[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]
Siri 8 – Bersikap Tegas dengan Perbuatan, Namun Tidak Mencederakan
Rasulullah pernah menggunakan pendekatan fizikal berupa bentuk penegasan dalam menyelesaikan hal ehwal rumah tangganya, misalnya mendorong tubuh. Namun, perlakuan ini sama sekali bukanlah perlakuan yang mengakibatkan kecederaan mahupun berniat untuk mencederakan. Perbuatan ini boleh dilihat dalam peristiwa dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, yang mana beliau berkata, “Mahukah kalian aku ceritakan tentang Rasulullah SAW dan aku?”
Kami menjawab, “Ya.”
Aisyah menuturkan, “Suatu malam, ketika baginda menginap di tempatku, baginda memalingkan tubuhnya, memakai sandalnya, meletakkan serbannya, lalu membentangkan hujung sarungnya di pembaringan. Baginda sangka aku sudah tidur. Setelah itu, baginda bangkit dari pembaringan dan mengambil serbannya dengan hati-hati. Baginda terus membuka pintu dan keluar rumah, lalu menutupnya dengan perlahan.”
Aisyah melanjutkan, “Aku kemudian menutup kepalaku dengan kerudung, dan memakai sarungku sebagai topeng. Setelah itu aku beranjak mengikuti baginda. Di kejauhan kelihatan Rasulullah SAW mendatangi Baqi’. Di situ baginda mengangkat kedua tangannya tiga kali dan baginda diam untuk tempoh yang agak lama. Seterusnya baginda berlalu pergi dan aku terus mengikutinya. Baginda melangkah dengan cepat dan aku juga sama. Ketika baginda berlari, aku pun berlari. Ketika baginda tiba di rumah, aku pun tiba di sana. Aku mendahului baginda masuk, lalu segera berbaring. Setelah itu, baginda masuk. Baginda bertanya kepadaku, ‘Apa yang berlaku pada dirimu, Aisyah, nafasmu tercungap-cungap?’”
Aku menjawab, ‘Tidak ada apa-apa, Rasulullah.’
Baginda bersabda, ‘Beritahukan padaku, atau Allah yang akan memberitahuku!’
Aku pun berkata, ‘Ya Rasulullah, demi ayah dan ibuku…’ Aku pun menceritakannya kepada baginda.
Rasulullah berkata, ‘Ternyata bayangan hitam yang ku lihat di depanku tadi adalah engkau.’
Aku menjawab, ‘Ya.’
Rasulullah lalu mendorong dadaku hingga terasa sakit. Baginda berkata,
‘Adakah engkau menyangka bahawa Allah dan Rasul-Nya akan berlaku zalim terhadapmu?’
Aku berkata, ‘Walaupun manusia menyembunyikan sesuatu, Allah pasti mengetahuinya.’
Seterusnya baginda bersabda, ‘Ya, Jibril datang kepadaku saat aku bermimpi. Dia tidak mahu masuk ke tempatmu, jadi aku mengalihkan bajumu. Kemudian Jibril memanggilku dan bersembunyi daripadamu. Aku pun merahsiakannya daripadamu. Aku sangka engkau sudah tidur, dan aku tak mahu membangunkanmu. Aku takut engkau akan mencari-cariku. Jibril berkata kepadaku, “Sesungguhnya Tuhanmu menyuruhmu untuk mendatangi penghuni Baqi’ dan memohon keampunan untuk mereka…”’[1]
Yang perlu difahami dari hadis ini adalah ucapan Aisyah,
“…kemudian Rasulullah mendorong (menolak) dadaku hingga terasa sakit…”
As-Sanadi rahimahullāh berkata, “Ini adalah bentuk hukuman yang diberikan Nabi SAW kepada Aisyah kerana dia telah berburuk sangka.”
Cara ini dilakukan untuk menunjukkan kemarahan dan ketidaksetujuan baginda terhadap sikap buruk isterinya. Ini adalah tanda keseriusan baginda dalam menghadapi masalah tersebut agar tidak sampai berulang lagi.
Ianya adalah tindakan fizikal yang mengingatkan akan kesalahan sikap isteri. Ia berbeza dari sentuhan biasa yang lazimnya dilakukan untuk mengungkapkan rasa cinta dan kerinduan.
Rumah tangga perlu didasari dengan sikap saling mempercayai daripada kedua pihak suami dan isteri. Oleh sebab itu, sikap buruk sangka tidak layak mendapat tempat dalam kehidupan berumah tangga. Jika tidak, rumah tangga akan menjadi rapuh dan hancur.
Tambahan lagi, perbuatan mendorong dengan cara tersebut adalah tidak lain untuk memperingatkan tentang bahaya sikapnya yang boleh menimbulkan kesan yang buruk.
Catatan kaki:
[1] Shahīh Muslim, Kitāb al-Janā’iz, no. 974; Sunan Nasā’ī, Kitāb al-Janā’iz, no. 2037, dan ‘Isyrāh an-Nisā’, no. 3963-3964; Sunan Ibnu Mājah, Kitāb al-Janā’iz, no. 1546, dan Iqāmah ash-Shalāt wa as-Sunnah Fīhā, no. 389; Sunan Tirmidzī, Kitāb ash-Shaum, no. 739
Rujukan: *Diterjemah dan diolah daripada sumber asal, Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat