[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]
Siri 10 – Takhyir (Memberi Pilihan) dan Musyawarah
Sambungan..
Sebab-sebab Takhyīr
Dalam masalah takhyīr, para ulama membahagikan kepada empat pendapat berikut berdasarkan sebab turunnya ayat dari Surah al-Ahzab ayat 28-29:
1. Alasan turunnya ayat ini adalah kerana mereka (isteri-isteri Nabi SAW) menuntut nafkah tambahan. Ini adalah pendapat para ahli tafsir.[1]
2. Alasan turunnya ayat ini adalah disebabkan rasa cemburu mereka. Tepatnya kerana mereka saling mencemburui madunya dalam memperebutkan cinta Rasulullah. Atas dasar itu, Rasulullah juga bersumpah untuk tidak berbicara dengan mereka, kemudian Baginda diperintahkan untuk melaksanakan takhyīr.
Beberapa ahli tafsir berpandangan seperti itu,[2] tetapi pendapat ini dianggap lemah oleh Thabari.
3. Ketika Nabi SAW disuruh memilih antara kerajaan dunia atau kenikmatan akhirat, Baginda memilih akhirat. Oleh sebab itu, Baginda diperintahkan melaksanakan takhyīr terhadap isteri-isterinya agar mereka mengikuti jejak Baginda.
Pendapat ini dikuatkan oleh Ibnul Jauzi dari Abu Qasim ash-Shaimari, juga oleh Ibnu Arabi, al-Qurthubi, dan sebagainya.
4. Alasan turunnya ayat ini adalah kisah Mariyah yang tinggal di rumah Hafshah, atau kisah madu yang diminum Rasulullah di rumah Zainab binti Jahsy.
Al-Hafizh Ibnu Hajar raḥimahullāh berkata, “Pendapat keempat lebih mirip dengan pendapat kedua.”[3]
Mana pendapat yang paling kuat? Setelah mencermati setiap dalil dari semua pendapat di atas, menurutku (penulis) yang paling benar dari alasan adanya takhyīr ini adalah disebabkan oleh situasi isteri-isteri Nabi SAW meminta tambahan nafkah kepada Baginda. Pendapat ini kupilih berdasarkan kekuatan dalil yang dimiliki oleh ulama yang mendukung pendapat ini.
Tatacara Takhyīr
Para ulama berselisih pendapat tentang tatacara takhyīr yang dilakukan Rasulullah terhadap isteri-isterinya. Pendapat mereka terbahagi menjadi dua.
Pertama, Rasulullah mentakhyīr mereka dengan restu Allah, antara tetap menjadi isteri atau bercerai. Ternyata mereka semua memilih tetap menjadi isteri Baginda.
Seperti inilah yang dikatakan Aisyah, Mujahid, Ikrimah, asy-Sya’bi, az-Zuhri, dan Rabi’ah.
Kedua, Rasulullah mentakhyīr mereka jika memilih kehidupan dunia, lalu Baginda akan menceraikan mereka, atau kehidupan akhirat, lalu Baginda tetap menjadikan mereka isteri-isterinya. Dalam hal ini, Baginda tidak mentakhyīr mereka untuk memilih talak. Seperti inilah yang dikatakan oleh Ali, Hasan, dan Qatadah.
Asy-Syaukani rahimahullāh berkata, “Yang paling benar adalah pendapat yang pertama.”[4]
Hadis-hadis yang Berhubungan dengan Kisah Takhyīr
Tentang takhyīr, terdapat dua hadis yang diriwayatkan, seperti berikut:
Hadis pertama, yang diriwayatkan dari Aisyah RA bahawa dia berkata, “Ketika Rasulullah diperintahkan Allah untuk mentakhyīr isteri-isterinya, Baginda memulainya dengan diriku. Baginda berkata, “Aisyah, aku ingin mengingatkanmu tentang satu hal, tetapi janganlah engkau tergesa-gesa membuat keputusan sebelum engkau berunding dengan kedua ibu bapamu”. Kemudian Baginda membacakan satu ayat, “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu…” sehingga “…maka sesungguhnya Allah menyediakan pahala yang besar bagi siapa yang berbuat baik di antaramu.”
Aisyah menuturkan, “Demi Allah, telah diketahui bahawa kedua ibu bapaku tidak mungkin menyuruhku untuk bercerai dengan engkau.” Maka aku berkata kepada Nabi SAW., “Apakah hal ini mesti ku minta pertimbangan daripada kedua ibu bapaku? Aku memilih redha kepada Allah dan Rasul-Nya serta kehidupan akhirat semata.”
Aisyah melanjutkan, “Jangan Anda memberitahu isteri-isteri Anda yang lain bahawa aku memilih Anda.”
Nabi SAW menjawab, “Sesungguhnya Allah mengutusku sebagai seorang mubaligh dan bukan seorang yang keras kepala.”
Hadis kedua, hadis Jabir ibn Abdillah RA, yang mana antara kandungan teksnya adalah sebagai berikut:
Jabir menuturkan, “Abu Bakar datang dan meminta izin untuk menemui Rasulullah, tetapi Baginda tidak mengizinkannya masuk. Namun, setelah itu Baginda pun mengizinkan Abu Bakar dan Umar sehingga keduanya masuk. Saat itu Nabi SAW sedang duduk dan dikelilingi isteri-isterinya. Umar berkata, ‘Aku akan berbicara kepada Nabi SAW, mudah-mudahan Baginda boleh tertawa’.”
Selanjutnya Umar berkata, “Rasulullah, jika kulihat Binti Zaid (isteri Umar) minta tambahan nafkah kepadamu seperti itu, pasti akan kucucuk lehernya!”
Nabi SAW pun tertawa sampai terlihat gigi gerahamnya, lalu bersabda, “Mereka sekarang ada di sekelilingku, seperti yang kau lihat, untuk minta tambahan nafkah.”
Abu Bakar terus bangkit dan menghampiri Aisyah untuk memukulnya, sedangkan Umar bangkit dan mendekati Hafshah. Keduanya berkata, “Kalian meminta kepada Rasulullah sesuatu yang Baginda tidak miliki?”
Akan tetapi, Rasulullah melarang keduanya bertindak seperti itu. Kemudian para isteri Baginda berkata, “Demi Allah, kami tidak akan meminta lagi daripada Rasulullah sesuatu yang Baginda tidak miliki, setelah pertemuan ini.”
Jabir melanjutkan, “Akhirnya Allah menurunkan ayat takhyīr tersebut. Kemudian Rasulullah memulai takhyīr dari Aisyah, Baginda berkata kepadanya, ‘Aisyah, aku ingin mengingatkanmu satu hal, tetapi janganlah engkau terburu-buru sebelum minta pertimbangan kedua ibu bapamu’.”
Aisyah bertanya, “Apa itu?”
Baginda membacakan satu ayat, ‘Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu…’ sehingga‘…maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi sesiapa yang berbuat baik di antaramu pahala yang besar’.
Aisyah lalu berkata, “Adakah hal ini mesti ku minta pertimbangan daripada kedua ibu bapaku? Aku hanya menginginkan Allah dan Rasul-Nya serta kehidupan akhirat semata.”
Aisyah melanjutkan, “Jangan kamu memberitahu kepada isteri-isterimu yang lain bahawa aku memilihmu.”
Nabi SAW pun bersabda,
“Tidak seorang isteri pun yang bertanya kepadaku tentang apa yang kau pilih melainkan aku memberitahunya. Sesungguhnya Allah tidak mengutusku sebagai orang yang suka mempersulit dan membuat fitnah, melainkan sebagai seorang guru dan orang yang suka memudahkan.”[5]
Ulasan:
Hikmah dari takhyir yang berlaku antara Rasulullah SAW dan para isterinya menunjukkan bahawa takhyir adalah salah satu cara yang diwahyukan Allah SWT kepada Rasul-Nya dalam menyelesaikan isu permintaan nafkah tambahan daripada para isteri Nabi SAW, iaitu dengan memberi mereka pilihan dan bermusyawarah dengan para isteri Baginda. Oleh itu, sudah tentu umat Islam juga dapat mempraktikkan cara ini dalam berhadapan dengan situasi seumpamanya agar kehidupan berumah tangga kekal harmoni dan mendapat redha Allah SWT dunia akhirat insyaAllah.
Catatan kaki:
[1] Tafsir at-Thabari, vol. 10, hlm. 289-290.
[2] Thabari, Jami’ al-Bayan, vol. 10, hlm. 290; Ibnul Jauzi, Zad al-Masir, vol. 6, hlm. 377; Tafsir al-Qurthubi, vol. 14, hlm. 162.
[3] Hadis tentang hal ini diriwayatkan oleh Ahmad, no. 7160, Nasa’I, no. 6745; Thabrani dalam al-Kabir, no. 13309.
[4] At-Talkhish al-Habir, vol. 3, hlm. 122.
[5] Fath al-Qadir, vol. 4, hlm. 274.
Sumber: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat