus menjalankan peranannya sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumah tangga).
Jika terjadi keadaan di mana ketua keluarga tidak mampu menjalankan kewajipannya sebagai pencari nafkah contoh mengalami sakit parah, cacat atau lumpuh sehingga tidak membolehkannya melakukan kewajipan tersebut. Maka kewajipan memberikan nafkah tadi beralih kepada ahli waris. Allah SWT berfirman,

“Kewajipan bapa memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan sesuai kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan seorang bapa menderita kerana anaknya. Dan ahli waris juga menanggung kewajipan tersebut.” [TMQ: Al-Baqarah (2): 233]

Namun, jika tidak ada waris atau waris tidak memiliki kemampuan untuk menafkahi, maka kewajipan itu diambil alih oleh negara.

Selain itu, sistem sosial Islam juga mengatur kehidupan bermasyarakat agar tidak berlaku interaksi atau budaya yang merosakkan institusi keluarga. Khilafah akan menghalang pengaruh budaya songsang seperti hedonisme, liberalisme atau gaya hidup bebas dengan mengawal media serta menyekat penyebaran nilai yang bertentangan dengan Islam melalui peraturan khusus.

Dengan penerapan menyeluruh sistem Islam melalui Khilafah, keluarga Muslim akan dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan. Setiap anggota keluarga juga dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka dengan sempurna, sesuai dengan panduan syariat.

Peranan Keluarga Muslim Mengembalikan Khilafah

Apabila kita menyedari bahawa hanya Khilafah sebagai negara yang ideal untuk keluarga Muslim, maka setiap daripada kita mesti berjuang untuk mengembalikan semula Khilafah yang dianggap sebagai taajul al-furudh (makhkota kewajipan). Beberapa perkara yang mesti dilakukan oleh keluarga Muslim ialah:

Pertama, belajar dalam kelas kajian Islam kaffah (keseluruhan) sehingga memahami cara menegakkan Khilafah kerana menegakkan Khilafah adalah kewajipan bagi setiap Muslim. Maka, keluarga Muslim perlu menanamkan pemahaman Islam yang sebenar sehingga setiap anggota keluarga memahami tanggungjawab mereka dan turut sama berjuang untuk menegakkan Khilafah.

Kedua, mengajak umat Islam untuk bersama-sama belajar dan mengkaji Islam dengan cara mendakwahkan Islam kaffah di tengah-tengah masyarakat. Hal ini penting agar umat sedar bahawa sistem kapitalisme-sekular ini merupakan punca utama kerosakan keluarga Muslim. Kesedaran ini pula akan membawa kepada kefahaman tentang Khilafah sebagai penyelesaian hakiki bagi krisis yang melanda keluarga Muslim.

Ketiga, bergabung dengan jemaah dakwah yang turut sama memperjuangkan Khilafah. Ini adalah kerana menegakkan Khilafah itu tidak boleh dilakukan secara individu, kewajipan ini wajib dilakukan secara berjemaah. Firman Allah SWT, “Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebajikan (Islam) dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan merekalah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali-Imran (3): 104]

Rasulullah SAW sendiri mencontohkan dengan mengajak para sahabat RA bergabung dalam hizb ar-Rasul (parti Rasul) untuk menyampaikan pemahaman Islam di tengah-tengah masyarakat. Baginda SAW memulakan dakwah dengan menyeru individu-individu untuk menerima Islam membina mereka menjadi Muslim sejati dan seterusnya bergerak di tengah-tengah umat.

Khatimah

Dengan ketiadaan Khilafah pada hari ini, kita melihat bahawa keluarga Muslim menjadi benteng terakhir dalam menghadapi krisis yang melanda institusi keluarga. Namun, sekuat mana pun usaha kita mendidik, menjaga, dan membina keluarga, tetap sukar untuk bertahan selagi sistem kehidupan yang menaungi umat tidak berlandaskan Islam.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha mempelajari Islam, mendakwahkan Islam, serta bergabung dengan jemaah yang menyeru kepada penerapan Islam kaffah. Hanya dengan itu, keluarga Muslim yang ideal dapat direalisasikan melalui sokongan dan perlindungan Khilafah.

Wallahu A’lam

Rujukan

  1. Majalah al-Wa’ie: Khilafah Penyelamat Generasi dan Keluarga
  2. Fikih Rumah Tangga Pedoman Membentuk Keluarga Bahagia, Syamsuddin Ramadhan (2004)
  3. Sistem Ekonomi Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, (2021)
  4. https://muslimahhtm.com/2024/09/23/adakah-keluarga-demokratik-ideal/
  5. https://muslimahtimes.com/2020/09/06/Khilafah-menjaga-ketahanan-keluarga/
Exit mobile version