[Politik Ekonomi Islam] Politik Perindustrian (Bahagian 1/2)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Politik perindustrian bertujuan menjadikan sesebuah negara sebagai negara perindustrian. Jalan untuk mencapai matlamat tersebut hanyalah satu, iaitu dengan mewujudkan industri pembuatan mesin terlebih dahulu. Daripada industri inilah akan lahir pelbagai industri yang lain. Maka, hendaklah dimulakan terlebih dahulu dengan mendirikan kilang-kilang yang menghasilkan mesin seperti motor dan seumpamanya. Setelah mesin-mesin yang dikeluarkan dalam negara tersedia, barulah mesin-mesin itu digunakan untuk membina kilang-kilang yang lain.
Tiada jalan lain untuk menjadikan sesebuah negara sebagai negara industri melainkan dengan mengusahakan industri pembuatan mesin terlebih dahulu sebelum segala-galanya, serta tidak mendirikan mana-mana kilang kecuali dengan menggunakan mesin yang dihasilkan dalam negara.
Adapun pandangan bahawa mewujudkan industri pembuatan mesin memerlukan masa yang panjang, maka kita mesti memulakan dengan industri keperluan asas, hanyalah kata-kata kosong. Ia merupakan tipu daya yang bertujuan menghalang pembangunan industri pembuatan mesin dan mengalih perhatian negara kepada industri pengguna agar terus kekal menjadi pasaran bagi kilang-kilang Eropah dan Amerika.
Hakikatnya, realiti sejarah menolak pandangan tersebut. Sebagai contoh, Rusia Tsar ketika keluar daripada Perang Dunia Pertama masih bergantung kepada Eropah dan belum memiliki industri pembuatan mesin. Diriwayatkan bahawa Lenin pernah diminta memperbaiki pengeluaran pertanian dengan membawa masuk mesin bajak (traktor) bagi mengusahakan pertanian secara moden. Namun beliau menjawab: “Kita tidak akan menggunakan traktor sehingga kita sendiri menghasilkannya. Apabila kita telah menghasilkannya sendiri, barulah kita akan menggunakannya.” Tidak lama selepas itu, industri pembuatan mesin pun berjaya diwujudkan di Rusia, dan kini negara tersebut menjadi yang terulung dalam bidang perindustrian yang berkaitan dengan angkasa lepas.
Pandangan bahawa industri pembuatan mesin memerlukan persekitaran perindustrian yang lengkap; terdiri daripada jurutera dan tenaga kerja teknikal, juga merupakan pandangan yang bertujuan mengelirukan dan menipu. Hal ini kerana, negara-negara Eropah Timur dan Barat pada peringkat awal pun tidak memiliki lebihan jurutera atau tenaga teknikal. Namun ratusan tenaga tersebut dapat didatangkan segera untuk memulakan kerja. Pada masa yang sama, ratusan malah ribuan pemuda kita boleh dihantar untuk mempelajari bidang kejuruteraan berat dan industri keluli. Perkara ini adalah mudah dan berada dalam kemampuan kita.
Pandangan bahawa kita perlu memulakan dengan industri pengguna seperti industri tekstil, industri kertas, atau industri bahan mentah sutera juga merupakan pandangan yang batil. Tujuannya hanyalah untuk melalaikan dan mengaburi pandangan masyarakat daripada jalan sebenar. Oleh itu, tidak wajar memberi tumpuan kepada sebarang bentuk industri pengguna. Arah tuju negara hendaklah difokuskan sepenuhnya kepada usaha mewujudkan industri pembuatan mesin, dan tidak yang lain.
Sesungguhnya aku berpendapat bahawa negara-negara Barat telah melakukan pelbagai bentuk penipuan dan pengeliruan untuk menghalang negara-negara Islam daripada membangunkan industri pembuatan mesin serta daripada mencapai status negara perindustrian. Buku-buku ekonomi yang diterbitkan khas untuk Timur Tengah disusun dengan cara yang membuatkan masyarakat percaya bahawa pembangunan ekonomi mesti melalui beberapa peringkat sebelum mencapai kemajuan industri. Antara karya paling berbahaya ialah buku Tahap-tahap Pertumbuhan Ekonomi, yang menggambarkan bahawa sesebuah masyarakat mesti melalui beebrapa peringkat; masyarakat tradisional, peringkat permulaan (take-off), peringkat kematangan, dan akhirnya peringkat penggunaan massa yang tinggi.
Setiap peringkat itu dikatakan mempunyai syarat-syarat tertentu dan mesti dilalui dalam tempoh masa yang panjang. Ini merupakan bentuk kejahatan yang sangat licik, kerana tujuannya ialah untuk menghalang berlakunya revolusi industri. Sesiapa yang mempercayainya akan terikat dengan tanggapan bahawa kemajuan mesti berlaku secara bertahap, sedangkan hakikatnya tiada jalan penyelesaian melainkan melalui revolusi industri.
Revolusi industri bermaksud penguasaan terhadap teras dan sumber utama industri, iaitu industri pembuatan mesin, melalui satu perubahan radikal dalam bidang perindustrian. Ia bererti tidak disibukkan dengan sebarang industri atau kegiatan ekonomi lain sebelum menguasai teras utama industri tersebut, serta menumpukan seluruh usaha ekonomi untuk mewujudkan industri pembuatan mesin. Tidak sepatutnya didirikan apa-apa industri selain daripada perkara yang benar-benar diperlukan bagi tujuan itu.
Terdapat beberapa sebab yang mendorong ke arah mempercepat usaha mewujudkan industri pembuatan mesin dalam negara. Sebagai contoh, seluruh wilayah Timur Tengah kini tidak memiliki kilang pembuatan mesin. Semua keperluan kilang dan mesin masih diimport dari Eropah dan Amerika. Pada masa yang sama, wilayah ini giat mendirikan banyak kilang pengguna, menjadikannya pasaran yang amat menguntungkan bagi Barat.
Oleh itu, dari sudut perdagangan, mempercepatkan pembinaan kilang-kilang pembuatan mesin merupakan keperluan mendesak untuk merebut pasaran terbuka yang masih belum mempunyai saingan. Sekiranya industri pembuatan mesin dapat diwujudkan di negara kita, peluang besar ini akan menjadi milik kita. Sebagai contoh, banyak kilang di negara kita mengalami kerosakan apabila mesin atau komponennya rosak, sehingga kita terpaksa mengimportnya dari luar negara. Dalam banyak kes, mesin tersebut terpaksa dihentikan operasi sepenuhnya, menyebabkan kerugian besar.
Keadaan ini menelan perbelanjaan yang tinggi. Maka, bagi menjimatkan kos kita perlu mendirikan industri pembuatan mesin sendiri. Pembelian kilang dan mesin dari luar negara menelan kos tinggi kerana dijual dengan harga yang mahal. Namun jika kita mewujudkan sendiri kilang-kilang pembuatan mesin, sementara sumber tenaga seperti minyak masih tersedia, maka kita akan memperoleh mesin dan kilang dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding membeli dari Eropah atau Amerika.
Justeru, terdapat pelbagai sebab yang kuat dan mendesak untuk kita mendirikan industri pembuatan mesin sebagai asas pembangunan perindustrian negara.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #Perindustrian