Timur Tengah Baru di Bawah Kawalan Amerika
Oleh: Hasbi Aswar, Ph.D (Pengurus Masyarakat Sosial dan Politik Indonesia)
Trump telah melakukan lawatan ke negara-negara Arab pada Mei 2025 yang lalu. Lawatan ini bukan sekadar atas urusan perniagaan dan pelaburan, tetapi juga bagi mengukuhkan kembali visi Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah, khususnya dalam aspek ekonomi, kestabilan politik dan keselamatan. Hal ini jelas melalui kenyataan Trump ketika berada di Arab Saudi, “…Sebuah masa depan di mana Timur Tengah ditakrifkan oleh perdagangan, bukan kekacauan; di mana rantau ini mengeksport teknologi, bukan keganasan, dan masyarakat daripada pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan membina kota bersama—bukan saling mengebom sehingga binasa.”
Dalam lawatan itu juga, Trump bertemu dengan Ahmad Al-Shara, ketua negara baru Syria. Trump berjanji untuk menarik balik sekatan ekonomi dan menyokong usaha pembangunan Syria pada masa hadapan. Pada kesempatan yang sama, Trump turut menegaskan kembali hasratnya berhubung relokasi penduduk Gaza. Gaza dirancang untuk dibangunkan semula bagi kepentingan perniagaan dan pelancongan melalui slogan “riviera of the middle east”.
Rantau Timur Tengah sememangnya mempunyai potensi ekonomi yang besar. Namun, ancaman ketidakstabilan akibat Perang Gaza dan isu pengayaan nuklear Iran terus menghantui kawasan tersebut. Inilah yang menjadi faktor utama keperluan memperkukuh hubungan antara Amerika Syarikat dan negara-negara Arab melalui lawatan Trump baru-baru ini.
Kepentingan AS di Timur Tengah
Secara umum, kepentingan Amerika tidak pernah berubah di wilayah Timur Tengah, walau siapa pun presidennya. Apa yang berubah hanyalah pendekatan atau gaya dalam mempertahankan kepentingan tersebut. Ada masanya Amerika Syarikat menggunakan kaedah rundingan, sekatan ekonomi, operasi risikan atau tindakan ketenteraan.
Antara kepentingan AS di rantau ini adalah:
Pertama, kepentingan ekonomi melalui pelbagai bentuk kerjasama perniagaan dan pelaburan dengan negara-negara Timur Tengah, khususnya negara-negara kaya minyak seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Lawatan Trump pada Mei lalu berjaya menghasilkan persetujuan pelaburan dan penjualan senjata kepada Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dengan nilai mencecah dua trilion dolar AS.
Kedua, Amerika perlu memastikan proses penerokaan dan pengangkutan minyak berjalan lancar di negara-negara pengeluar minyak di rantau berkenaan. Ini kerana sumber minyak Timur Tengah membekalkan hampir satu pertiga daripada keperluan minyak dunia, termasuk ke Amerika, Eropah dan negara-negara Asia seperti Indonesia. Proses pengangkutan itu juga bergantung kepada laluan strategik seperti Selat Hormuz, Laut Merah dan Terusan Suez. Jika laluan ini terganggu, maka terganggulah juga bekalan tenaga dunia serta aktiviti eksport-import global.
Ketiga, Amerika Syarikat berusaha mengekang pengaruh Rusia dan China daripada berkembang lebih besar di wilayah Timur Tengah. Kedua-dua negara ini berpotensi menjadi kuasa ekonomi dan ketenteraan terbesar dunia, selain kedudukannya yang secara geografi dekat dengan Timur Tengah. Rusia berkepentingan mengekalkan hubungan politik dengan Iran dan terus aktif menjalin kerjasama dengan negara-negara Timur Tengah lainnya. China pula, melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), giat membina hubungan politik dan ekonomi dengan negara-negara rantau tersebut. Rusia dan China sentiasa memerhati dinamika hubungan antara AS dan negara-negara Timur Tengah; ketika hubungan itu renggang, mereka akan tampil menawarkan alternatif kepada negara-negara di rantau ini.
Keempat, kepentingan AS untuk membendung kelompok politik Islam dan gerakan jihad yang dianggap mengancam kelangsungan rejim-rejim sekutu AS, termasuk al-Qaeda, Houthi, Hizbullah dan Hamas, yang dilihat sebagai ancaman politik dan keselamatan di Timur Tengah.
Kelima, kepentingan AS untuk melindungi Israel sebagai sekutu utama Amerika di Timur Tengah. AS banyak bergantung kepada Israel dalam menyokong agenda AS, bermula sejak era Perang Dingin bagi mengekang pengaruh Komunisme Soviet, sehinggalah ke era perang menentang keganasan. Tujuannya adalah memastikan Timur Tengah kekal seiring dengan kepentingan AS dengan menangkis ancaman yang timbul, sama ada terhadap rejim atau terhadap kumpulan-kumpulan penentang. Kedudukan strategik ini menyebabkan AS sentiasa memastikan Israel mengekalkan kekuatan ketenteraannya di rantau tersebut. Ini terbukti apabila rundingan Iran-AS menghadapi kebuntuan, Israel tampil menekan Iran melalui serangan udara terhadap fasiliti ketenteraan Iran pada 13 Jun lalu.
Keenam, mencegah pengembangan senjata pemusnah besar-besaran (nuklear), khususnya ancaman perkembangan program nuklear Iran yang kini menjadi satu-satunya negara di Timur Tengah yang sedang menjalankan program tersebut.
Strategi AS ke Arah Timur Tengah Baru
Bagi membentuk sebuah Timur Tengah Baru yang selaras dengan kepentingan Amerika Syarikat, terdapat beberapa langkah yang telah diambil oleh AS, antaranya: AS berusaha mengekalkan hubungan erat dengan negara-negara di Timur Tengah melalui pelbagai kerjasama ekonomi, politik dan ketenteraan. Negara-negara Arab yang kaya dijadikan rakan pelaburan dan perdagangan, manakala negara-negara yang miskin diberikan bantuan berkala oleh Amerika Syarikat, sama ada bantuan kemanusiaan, ekonomi mahupun ketenteraan, seperti Mesir, Jordan, Lubnan dan rejim baharu Syria.
Langkah seterusnya, Trump meneruskan usaha normalisasi hubungan Arab–Israel; menyambung jejak Mesir (1979) dan Jordan (1994) dengan membawa Israel bersama Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Maghribi dan Sudan dalam kerangka Abraham Accords. Arab Saudi turut disebut-sebut sebagai sasaran seterusnya bersama Indonesia. Rejim baharu Syria pada masa ini juga menunjukkan kecenderungan untuk turut serta dalam perjanjian normalisasi tersebut.
Melalui Abraham Accords, Amerika Syarikat dan Israel berharap Timur Tengah menjadi lebih stabil daripada ancaman musuh politik mereka, sama ada daripada kelompok jihad Islam atau daripada Iran yang sentiasa dianggap sebagai ancaman, baik terhadap Israel mahupun negara-negara Arab.
Amerika Syarikat berharap, apabila lebih banyak negara Arab melakukan normalisasi dengan Israel, negara-negara tersebut dapat menjadi satu perikatan yang melindungi kepentingan ekonomi dan politik Israel. Bahkan mereka boleh membantu Israel mengubah persepsi negatif masyarakat Muslim terhadap Israel, serta menjadikan mereka lebih bersimpati melalui kerjasama budaya, pendidikan, pelancongan dan sukan antara negara.
Pasca peristiwa 11 September, Amerika Syarikat telah menggunakan naratif kontraterorisme, termasuk isu nuklear Iran, untuk memperluas pengaruhnya di Timur Tengah, khususnya dari segi ketenteraan dengan menambah pangkalan tentera dan jumlah anggota yang ditempatkan di merata wilayah Timur Tengah. Tujuannya adalah untuk memantau dan menangkis sebarang ancaman yang berpotensi menjejaskan kestabilan rantau tersebut dan kepentingan Amerika Syarikat.
Dalam konteks Syria, Amerika Syarikat bersama Turki dan negara-negara Arab telah bekerjasama memastikan Revolusi Syria tidak bergerak jauh daripada kepentingan AS, dengan menyokong puak nasionalis dan sekular dalam kalangan para pejuang Muslim Syria. Hay’ at Tahrir Al-Sham (HTS) dan Ahmad Al-Shara merupakan aktor yang direka dan dipersiapkan oleh perikatan AS, Israel, Turki dan negara-negara Arab untuk memimpin pasca kejatuhan Assad, namun tetap selari dengan garis politik AS. Andai kata HTS bersikap bermusuhan terhadap AS–Israel, gerakan tersebut pasti sudah disingkirkan dan dihancurkan sejak awal kemunculannya pada tahun 2017.
Kemenangan AS di Syria bermakna pengaruh Rusia dan Iran menjadi lemah di peringkat serantau. Rusia kehilangan sekutu strategiknya apabila Assad tumbang. Iran pula kehilangan laluan penting untuk menyokong Hizbullah di Lubnan. Bagi Rusia, sekutu utama yang tinggal hanyalah Iran, yang pada masa ini juga sentiasa terasing dan dilemahkan pengaruhnya oleh AS melalui sekutu-sekutunya di Timur Tengah. Kedudukan Iran yang semakin lemah menjadikannya mudah menjadi sasaran operasi risikan dan operasi ketenteraan oleh Israel dan Amerika Syarikat. Hal inilah yang menyebabkan Iran tidak mampu berperanan besar dalam politik Timur Tengah selain mempertahankan kepentingannya untuk terus bertahan di rantau tersebut.
Naratif ancaman nuklear Iran dan keganasan sentiasa menjadi strategi Amerika Syarikat untuk mengekalkan rasa takut dalam kalangan pemimpin Arab. Strategi inilah yang membuka ruang bagi AS untuk sentiasa hadir sebagai “pelindung” kepada para pemimpin tersebut, baik dari segi politik mahupun ketenteraan.
Masa Depan Baru Timur Tengah
Timur Tengah baru pernah digambarkan oleh Netanyahu dalam ucapannya pada sidang PBB pada September 2023, sebulan sebelum melakukan pembantaian terhadap Gaza. Dia menjelaskan bahawa apabila normalisasi Arab Saudi–Israel berlaku, Timur Tengah akan menjadi wilayah yang aman dan makmur. Ini kerana laluan perdagangan Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Jordan dan Israel akan tersambung, yang seterusnya menghubungkan Asia dan Eropah dengan kos yang lebih rendah. Syaratnya, ancaman Iran dan kelompok yang dilabel sebagai pengganas mesti dihapuskan.
Peristiwa genosid yang telah berlaku di Gaza sejak dua tahun lalu, serta serangan ke atas Iran pada Jun 2025, adalah sebahagian daripada usaha Amerika dan Israel untuk membentuk Timur Tengah yang baru. Cara untuk melakukan ini adalah dengan memusnahkan semua halangan yang menghalang kepentingan kedua-dua rejim penjajah di rantau ini. Normalisasi Arab–Israel diharapkan mampu memperkukuh perikatan politik dan keselamatan bagi menghadapi para musuh mereka.
Genosid di Gaza menjadi bukti bahawa normalisasi Arab–Israel (tanpa Arab Saudi) sudah memadai untuk memberikan ruang luas kepada Zionis melakukan pembantaian terhadap rakyat Palestin secara bebas. Termasuk melancarkan serangan ke atas Lubnan, Yaman, Syria dan Iran. Jika normalisasi ini diteruskan, ruang Israel untuk menormalkan penjajahannya terhadap Palestin akan terbuka lebih luas, dan pihak-pihak yang menyokong perjuangan Palestin kemungkinan besar akan didiskreditkan melalui label pro-radikalisme dan keganasan.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh AS untuk mengikat rejim-rejim agar sentiasa tunduk kepada kepentingannya, AS tidak mampu memaksa masyarakat Muslim untuk turut patuh kepada kepentingan AS. Revolusi Arab 2011 menunjukkan wujudnya jurang antara pendirian rejim dan kehendak rakyat yang mahukan perubahan. Lebih-lebih lagi dalam isu genosid Gaza hari ini, masyarakat Timur Tengah semakin marah dan kecewa terhadap pemimpin mereka yang tampak pasif, malah tetap mengekalkan hubungan rapat dengan AS yang menjadi penyokong utama kezaliman Zionis terhadap Palestin. Keadaan ini berpotensi menjadi pencetus kebangkitan gerakan perubahan di dunia Islam pada masa hadapan.
Pendekatan ketenteraan AS bagi melindungi kepentingannya di Timur Tengah juga tampaknya tidak akan bertahan lama. Pelaburan AS sebanyak 130 bilion dolar untuk melindungi Israel terbukti tidak mampu menewaskan semangat perjuangan para pejuang Palestin dalam dua tahun terakhir. Dari Oktober 2023 hingga Oktober 2024 sahaja, AS telah membelanjakan hampir 18 bilion dolar atau hampir RM75 bilion. Pada akhirnya, Amerika mungkin dipaksa untuk mengalah sebagaimana yang terjadi di Afghanistan antara 2001-2021.
Penutup
Pengajaran yang boleh diambil oleh umat Islam ialah bahawa AS dan Israel sangat bersungguh-sungguh menjaga kepentingan mereka. Mereka memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang untuk menguatkan posisi dan melemahkan musuh-musuh mereka, tanpa mengira cara. Umat Islam sepatutnya memiliki semangat yang lebih tinggi berbanding golongan kafir untuk bersatu. Mereka perlu mencari pendekatan yang tepat untuk memperkukuh kekuatan umat bagi melemahkan, malah menghancurkan musuh-musuh kaum muslim.
WalLâhu a’lam.
#isusemasa #isuglobal #geopolitik #politikdunia #isuumatislam