Ketika Berasa Sendirian
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Setelah akad nikah, kita sepenuhnya meyakini bahawa pasangan kita ialah orang yang kita pilih dan yang Allah SWT pilihkan sebagai pasangan hidup kita. Apa pun alasannya dan bagaimana pun kejadiannya, dia telah memenangi hati kita. Seterusnya, dia menjadi sosok berharga dalam hidup kita yang dapat membawa kita ke syurga. Tentunya dengan kita menunaikan hak-hak pasangan yang menjadi kewajipan kita. Allah SWT telah menyebutnya sebagai ikatan suci bernilai tinggi, mitsaqan ghalizhan.
Pasangan ialah insan istimewa kerana kedudukannya sebagai pasangan hidup kita. Tentu kita berharap bersama menjadi tua dalam suka dan duka. Semoga dapat melalui pasang surut kehidupan yang semakin rumit, kerana pada hari ini sistem Islam tidak dijadikan piawaian kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah berjuang bersama untuk menaklukkannya. Dengan rela hati, kita izinkan pasangan memasuki kehidupan kita yang sebenar. Malah, kita membiarkannya mengetahui tentang diri kita secara lengkap, iaitu baik dan buruknya, kelebihan dan kekurangannya, serta jatuh dan bangunnya. Sesungguhnya, pasangan ialah cerminan diri kita pada masa ini.
Oasis di Tengah Padang Pasir
Suami akan menjadi insan istimewa bagi isterinya, demikian juga sebaliknya. Hal ini kerana, secara idealnya, pasangan akan menjadi teman sejati yang paling memahami dan setia mendampingi apa sahaja yang berlaku. Dalam bingkai mewujudkan sakinah, memaknai ibadah, meningkatkan ilmu dan kualiti berfikir, sehingga bekerjasama membina ketakwaan kepada Allah SWT. Menjadi hamba Allah yang patuh, saling mengisi dan menguatkan, menyokong dengan tulus, menjadi penasihat yang jujur, serta bersedia menampung segala keluh-kesah pasangan. Secara idealnya, bersama pasangan yang istimewa itu, kita menjalani kebersamaan yang rapat, mesra, dan intim.
Jadikan perkahwinan sebagai sebuah oasis di tengah gurun pasir kehidupan yang mampu memberi kesejukan, kenyamanan, malah menghilangkan dahaga. Oasis yang akan menghadirkan sakinah, mawaddah, dan rahmah di bawah redhaNya. Tempat terbaik bagi kita untuk menyemai harapan dan merenda masa depan bersama, melahirkan zuriat yang soleh/solehah, kemudian menempa mereka menjadi para pejuang yang menyerukan kalimatul haq, menjadi penjaga Islam yang dipercayai.
Hanya sahaja, perjalanan perkahwinan tidak selalu lancar seperti yang diharapkan dan dicita-citakan. Bagaimana jika oasis itu semakin menyusut airnya? Tentu kita harus mengusahakannya agar oasis ini tidak hanya meninggalkan lubang yang menganga, kering dan tandus. Keluarga tanpa keintiman, kesejukan, kenyamanan, dan ketenangan.
Ketika Oasis Beransur Mengering
Tidak sedikit keluarga yang mengalami situasi yang berat. Bukan sahaja suasana yang tidak selesa, malah ada kalanya pada saat tertentu timbul perasaan bahawa kehadiran pasangan terasa mengganggu dan menyusahkan. Bukannya membantu dan memudahkan pelbagai aktiviti yang dilakukan, sebaliknya berasa terbeban.
Ada kalanya pasangan berkumpul bersama, tetapi tidak terasa kewujudannya. Mungkin kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Berada di tempat dan pada waktu yang sama secara fizikal, tetapi jiwa terbang menjauh dan tidak saling terhubung. Dalam keadaan tertentu, suami atau isteri boleh berasa sendiri. Misalnya, isteri bingung ketika anak-anak sakit atau ada masalah menimpa keluarga, tetapi suami seolah-olah sibuk dengan urusannya sendiri. Sebaliknya, ketika suami memerlukan kehadiran isteri di sisinya, si isteri pula lebih memilih melakukan urusan lain sehingga suami berasa diabaikan.
Tidak sedikit pasangan yang berasa sendiri dan kesepian dalam perkahwinan mereka. Secara hukum mereka memang mempunyai pasangan yang dibuktikan dengan adanya surat nikah, tetapi secara hakikat berjuang sendiri menghadapi pelbagai persoalan kehidupan. Meskipun sudah berkahwin, hampir seluruh masalah perlu diselesaikan sendiri. Kehadiran pasangan hampir tidak bermakna kerana gagal memberi manfaat yang maksimum, malah sering kali menjadi beban. Pasangan bersikap egois dan tidak peduli terhadap permasalahan yang berlaku dalam keluarga.
Memang banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Mungkin suami dan isteri saling berhusnuzan terhadap pasangan sehingga mempercayakan pelbagai permasalahan kepada pasangannya. Dia benar-benar percaya bahawa pasangannya pasti akan mampu menanganinya. Ada kalanya pula, dia berasa lebih cepat melakukan sesuatu sendiri atau tidak mahu menyusahkan pasangannya, sedangkan pasangan sebenarnya ingin membantu atau ingin dilibatkan dalam melakukan sesuatu atau menyelesaikan permasalahan.
Tentu sahaja jika keadaan ini menimpa perkahwinan, ia tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kita hendaklah berusaha agar situasi ini dapat diatasi, kerana keadaan ini boleh menjadi bom jangka bagi pasangan suami isteri. Lalu, apakah yang boleh dilakukan oleh pasangan suami isteri untuk mencegah perkara ini daripada berlaku?
1.Mengingat kembali visi dan motivasi dalam membina rumah tangga.
Asas perkahwinan ialah akidah Islam, bukan manfaat atau kepentingan. Visi yang kukuh akan membawa bahtera rumah tangga berlayar menuju pulau harapan, iaitu menuju keluarga sakinah, mawaddah, dan rahmah. Di dalamnya wujud suasana saling memberi, menerima, memahami, dan memerlukan. Keluarga yang jauh daripada sikap tidak peduli, kekerasan, dan kesewenang-wenangan. Menjaga visi perkahwinan akan menghindarkan anggota keluarga, termasuk pasangan suami isteri, daripada penyelewengan.
Sementara itu, motivasi berkeluarga yang benar merupakan asas untuk membina kehidupan rumah tangga yang kukuh. Islam menetapkan bahawa motivasi berkeluarga adalah untuk melaksanakan salah satu perintah Allah SWT. Oleh itu, memenuhi hak pasangan merupakan kewajipan yang penting dilakukan demi kelangsungan sebuah perkahwinan. Apabila semua ini difahami oleh pasangan suami isteri, maka penyatuan dua tubuh menjadi satu jiwa akan lebih mudah terwujud, walaupun bukan bermaksud tidak akan ada sebarang cubaan ketika menjalani kehidupan perkahwinan. Namun apabila cubaan datang, dengan visi dan motivasi perkahwinan yang benar, pasangan suami isteri akan mampu menghadapi cubaan dan permasalahan rumah tangga mereka bersama-sama. Kedua-duanya akan saling menguatkan.
- Berkomunikasi bersama pasangan.
Situasi apa sahaja yang menimpa keluarga kecil kita, sama ada yang menggembirakan ataupun sebaliknya, hendaklah dibincangkan dengan pasangan. Tentu sahaja ketika membincangkannya perlu diusahakan dalam suasana yang tenang. Lebih-lebih lagi apabila ada perkara yang kurang menyenangkan daripada pasangan, kita perlu memilih tempat dan masa yang tepat ketika membincangkannya.
Komunikasi yang berkesan menjadi kunci utama dalam sebuah perkahwinan yang akan membebaskan pasangan suami isteri daripada rasa curiga, fikiran negatif, dan kebimbangan yang lain. Komunikasi ialah jambatan pembentuk kepercayaan. Dengan komunikasi yang baik dan berterusan, pasangan lebih mampu menentukan langkah bersama menuju kebahagiaan yang diinginkan, insyaAllah. Karakter dan keinginan pasangan semakin dapat difahami sehingga proses penyatuan hati dan jiwa akan menjadi semakin mudah dan cepat. Dengan demikian, kewujudan kita akan sentiasa dirasai oleh pasangan, begitu juga sebaliknya sehingga kita tidak berasa sendiri ketika menghadapi pelbagai masalah keluarga.
Selain itu, saling menasihati, menyokong, dan berdiskusi dengan pasangan suami isteri merupakan perkara penting yang perlu dilakukan, tentunya dengan menjadikan syariat Islam sebagai landasan. Semua ini dilakukan atas dasar rasa cinta kerana Allah yang tertanam dalam hati sehingga keputusan apa sahaja yang dihasilkan daripada diskusi ini akan dijalani dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
- Tidak Membuat Andaian
Andaian ialah sesuatu yang diterima sebagai kebenaran tanpa disertai bukti. Manakala Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) mentakrifkan bahawa andaian ialah dugaan yang diterima sebagai asas atau landasan berfikir kerana dianggap benar. Daripada pengertian ini dapat difahami bahawa menjadikan andaian sebagai asas penilaian adalah satu bentuk penghakiman. Andaian cenderung membawa kepada prasangka buruk dan sangat mudah menimbulkan salah faham sehingga amat berbahaya bagi hubungan pasangan suami isteri.
Sesungguhnya, perkahwinan ialah penyatuan dua orang yang berasal daripada latar belakang dan keluarga yang berbeza. Oleh itu, pasangan suami isteri perlu saling memahami dan berbaik sangka terhadap pasangan agar tumbuh rasa saling percaya dan berempati antara satu sama lain. Lebih daripada itu, Islam memerintahkan kita untuk sentiasa berbaik sangka kepada sesama Muslim, lebih-lebih lagi kepada pasangan kita.
Apabila ada permasalahan, jangan mengutamakan kecurigaan, tetapi berprasangka baik terlebih dahulu. Kemudian lakukan tabayun dan bincangkannya bersama. Namun, ini tidak bermakna boleh bersikap bertolak ansur terhadap kesalahan dan kelemahan yang boleh merugikan pasangan. Sikap seperti ini akan memudahkan pasangan suami isteri berfikir dengan jernih sebelum memberikan pendapat dan menilai pasangannya.
- Lakukan muhasabah diri dengan merenungkan keutamaan hidup dan menyusun komitmen.
Keluarga Muslim yang tegak di atas syariat Islam, sesungguhnya akan mampu memperoleh ketenangan, ketenteraman, keadilan, dan rasa aman. Pasangan suami isteri dapat hidup bersama, berdampingan saling kasih dan mengasihi , serta menjalankan bahtera keluarga seperti dua orang sahabat sejati. Dengan demikian, kedua-duanya dapat sentiasa berkongsi suka dan duka, menyelesaikan masalah bersama, dan saling memberikan perhatian.
Hanya sahaja dalam kehidupan rumah tangga, kadangkala ada perkara-perkara yang membuat kita atau pasangan kurang berkenan. Apabila keadaan ini berlaku, maka perkara penting yang mesti dilakukan ialah saling muhasabah diri dan memahami keadaan pasangannya. Kedua-dua hal ini menjadi salah satu kunci kelangsungan sebuah perkahwinan. Seterusnya bersama pasangan, kita menyusun langkah yang harus dilakukan berikutnya untuk semakin mendekatkan hubungan suami isteri.
- Sering melakukan aktiviti bersama pasangan.
Beraktiviti bersama pasangan dapat menghilangkan kebosanan daripada rutin dan menyegarkan semula kehidupan perkahwinan. Selain itu, kita akan merasakan kewujudan pasangan secara nyata. Hujung minggu boleh menjadi momen untuk menyegarkan hubungan kita dan pasangan. Inilah saat yang tepat untuk membangkitkan semangat baharu dan memikirkan perkara-perkara yang luar biasa serta menyeronokkan bersama. Jika biasanya isteri berkebun atau merawat tanaman sendiri, maka ketika suami bercuti boleh diajak berkebun atau merawat tanaman bersama.
Kita juga boleh mengajak pasangan membersih dan mengemas rumah bersama. Pasti ada sahaja barang-barang yang boleh membuat kita mengingat perkara-perkara menyeronokkan yang dilalui bersama selama ini. Mungkin sahaja ketika itu kita menemui foto-foto perkahwinan atau kelahiran anak-anak, serta kad-kad ucapan daripada pasangan pada momen istimewa.
Selain itu, kita dan pasangan boleh menyusun semula rumah atau bilik tidur. Malah kita boleh melibatkan anak-anak sehingga suasana lebih syahdu. Selain memperoleh suasana baharu, ini akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan bagi anak-anak kita. Lebih seronok lagi apabila selesai menyusun rumah, kita menyediakan minuman dan makanan, lalu menikmatinya bersama. Sungguh kebersamaan keluarga akan sangat terasa. Kejenuhan pun hilang, berganti menjadi semangat baru. InsyaAllah.
Khatimah
Membina hubungan baik dengan pasangan adalah sesuatu yang mesti diperjuangkan dengan sebaik-baiknya dalam perkahwinan. Kita telah memilih, serta mengikat janji dan tekad yang kuat dengan pasangan kita dalam akad nikah kerana Allah SWT. Oleh itu, seharusnya kita dan pasangan berusaha keras memelihara perkahwinan dengan sebaik-baiknya supaya kekal dan harmoni.
Kita memang harus terus berusaha mewujudkan suasana persekitaran yang menyokong terbentuknya hubungan berkeluarga yang sihat, serta saling menjaga dan menguatkan. Apa sahaja yang mendatangi keluarga kita, sama ada yang baik atau buruk, hendaklah sentiasa dibincangkan dan diselesaikan bersama pasangan. Sentiasalah jadikan syariat Islam sebagai penyelesaian pelbagai persoalan. Komunikasi positif, sikap saling menghormati, dan menjaga adab terhadap pasangan perlu diutamakan. Dengan demikian, kita dan pasangan tidak pernah merasa sendiri. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat