Menjadi Generasi Rabbani, Bukan Generasi “Ramadhani”
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
RAMADHAN telah berlalu. Puasa pun berakhir. Walau bagaimanapun, sepatutnya semangat ketakwaan ketika Ramadhan janganlah pudar. Ini kerana, hikmah ibadah shaum Ramadhan selama sebulan penuh adalah untuk menguatkan dan menaikkan darjat kita ke level takwa (Surah al-Baqarah [2]: 183).
Berkaitan dengan hal ini, Bisyr al-Hafi rahimahulLaah pada suatu masa berkata:
بئس القوم لا يعرفون لله حقا إلا في شهر رمضان إن الصالح الذي يتعبد و يجتهد السنة كلها
“Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal hak Allah, kecuali hanya pada bulan Ramadhan saja. Sungguh seorang yang benar-benar soleh itu adalah orang yang istiqamah beribadah dan bersungguh-sungguh (taat kepada Allah SWT) sepanjang tahun.” (Ibnu Rajab, Lathaa’if al-Ma’aarif, hlm. 222).
Tentu saja kerana amal yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah keteguhan atau keistiqamahan. Oleh itu, ketika Baginda Nabi SAW telah diminta nasihat oleh seorang Sahabat, baginda lalu bersabda:
قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ، ثُمَّ اسْتَقِمْ
Katakanlah, “Aku beriman kepada Allah.” Kemudian beristiqamahlah! (HR Muslim).
Allah SWT menyebutkan besarnya keutamaan orang yang istiqamah dalam ketaatan (Lihat: QS al-Fushshilat [41]: 30).
Agar menjadi hamba yang senantiasa istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT sepanjang tahun, bukan hanya pada Bulan Ramadhan saja, kaum Muslim perlu menghayati beberapa perkara berikut:
Pertama: Mengingati kematian dan tempat kembali kepada Allah SWT.
Banyak ayat yang menyebutkan penyesalan manusia di akhirat adalah disebabkan melepaskan diri daripada agama Allah SWT (Lihat, misalnya, QS as-Sajdah [32]: 12).
Baginda Rasulullah SAW mengingatkan bahawa kedudukan seseorang di hadapan Allah SWT adalah ditentukan pada penghujung kehidupan, bukan di awal:
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ
“Sungguh amal-amal itu ditentukan oleh penutup (akhir)-nya.” (HR al-Bukhari).
Kedua: Menjadikan Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai satu-satunya yang ditaati secara mutlak.
Sikap istiqamah boleh runtuh ketika manusia lebih memilih mentaati pihak selain Allah SWT dan Rasul-Nya. Padahal kelak pada Hari Akhir, orang-orang seperti itu akan menyesal. Mereka bahkan akan melaknat para pegawai, para pemimpin dan raja-raja yang dulu mereka taati di dunia (Lihat: QS al-Ahzab [33]: 66-68).
Ketiga: Mentaati setiap perintah Allah SWT tanpa memisahkan satu hukum dengan hukum yang lain (sebahagian diamalkan; manakala sebahagian ditinggalkan). Allah SWT telah mencela tindakan demikian dan bakal menghinakan pelakunya di akhirat (Lihat: QS al-Baqarah [2]: 85).
Keempat: Bersabar dalam ketaatan. Istiqamah dalam ketaatan memerlukan kesabaran. Ini kerana, orang yang istiqamah akan dihadapkan dengan pelbagai ragam ujian sehinggalah dia menghadap Allah SWT (Lihat: QS al-Ankabut [29]: 2).
Dalam hal ini Baginda Nabi SAW memberikan motivasi bahawa kesabaran pada akhir zaman mendatangkan kebaikan yang amat besar, “Untuk orang yang beramal (sabar) di tengah-tengah mereka ada pahala semisal pahala 50 orang yang mengerjakan amal seperti tersebut.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah seumpama pahala 50 orang daripada mereka?” Baginda menjawab, “Semisal pahala 50 daripada golongan kalian (para Sahabat).” (HR Abu Dawud).
Kelima: Tetap beramal sekalipun hanya sedikit. Amal yang paling Allah cintai adalah yang terus-menerus dilakukan walaupun sedikit. Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الأَعْمَال إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ
“Amalan yang paling Allah cintai adalah yang paling berkelanjutan walaupun hanya sedikit.” (HR Muslim).
Demikianlah, keistiqamahan adalah buah yang perlu diraih pasca Ramadhan. Ada sebelas bulan lagi yang mesti dijalani hingga bertemu dengan Ramadhan tahun depan.
Walhasil, semoga kita tidak sekadar menjadi sebahagian daripada ‘Generasi Ramadhani’, yakni generasi yang taat hanya ketika Bulan Ramadhan saja. Namun, kita benar-benar menjadi sebahagian daripada ‘Generasi ‘Rabbani’.
Itulah generasi yang senantiasa istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT sepanjang usia kehidupan hingga ajal menjelang.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.
#MomentumRamadhan #Istiqamah #Syawal #GenerasiRabbani #MasyarakatMuslimIdeal