[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 26
Masalah 25 : Membanding-bandingkan pasangan dengan ibu bapanya
Tidak sedikit pasangan yang tanpa sedar melukai hati pasangannya dengan membuat perbandingan, seolah-olah pasangannya harus meniru atau menyamai ibu atau bapanya. Misalnya suami berkata, “Ibu saya lebih pandai memasak daripada awak”, “ibu saya rajin dan pandai kemas rumah.”
Refleksi:
Menurut Sheikh Al-Mashri, “Seorang suami perlu menyedari bahawa generasi terdahulu adalah generasi yang hebat dan tidak mudah untuk diulang atau dibentuk kembali pada masa kini. Oleh itu, tidak wajar jika dia membanding-bandingkan kerja keras dan pengorbanan ibunya dengan kelemahan yang ada pada isterinya. Sikap seperti itu hanya akan merosakkan keharmonian rumah tangga bersama isterinya sendiri. Lebih buruk lagi, jika suami membuka ruang perbandingan seperti itu, bermakna isteri juga boleh sahaja membalas dengan membandingkannya dengan ayahnya.”
Situasi seperti ini pada akhirnya hanya akan menjadikan rumah tangga sebagai medan perselisihan yang tidak berkesudahan. Sebenarnya, setiap orang memiliki keistimewaan, kelebihan, dan kekurangan tersendiri, baik generasi sekarang mahupun generasi terdahulu. Lebih-lebih lagi, setiap pasangan dibesarkan dalam suasana serta budaya keluarga yang berbeza, maka sudah pasti wujud perbezaan dalam sikap dan cara hidup. Oleh itu, adalah tidak adil jika pasangan dinilai dengan pandangan yang berat sebelah.
Jika ada teladan yang baik daripada ibu bapa, sepatutnya ia dijadikan nasihat dan inspirasi, bukannya dijadikan perbandingan untuk mengkritik, menyindir, apatah lagi memaksa.
Kita juga perlu belajar sabar dan menghargai usaha pasangan untuk menjadi lebih baik, sebagaimana dia juga bersabar dengan kekurangan kita. Dengan menyedari hakikat ini, setiap pasangan akan mampu belajar redha menerima ketentuan serta takdir Allah SWT atas pasangan yang telah dipilihkan untuknya, walau apa pun kekurangannya. Ingatlah, ada kekurangan yang boleh diperbaiki, maka tetaplah menghargai setiap usaha yang dilakukan.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim