Jenayah Sindiket Pedofilia: Ancaman Keselamatan Anak-Anak
Menurut laporan berita yang dikeluarkan pada 29 Ogos 2025, pihak polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket pedofilia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Jenayah ini dilaporkan berlaku di negeri Johor. Suspek ditahan selepas polis menemui puluhan video dan ratusan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak dalam telefon bimbitnya, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar.
Berita ini menjadi ‘alarm’ kepada masyarakat bahawa pedofilia iaitu kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak kini semakin serius apabila dilakukan secara terancang melalui sindiket. Situasi ini tidak seperti jenayah individu. Jenayah sindiket lebih berbahaya dan kompleks kerana melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak demi kepuasan nafsu dan keuntungan komersial pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Jenayah sindiket pedofilia ini berakar umbi daripada permasalahan sistemik iaitu kerosakan sistem ekonomi dan sistem sosial. Lebih membimbangkan, sistem ekonomi yang rosak ini juga menjadi faktor kepada kerosakan sistem sosial masyarakat hari ini. Keadaan ini menjadi semakin parah apabila wujud permintaan dan penawaran terhadap penyalahgunaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Fenomena ini menggambarkan bagaimana ekonomi berorientasikan syahwat terus disediakan secara terbuka kepada masyarakat, seterusnya menormalisasikan jenayah terhadap kanak-kanak. Oleh yang demikian, tidak hairan jika terdapat berita melaporkan pelajar berumur 12 tahun bersama empat orang rakannya terlibat dengan jenayah seksual dengan menjual gambar bahagian tubuh badan mereka melalui aplikasi Whatapps (Berita: Sinar Harian, 19 Ogos 2025).
Walau dengan cara apa sekali pun, Islam tidak mengiktiraf sebarang bentuk kezaliman terhadap kanak-kanak. Kehormatan anak-anak adalah amanah besar yang tergolong dalam hifz al-nasl (pemeliharaan keturunan) dan hifz al-‘ird (pemeliharaan maruah), dua daripada maqasid syariah utama yang wajib dilaksanakan.
Islam juga telah memposisikan negara pada kedudukannya sebagai pengatur urusan kehidupan rakyat serta berperanan sebagai pelindung rakyat. Jadi, negara perlu berperanan seperti ‘iron dome’ dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin, di samping mengawal jaringan informasi yang bersih daripada bahan-bahan pornografi disediakan di media sosial seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan digital.
Tambahan pula, jenayah ini tidak dapat dicegah hanya dengan kesedaran moral dan undang-undang sivil. Negara bertanggungjawab melaksanakan hukum syarak secara menyeluruh, termasuk hukum hudud dan takzir agar pelaksanaannya memberi kesan pencegahan dan pengajaran. Pelaksanaan hukum Islam ini dapat mencegah dan menyekat jenayah ini daripada terus beroperasi. Jesteru keselamatan anak-anak kita akan terus terjamin.
Selain itu, masyarakat perlu menolak sebarang bentuk budaya yang boleh merangsang nafsu songsang melalui hiburan, pornografi atau pun media sosial. Ibu bapa pula berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan aqidah Islam sejak mereka kecil lagi. Anak-anak perlu diberikan kefahaman berkaitan setiap perbuatan mereka perlu mengikut standard baik, buruk, halal dan haram yang ditetapkan oleh Allah SWT. Oleh itu, anak-anak akan lebih sedar tanggungjawab mereka untuk menjaga batas pergaulan, menjaga aurat serta sedar tentang hak tubuh mereka.
Di samping itu, umat Islam perlu sentiasa menjaga setiap perbuatan mereka agar tidak menghancurkan kehormatan manusia lain. Islam melarang umatnya mendekati zina dan perbuatan keji yang mencemarkan akhlak. Allah berfirman dalam Al-Quran, QS Al-Isra’ ayat 32,
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Ayat ini bukan sekadar larangan zina, tetapi juga semua jalan yang menuju kepadanya, termasuk jenayah pedofilia.
Kesimpulannya, penyelesaian sebenar kepada jenayah sindiket pedofilia adalah apabila islam diterapkan secara menyeluruh dari aspek pendidikan kepada anak-anak, masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang oleh negara. Jika kita tidak kembali kepada hukum Allah SWT, jenayah ini akan terus berulang. Natijahnya generasi masa depan akan rosak dan keselamatan anak-anak sentiasa tergugat.
Wallahu’alam
Link berita:
https://www.sinarharian.com.my/article/745712/berita/semasa/bayi-dijadikan-bahan-video-lucah-sindiket-pedofilia-tumpas
https://www.sinarharian.com.my/article/744159/berita/semasa/kanak-kanak-12-tahun-bina-laman-web-jual-tubuh-di-media-sosial
Ainul Amali
(Ahli Lajnah I’lamiyyah MHTM)