MEMBENTUK KEPERIBADIAN ISLAMI ANAK
Oleh: Ustazah Ratu Erma R.
Pembentukan keperibadian anak yang benar perlu dilakukan melalui pembinaan keimanan (akidah), pemupukan dan pembiasaan ibadah, pendidikan tingkah laku (akhlak), pembentukan jiwa, pembentukan intelektual dan pembinaan interaksi sosial kemasyarakatan. Masing-masing mempunyai cara praktikal yang mesti dilaksanakan.
- Pembinaan Keimanan
Pembinaan keimanan boleh dilakukan dengan cara: mengajar keyakinan bahawa Allah sentiasa melihat dan menemani manusia di mana sahaja dia berada; menanamkan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah serta menjadikan Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya sebagai contoh; sibukkan anak-anak dengan membaca al-Quran dan as-Sunnah sambil membincangkan maksudnya; membina keteguhan mereka dalam mempertahankan keyakinan dan bersedia untuk berkorban untuk hal tersebut.
Dalam tempoh tumbesaran anak, merupakan kurniaan dari Allah bahawa Allah akan melapangkan hati manusia agar dapat menerima iman tanpa perlu berhujah. Hal ini kerana setiap anak yang dilahirkan membawa nilai fitrah dan keimanan (Surah al-A’raf [7]: 172). Lihatlah, bagaimana Rasulullah menjadikan Ali bin Abi Thalib RA, kanak-kanak yang belum sampai sepuluh tahun, menjadi anak pertama yang memeluk Islam, mengenal Allah, mempelajari peraturan-Nya dan membela agama Allah serta Rasul-Nya.
Rasulullah pernah berwasiat kepada Muadz RA: “Nafkahilah keluargamu sesuai dengan kemampuan yang kamu miliki. Janganlah kamu mengangkat tongkatmu di hadapan mereka serta tanamkan dalam diri mereka rasa takut kepada Allah” (HR Ahmad, Ibnu Majah dan al-Bukhari).
Rasa takut kepada Allah akan mencegah anak-anak dari segala perbuatan buruk. Larangan Allah untuk mencela, menyakiti, mencederakan atau membunuh orang lain akan dipatuhi oleh anak-anak yang mempunyai rasa takut kepada Allah. Begitu juga mereka akan menjauhi makanan dan benda yang diharamkan oleh Allah.
- Pembinaan Ibadah
Pembinaan ibadah merupakan penyempurnaan dari pembinaan akidah, dan menjadi cerminan keyakinan. Dr. Said Ramadhan al-Buthi mengatakan, “Agar akidah anak tertanam kuat dalam jiwanya, ia hendaklah disirami dengan air ibadah dengan segala ragam dan bentuknya. Dengan begitu, akidahnya akan bertambah kukuh dan cekal dalam menghadapi terpaan badai dan ujian hidup.”
Rasulullah memberi busyra (khabar gembira) dengan sabdanya, “Tidaklah seorang anak yang membesar dalam ibadah sehingga ajal menjemputnya, melainkan Allah akan memberinya pahala yang menyamai 99 pahala shiddiq (orang yang benar dan jujur).”
Pembinaan ibadah dilakukan dengan menggalakkan pelaksanaan solat fardhu, ditambah pula dengan mengerjakan solat sunat, di samping mengajak mereka menghadiri solat berjemaah di masjid. Ibadah solat akan mencegah anak-anak dari perbuatan keji dan mungkar (Surah al-‘Ankabut [29]: ayat 45). Mereka juga mesti membiasakan diri menjalankan puasa sunat kerana puasa akan menguatkan daya kawalan anak terhadap segala nafsu. Mereka akan terbiasa sabar dan tabah. Demikian juga dengan amalan ibadah yang lain yang perlu dibiasakan untuk dilaksanakan oleh anak-anak agar mereka mempunyai keterikatan dengan hukum-hukum Allah.
- Pendidikan Akhlak
Akhlak adalah perangai yang dibentuk. Kerana itu, anak memerlukan didikan akhlak agar aktiviti sosial mereka terhindar daripada penyelewengan dan kesalahan. Anak-anak sangat memerlukan seseorang yang memberi perhatian kepada tingkah laku. Mereka membesar mengikut dengan tabiat yang diamalkan oleh ibu bapa mereka. Perangai buruk seperti menyendiri, emosi, cuai, mudah marah, tamak dan sebagainya adalah bentukan dari didikan. Begitu juga perangai yang baik seperti bersopan santun, penyayang, pemurah, dermawan, bijak, jujur dan sebagainya adalah bentukan dari didikan. Oleh kerana itu, jika pendidikan akhlak tidak diberi perhatian serius, perangai buruk akan menjadi masalah seperti yang berlaku kepada remaja dewasa ini.
Dalam pendidikan akhlak, ada beberapa prinsip yang perlu diberi perhatian. Adab (baik ketika bergaul dan berinteraksi) adalah keutamaan dalam pendidikan akhlak. Daripada adab yang baik akan melahirkan kebiasaan baik dan perilaku terpuji yang melahirkan amal yang soleh. Adab yang buruk akan merosakkan pola pemikiran yang akan melahirkan kebiasaan buruk, membentuk tingkah laku hina dan rendah serta menimbulkan perbuatan buruk yang lain.
Dalam hal ini, ibu bapa adalah contoh pertama, kerana mereka adalah pendidik pertama. Ajaklah anak untuk menemui ulama dan belajar dari mereka adab dan melaksanakan nasihat mereka. Beberapa adab yang mesti diajar kepada anak-anak ialah adab terhadap ibu bapa; adab terhadap orang yang berilmu, adab terhadap orang yang lebih tua; adab bergaul sesama Muslim; adab dengan jiran, meminta izin dalam pelbagai perkara (izin memasuki rumah orang, izin menggunakan harta orang, dan sebagainya); adab dalam penampilan; dan dll.
Salah satu tingkah laku asas yang perlu dibentuk dalam diri anak-anak ialah sikap amanah. Setiap anak mesti memiliki sikap amanah. Rasulullah telah menegaskan tanggungjawab seorang anak terhadap amanah yang dipikulnya. Rasulullah tidak segan-segan untuk memberikan hukuman kepada anak yang mengkhianati amanah dengan menarik telinga anak tersebut. Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab Al-Adzkar: Kami meriwayatkan dalam kitab Ibnu Sinni dari Abdullah bin Bisir ash-Shahabi RA yang berkata: “Ibuku pernah menyuruh aku menemui Rasulullah SAW dengan membawa segugus anggur. Namun, aku memakan sebahagian anggur itu sebelum memberikannya kepada Rasulullah SAW. Tatkala aku sampai di hadapan Rasulullah SAW, beliau menarik telingaku sambil berkata, “Wahai yang mengkhianati janji.’”
Begitu juga tentang akhlak menjaga rahsia orang lain, menjaga kebencian dan hasad dengki, serta jujur adalah sikap asas yang perlu dibentuk dalam diri anak-anak.
- Pembentukan Jiwa
Pembentukan jiwa dilakukan dengan cara memberi perhatian dan kasih sayang dalam bentuk langsung yang dirasai secara fizikal seperti, ciuman dan belaian; bermain dan bergurau dengan mereka; menyatakan rasa sayang secara lisan. Imam Bukhari meriwayatkan dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad bahawa Abu Hurairah RA berkata, “Saya mendengar dengan kedua telingaku dan melihat dengan kedua mataku. Rasulullah memegang kedua-dua tapak tangan cucunya dengan kedua tangannya, Hasan dan Husain. Kedua telapak kaki mereka berada di atas telapak kaki Rasulullah SAW. Kemudian beliau berkata, ‘Naiklah’ Lalu kedua-duanya naik hingga kedua kaki mereka berada di atas dada Rasulullah SAW. Kemudian beliau berkata, ‘Bukalah mulutmu.’ Kemudian beliau menciumnya dan berkata, ‘Ya Allah, saya mencintainya dan sungguh saya mencintainya.’”
Selain itu, ia boleh dilakukan dengan cara memberi mereka hadiah, penghargaan dan pujian. Ini dapat memberi pengaruh yang besar terhadap rasa kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak serta akan membentuk jiwa yang lembut dalam diri mereka. Rasulullah SAW pernah mengedarkan gula-gula kepada anak-anak yang ikut solat Asar bersama beliau. Bahkan beliau juga memberi bahagian tambahan kepada mereka. Cara lain membentuk jiwa anak-anak adalah menyambut mereka dengan penuh kemesraan. Sambutan mesra akan membuka jiwa mereka dan memudahkan mereka untuk meluahkan masalah.
Sering bertanya dan memberi perhatian kepada keadaan mereka merupakan cara lain untuk membentuk jiwa anak-anak. Sikap ibu bapa dalam menanggapi hal ini mempunyai peranan besar dalam mengatasi masalah mereka. Suatu hari Ummu Aiman melaporkan bahawa Hasan dan Husain telah hilang. Rasulullah segera meminta beberapa orang sahabat untuk mencari mereka di berbagai arah. Ketika ditemui, Hasan dan Husain sedang berpelukan ketakutan kerana ada seekor ular di hadapan mereka, Rasulullah segera menghalau ular tersebut dan pergi kepada kedua cucu beliau, melepaskan pelukan mereka dan mengelus kepala mereka sambil berkata, “Demi ibu dan ayahku, semoga Allah memuliakan kalian.” Kemudian beliau memegang tangan mereka dan berkata, “Sebaik-baik penunggang adalah mereka berdua.” Beliau melakukan ini untuk menghilangkan ketakutan mereka agar jiwa mereka kembali stabil dan tenang. Layanan yang baik terhadap anak–anak akan memberikan ketenangan kepada mereka, mendekatkan hubungan ibu bapa dan anak-anak agar sebarang masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan segera. Anak-anak yang jiwanya dipenuhi dengan perhatian dan kasih sayang akan melayan orang lain dengan kasih sayang juga.
- Pembentukan Intelektual
Ibu bapa hendaklah memotivasi anak-anak supaya bersemangat mencari dan mencintai ilmu. Menuntut ilmu adalah ibadah utama yang mendekatkan hamba kepada Rabb-nya. Masa kanak-kanak adalah masa yang sangat baik untuk mengembangkan keilmuaan dan pemikiran mereka. Ibu bapa hendaklah membimbing anak-anak memahami hukum-hukum Islam, mencari guru yang soleh, mendidik anak-anak mereka supaya mahir berbahasa Arab dan bahasa asing yang diperlukan, membimbing anak-anak mereka mengikut kecenderungan ilmuan mereka, menyediakan bahan bacaan di rumah, bercerita tentang orang-orang soleh pada generasi terdahulu dan menggalakkan anak-anak mereka untuk mencontohi penguasaan ilmuan mereka.
Contohnya Ibnu Sina. Pada usia 10 tahun, beliau telah memahami al-Quran dan adab dengan baik. Beliau menguasai asas agama, mengira, ilmu mantik dan lain-lain. Beliau mempelajari fikih, ilmu pengetahuan alam, tauhid dan lain-lain sehingga Allah membukakan segala pintu ilmu kepada dirinya kerana kecintaan dan kesungguhannya. Kemudian beliau seronok mempelajari ilmu perubatan sehingga pada zamannya beliau terkenal sebagai ulama yang menguasai banyak ilmu dan ketika itu beliau berumur 16 tahun. Apabila beliau menemui jalan buntu dalam memahami sesuatu ilmu, beliau berwuduk dan pergi ke masjid untuk solat dan berdoa agar Allah membuka kunci ilmu untuk dirinya. Beliau mengarang lebih daripada 100 buku dan artikel tentang pelbagai bidang keilmuan. Semangat menguasai ilmu kepada anak-anak akan menjadikan masa mereka lebih berkesan daripada kesia-siaan dan aktiviti lain yang tidak berfaedah.
- Pembinaan Masyarakat
Membina anak untuk melakukan interaksi sosial bersama masyarakat memupuk sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap masalah umat. Interaksi mereka dalam masyarakat memerlukan pemahaman yang matang. Terutamanya apabila mereka memasuki usia akil baligh. Seperti orang dewasa, mereka terikat dengan hukum pergaulan sosial, iaitu hubungan antara lelaki dan perempuan serta undang-undang kemasyarakatan seperti ekonomi, hubungan dengan jiran tetangga, persaudaraan, persahabatan, dan sebagainya. Anak-anak hendaklah memahami jenis pakaian yang perlu dipakai ketika di luar rumah, memahami batas-batas hubungan antara lawan jenis, memahami siapa yang harus dijadikan teman, dan cara berkelakuan terhadap jiran. Mereka juga perlu dijelaskan apakah peranan yang telah ditetapkan oleh Islam ketika berada dalam masyarakat. Pemahaman ini akan membentuk sikap kepedulian dan mendorong mereka untuk mengambil peranan positif dalam masyarakat.
Ini boleh dilakukan dengan cara menjemput mereka ke majlis mesyuarat orang dewasa, menghadiri pengajian agama di masjid, turut serta dalam kegiatan sosial kemasyarakatan, menzirahi jiran yang sakit, bermalam di rumah saudara yang soleh, turut memberikan sedekah kepada fakir miskin, ikut serta dalam organisasi sosial kemasyarakatan dan sebagainya. Mereka juga boleh terlibat dalam urusan keperluan keluarga seperti ditugaskan untuk mengutip hutang. Mereka akan diajarkan untuk mengutip hutang dengan cara yang sopan. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Dahulu ada orang yang suka memberi pinjaman kepada orang lain. Dia berpesan kepada anak lelakinya, ‘Jika kamu mendatangi orang yang dalam kesusahan maka maafkanlah dia. Semoga Allah memberikan ampunan kepada kita.’ Lalu dia pun meninggal dan Allah memberi dia ampunan.”
Hikmahnya adalah apabila anak-anak dididik untuk membantu keluarga, maka mereka akan mempunyai sensitiviti baru untuk mengetahui apa saja yang diperlukan oleh keluarga mereka, sebelum ibu bapa mereka menjelaskan apa yang mereka perlukan.
Dari sini, jelaslah bahawa membentuk peribadi anak yang soleh memerlukan keluarga yang memahami ideologi Islam, persekitaran masyarakat yang berpegang teguh dan menjalankan syariah Islam, serta negara yang menerapkan sistem pendidikan Islam. Tanpa semua itu, pembentukan anak yang soleh sama sekali sukar untuk diwujudkan.
WalLahu a’lam bi ash-shawab.
#MuslimahIdeal #SeniMembinaGenerasiPemimpin #IbuMuslimahInspiratif
#IslamicParenting