Isu Palestin: Pemimpin Sekadar Mengecam, Umat Yang Bertindak
Oleh: Rahmah
Aktivis Muslimah, Ustazah Haszilah menyuarakan kekecewaannya berkaitan isu Palestin di mana menurutnya pemimpin sekadar mengecam sedangkan umat yang bertindak.
“Sekarang ini terbalik, perasan tak? Pemimpin dunia yang mengecam, kita yang bertindak. Sepatutnya kita sebagai umat biasa, kita yang mengecam, memuhasabah. Yang bertindak tadi adalah pemimpin dunia,” ujarnya dalam slot Open Circle bertajuk Palestin Gelombang Umat, Isnin (10/11/2025).
Menurutnya, pemimpin umat hanya berhenti pada kecaman, namun tiada tindakan nyata yang boleh membantu umat Islam dalam menghadapi kekejaman Israel.
“Kalau pemimpin dunia yang ada kuasa ini setakat mengecam tindakan Israel, setakat itu sajalah kan. Jadi macam mana nak capai target yang sebenar itu tadi, kan?” soalnya.
Tambahnya lagi, dalam isu Palestin, ramai rakyat yang kecewa apabila pemimpin hanya berdiam diri tanpa tindakan yang nyata. Malah sekadar mengeluarkan kenyataan umum dan yang lebih menyedihkan mengekalkan hubungan dengan negara yang secara terang-terangan menzalimi rakyat Palestin.
“Kita rasa tak senang duduk kan? Sedangkan pemimpin dunia, penguasa diorang duduk rileks saja, bahkan menjalinkan ikatan lagi dengan kafir laknatullah. Kenapa pemimpin dunia masih berdiam diri dan berstatus quo yakni tak buat apa-apa? Mengapa Zionis masih bertahan?” soalnya.
Beliau menjelaskan bahawa umat telah bertindak dengan pelbagai cara sebagai bentuk sokongan dan solidariti terhadap umat Islam di Palestin sekali pun hanya sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai kuasa politik.
“Tindakan umat yang akan bersuara, menunjukkan kebencian mereka terhadap tindakan Israel Zionis ini tadi. Mengapa keadaan ini berlaku? Mengapa umat yang terkehadapan dalam isu menyelamatkan bumi Palestin dan menamatkan kesengsaraan Gaza ini? Kenapa umat yang lebih ke depan?” katanya.
Beliau menyatakan Global Tsumud Flotilla adalah contoh nyata keberanian umat Islam dan aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara yang berani mempertaruhkan nyawa bergabung tenaga menghantar bantuan terus ke Gaza melalui laut. Ia adalah tindakan yang sangat bahaya kerana risikonya sangat besar termasuk kemungkinan diserang atau dihalang oleh tentera Zionis.
“Umat terkehadapan sebagai contoh Global Sumud Flotilla. Kita tertanya-tanya takkan mereka yang nak pergi tanpa tentera yang mengiringi? Yang pergi itu pula ada yang perempuan, angkatan yang kedua juga ada doktor-doktor yang tua-tua, yang kita kata memang akan ada risiko. Kita terfikir pasal keselamatan sebab dah tahu dah Zionis itu punya perangai macam mana kan,” jelasnya.
Menurut beliau, ini membuktikan bahawa rakyat lebih berani daripada pemimpin dalam bertindak dan mereka telah berusaha untuk merealisasikannya walaupun nampak sangat mustahil untuk tiba ke Gaza dengan selamat.
“Yang pergi itu ada dasar kesian, atas dasar kemanusiaan tapi tetap mereka ada risiko dipenjara, akan ditangkap. Sebab risiko itu kita dah tahu dah sebenarnya. Yang memang tak akan sampai dengan selamat. Jadi bila mereka dah cuba, Allah dah menilai pahala diorang,” terangnya.
Tambahnya lagi, walau pun rakyat telah bertindak dengan berusaha menghantar bantuan sedemikian rupa, ia secara tidak langsung telah menzahirkan kelemahan pemimpin-pemimpin yang ada.
“Nak tunjuk side negatifnya, angle yang lain yang kita nak ambil, lemahnya pemimpin umat Islam. Dari satu segi nak katakan bila umat dah bertindak macam tu, menunjukkan lemahnya pemimpin-pemimpin umat Islam sekarang ni. Sebenarnya ini sangat memalukan,” akhirinya.
#Gaza #SpeakUpforPalestin
#SaveGaza #FreePalestine #ArmiestoAqsa #ArmiestoGaza