5 Perkara yang Menjauhkan Konflik daripada Perkahwinan
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Perkahwinan tidak akan pernah sempurna, selalu akan ada kekurangan yang menjadi ujian. Namun sekurang-kurangnya terdapat lima perkara yang, jika dijadikan amalan dalam kehidupan berumah tangga, dapat menjauhkan konflik, malah mendekatkan suasana sakinah, mawaddah wa rahmah.
Tiada perkahwinan yang sempurna. Begitu juga tiada perkahwinan seindah kisah dongeng seperti Snow White atau Cinderella yang kononnya hidup bahagia selama-lamanya. Dalam setiap perkahwinan pasti ada potensi timbulnya konflik antara pasangan. Namun, itu tidak bermakna anda tidak boleh mencapai kebahagiaan dalam perkahwinan.
Bukankah Allah SWT telah menciptakan pasangan untuk kita, serta mensyariatkan perkahwinan agar kita dapat meraih kehidupan yang sakinah, mawaddah, dan rahmah? Sudah tentu semua itu tidak akan datang dengan sendiri. Ada langkah-langkah yang perlu diambil untuk membina perkahwinan yang bahagia dan menghindari konflik dalam rumah tangga.
Pertama: Segarkan dan Kuatkan Kembali Komitmen
Bukan hanya pasangan yang telah belasan atau puluhan tahun berkahwin yang boleh terlupa akan komitmen perkahwinan. Pasangan yang baru memasuki usia perkahwinan di bawah sepuluh tahun juga sering kali lupa terhadap komitmen hidup bersama. Banyak kajian menunjukkan bahawa tahun ketiga perkahwinan sering menjadi tempoh yang mudah dilanda konflik. Antara puncanya adalah keadaan kewangan yang belum stabil, keinginan berpindah ke rumah yang lebih selesa, isu penjagaan anak, atau belum dikurniakan zuriat dan sebagainya.
Penyebab konflik kebanyakannya adalah kerana mengabaikan komitmen perkahwinan. Bahawa perkahwinan itu adalah satu ibadah yang agung yang bertujuan untuk saling mengingatkan dalam kebenaran dan kesabaran, serta proses saling memahami antara satu sama lain dan sebagainya.
Luangkan waktu untuk merenung semula komitmen perkahwinan tersebut, baik secara individu atau bersama pasangan. Kenal pasti bahagian komitmen yang mungkin telah tersilap, kemudian hidupkan kembali komitmen-komitmen itu bersama.
Kedua: Biasakan Diri Bersikap Hormat Terhadap Pasangan
Rasa hormat bermaksud menghargai dan menghormati pasangan, sama ada dalam urusan peribadi mahupun ketika menjalani kehidupan bersama. Contohnya, jika suami gemar membaca buku sejarah atau mengumpul kasut, isteri boleh menunjukkan rasa gembira terhadap minat suami walaupun itu bukan hobi dirinya. Isteri juga boleh membantu dengan menyusun koleksi bukunya atau memastikan kasut suami tersimpan rapi agar tidak berhabuk.
Begitu juga jika isteri gemar menghabiskan masa me-time dengan membaca novel atau menata ruang rumah. Suami sepatutnya menghormati hobi isterinya dengan tidak memperlekehkan minatnya atau mengabaikan hasil usahanya menjaga rumah. Hargai pasangan dengan membiasakan tutur kata yang sopan, mengucapkan terima kasih atas kebaikannya, menghargai setiap pemberiannya dan sebagainya.
Rasa hormat dalam hubungan suami isteri amatlah penting. Seorang isteri hendaklah menghormati kepimpinan suami dengan menerima segala kelebihan dan kekurangannya. Sebaliknya, suami juga perlu menghargai kerja keras isterinya di rumah serta keletihannya dalam mengasuh dan membesarkan anak-anak. Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya perlu berusaha menjadi pendengar yang baik apabila pasangan berbicara. Sikap saling menghormati ini akan membantu menjauhkan konflik daripada perkahwinan.
Ketiga: Kurangkan Sifat Reaktif Dalam Perkahwinan
Adakah anda seorang yang cepat bertindak balas secara emosi terhadap sikap pasangan? Cepat marah, tersinggung, atau sedih apabila berdepan dengan pasangan? Sikap reaktif adalah kecenderungan untuk meluahkan emosi secara terburu-buru terhadap sesuatu situasi tanpa berfikir panjang atau berusaha bersabar terlebih dahulu.
Tidak sedikit suami yang mudah naik marah, mengherdik, malah memukul isteri apabila dikritik atau ketika isteri terlupa menyediakan minuman atau makanan. Begitu juga ada isteri yang cepat melenting apabila mengetahui suaminya memberikan wang kepada adik-beradik tanpa memaklumkannya terlebih dahulu. Ada juga isteri yang marah apabila suami pulang menziarahi ibunya tanpa memberitahu lebih awal.
Sikap reaktif ini lahir daripada sifat tergesa-gesa dan tidak mampu mengawal diri. Sifat sebegini sering kali menimbulkan masalah dalam hubungan suami isteri kerana emosi yang meledak biasanya bukan disebabkan alasan yang wajar. Rasulullah SAW telah mengingatkan agar kita tidak bersikap tergesa-gesa, termasuk dalam bertindak balas terhadap sesuatu keadaan. Baginda bersabda:
التَّأَنيِّ مِنَ اللهِ وَ العُجْلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
“Sifat perlahan-lahan (sabar) berasal daripada Allah, sedangkan sifat tergesa-gesa itu datang daripada syaitan.” (HR. Abu Ya’la dalam Musnad-nya dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra)
Belajarlah untuk tetap tenang ketika berdepan dengan sikap pasangan atau saat menghadapi masalah. Kawal diri agar tidak mudah dikuasai emosi. Tumpukan perhatian kepada penyelesaian yang perlu diambil, bukannya memperbesar masalah. Lebih penting lagi, biasakan diri mencari alasan atau uzur untuk memahami dan memaafkan kesalahan atau kekeliruan pasangan.
Keempat: Berhenti Mengeluhkan Pasangan
Ramai yang tidak menyedari bahawa sifat suka mengeluh bukan sahaja menyempitkan kehidupan, bahkan menjadi punca konflik dengan pasangan. Mengeluh bermaksud meluahkan perasaan kerana berasa terbeban atau menghadapi kesukaran. Namun, tidak semua yang diuji dengan kesusahan memilih untuk mengeluh. Ada yang menghadapi ujian berat tetapi tetap tenang dan tidak mengaduh kepada orang lain. Sebaliknya, ada pula yang hidupnya masih lapang tetapi kerap berkeluh kesah.
Sikap suka mengeluh akan mencetuskan konflik dalam rumah tangga apabila menjadi kebiasaan, apatah lagi jika keluhan itu ditujukan kepada pasangan sendiri, seperti mengeluh tentang nafkah yang dianggap tidak mencukupi, sikap suami yang dikatakan kurang mengambil berat terhadap isteri atau anak-anak, atau suami yang dianggap tidak cukup menghormati pasangan. Konflik menjadi lebih parah apabila keluhan itu sebenarnya tidak berasaskan fakta. Bila mengeluh sudah menjadi tabiat, maka pertelingkahan akan kerap berlaku.
Daripada mengeluh, jauh lebih baik jika keadaan rumah tangga dibincangkan dengan baik bersama pasangan. Bantu pasangan memperbaiki kekurangannya, semata-mata kerana Allah dan atas dasar cinta. Sama-sama cari jalan penyelesaian, dan perbanyakkan mendekatkan diri kepada Allah agar hati menjadi lapang serta diberikan jalan keluar bagi setiap permasalahan.
Kelima: Berikan Masa Berkualiti dan Perhatian Sepenuhnya
Salah satu punca utama konflik dalam rumah tangga adalah kurangnya perhatian dan masa berkualiti antara pasangan. Dalam banyak keadaan, ada yang lebih selesa meluangkan masa bersama rakan, komuniti, atau keluarga sendiri berbanding bersama isteri dan anak-anak.
Mencari nafkah adalah kewajipan. Berdakwah juga satu kewajipan agung. Namun, semuanya perlu diatur dengan seimbang sebagaimana yang diajarkan agama. Salman al-Farisi pernah berpesan kepada sahabat Abu Darda’ RA, “Sesungguhnya keluargamu mempunyai hak ke atas dirimu.” Nasihat ini dibenarkan oleh Rasulullah SAW. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Jika urusan kerja dan dakwah pun perlu diatur supaya tidak menzalimi hak keluarga, apatah lagi urusan hobi. Tidak sedikit suami atau isteri yang terlalu leka dengan hobi sehingga mengabaikan masa berkualiti bersama keluarga.
Perhatikanlah contoh Rasulullah SAW. Baginda sering meluangkan masa berbual mesra dengan isteri-isterinya, mengajak mereka menyertai beberapa aktiviti, termasuk menemani perjalanan jihad fi sabilillah. Baginda juga pernah menonton persembahan tarian orang Habsyah bersama Aisyah, bahkan berlumba lari dengannya.
Luangkan masa untuk bersama keluarga bagi memperkukuh ikatan emosi (emotional bonding), sambil disertai nasihat atau peringatan yang dapat menambah keimanan dalam diri pasangan dan anak-anak.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat