[Siri Adab Keluarga]
Keutamaan Berbakti kepada Ibu
Sulaiman bin Harb mengkhabarkan pada kami, dia berkata, Wuhaib bin Khalid mengkhabarkan pada kami dari Ibnu Syibrimah, dia berkata: Aku mendengar dari Abu Zur’ah meriwayatkan, dari Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah SAW telah ditanya,”Kepada siapa saya berbuat baik?” Baginda menjawab, “Ibumu,” Dia bertanya lagi, “Lalu pada siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Dia bertanya lagi, “Lalu pada siapa?” Baginda menjawab,”Ibumu,” Dia bertanya lagi, “Lalu pada siapa lagi?” Baginda menjawab,”Lalu ayahmu.” (Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh Muslim dalam Bab al-Birr wa al-Silah (1))
Penjelasan:
Hadis ini menggariskan susunan keutamaan berbuat baik (birr) kepada ibu bapa, dengan memberi penekanan khusus kepada kedudukan seorang ibu. Ketika sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Kepada siapa saya berbuat baik?”, baginda tidak sekadar menjawab “ibumu”, tetapi mengulanginya tiga kali berturut-turut sebelum menyebut “ayahmu”.
Para ulama, termasuk Imam al-Nawawi dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim, menjelaskan bahawa pengulangan tiga kali ini menunjukkan bahawa
1. Ibu memiliki kedudukan dan hak yang lebih besar berbanding ayah dalam aspek berbuat baik.
Hal ini kerana ibu menanggung bebanan dan pengorbanan yang lebih berat dalam menjalankan peranan keibuannya seperti mengandung, melahirkan, menyusukan, menjaga dan membesarkan anaknya.
Pengulangan itu berupa penekanan yang signifikan bahawa keutamaan berbuat baik, menjaga perasaan, membantu, dan memuliakan ibu berada pada tingkat lebih tinggi.
2. Ayah tetap mempunyai hak yang besar, tetapi selepas ibu
Jawapan Nabi SAW “kemudian ayahmu” menunjukkan bahawa berbakti kepada ayah juga wajib dan termasuk dalam amalan yang sangat utama, tetapi dari segi prioriti emosional dan layanan, ibu didahulukan. Inilah keadilan Islam, yang tidak mengabaikan hak ayah.
3. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah ibadah besar dalam Islam
Berbuat kebaikan kepada ibu bapa, keluarga, dan menjaga hubungan dengan kerabat adalah sebahagian tuntutan agama yang juga berupa bentuk ibadah . Oleh itu, berbakti kepada ibu bapa termasuk amal paling dicintai Allah, ia antara dosa besar jika diabaikan, dan merupakan jalan menuju keredhaan Allah. Maka, raihlah redha Allah dari ruang rumah kita dengan saling berbuat makruf kepada satu sama lain.
#KeluargaMuslimIdeal
#AdabKeluarga
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat