Puasa Syawal, Momentum Memulakan Konsistensi Ketaatan kepada Allah Pasca Ramadhan
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Penuh syukur dan terharu bulan suci Ramadhan baru kita lalui dengan segenap usaha menjalankan berbagai amal kebaikan. Begitu juga dengan Aidilfitri yang penuh keistimewaan, telah kita lalui juga. Mulai dari mencari berita kedatangan 1 Syawal, menunaikan zakat fitrah, solat Aidilfitri di lapangan, mendengar khutbah dengan saksama, saling memaafkan, bersilaturrahmi, dan sebagainya.
Kini, kita sedang memasuki Syawal, bulan yang Istimewa juga kerana di dalamnya terdapat banyak aktiviti yang Allah berikan pahala yang melimpah. Sudah tentu situasi ini perlu kita manfaatkan dengan baik tatkala semangat kita untuk mendekatkan diri kepada Allah masih tinggi.
Dengan melaksanakan ibadah dan pelbagai kebaikan semasa Syawal, dengan izin Allah, kita boleh memperoleh pundi-pundi pahala dan menuai banyak keberkatan.
Syawal, Bulan Istimewa
Syawal adalah salah satu bulan istimewa bagi umat Islam. Dalam bahasa Arab, Syawal berasal daripada kata “syala” yang bermaksud ‘naik atau meninggi’. Pada Syawal ini, kedudukan dan darjat umat Islam meninggi di sisi Allah SWT keranaa telah mampu melalui bulan ujian dan ibadah selama Ramadhan.
Syawal juga merupakan bulan pembuktian nilai-nilai takwa seorang hamba. Bulan ini menjadi medan untuk membuktikan, adakah umat Islam mampu mempertahankan dan meningkatkan keimanannya sebagaimana yang mereka lakukan semasa Ramadhan?
Setelah sebulan lamanya ditempa dengan puasa Ramadhan, pada malamnya kita memperbanyak solat sunat, qiamullail, tadarus, belajar, bertafakur, mahupun ibadah lainnya. Hasilnya, peningkatan kualiti kebaikan sudah tentu mampu berjalan dengan sendirinya.
Sesungguhnya, Rasulullah SAW—melalui bimbingan wahyu-Nya—telah menjadikan Syawal yang mengiringi Ramadhan sebagai momentum yang tepat untuk memulakan dan menjaga konsistensi ketaatan umatnya pasca-Ramadhan. Baginda SAW telah mensyariatkan beberapa aktiviti, juga menjelaskan tentang keutamaan dan ganjarannya. Inilah yang menjadikan Syawal sebagai salah satu bulan yang istimewa. Oleh kerana itu, ini merupakan hal yang penting diketahui oleh seorang Muslim supaya tidak membiarkannya berlalu begitu saja.
Memasuki malam Syawal, pastinya umat Islam akan banyak mendengar, malah melafazkan sendiri bacaan takbir. Sesungguhnya, ini merupakan keutamaan Syawal kerana berjuta-juta umat Islam akan melantunkan bacaan takbir dengan perasaan hiba dan gembira. Ini menandakan kedatangan hari kemenangan, iaitu Hari Raya Aidilfitri selepas ibadah puasa selesai dilaksanakan sebulan penuh. Kalimat takbir diucapkan bersahutan antara seorang Muslim dan Muslim yang lain, serta dari satu masjid ke masjid yang lain, diiringi rasa bahagia dan syukur yang terkandung di dalamnya.
Syawal juga menjadi bulan yang paling tepat untuk mempererat silaturahim. Pada 1 Syawal, umat Islam bergembira menyambut hari kemenangan sambil mengunjungi saudara dan keluarga. Rasulullah SAW sangat menganjurkan silaturahim sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis, “Sembahlah Allah, janganlah berbuat syirik kepada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan jalinlah tali silaturahim (dengan orang tua dan kerabat).” (HR Bukhari).
Keistimewaan lain dari Syawal ialah adanya perintah bagi kaum Muslim untuk melaksanakan puasa enam hari. Puasa Syawal akan menyempurnakan puasa Ramadhan sehingga pahalanya dinilai bagaikan orang mengerjakan puasa sepanjang tahun. MasyaAllah.
Puasa Enam Hari Syawal adalah Puasa Istimewa
Puasa enam hari Syawal ini biasanya dilakukan oleh kaum Muslim sejak hari kedua Syawal. Ini kerana pada hari pertama, iaitu semasa Aidilfitri, haram untuk melaksanakan ibadah puasa. Setelah menunaikan puasa sebulan penuh semasa Ramadhan, puasa enam hari Syawal ini menjadi pelengkap atau penyempurna amalan Ramadhan.
Umat Islam yang menunaikan ibadah puasa semasa Syawal akan memperoleh pahala seolah-olah telah menunaikan ibadah puasa selama setahun penuh. Keutamaan puasa Syawal terdapat dalam hadis yang diriwayatkan Muslim.
Hadis ini berasal daripada Abu Ayyub an-Anshari yang pernah mendengar sabda Nabi Muhammad SAW, “Barang siapa yang melaksanakan puasa ketika Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).
Melaksanakan puasa sunat enam hari Syawal mengiringi puasa fardhu Ramadhan diibaratkan seperti puasa sepanjang tahun berdasarkan anggapan bahawa setiap kebaikan dibalas sepuluh kali ganda.
Ini diperkuat lagi dengan hadis riwayat Tsauban bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Puasa sebulan (pada Ramadhan) itu disamakan dengan sepuluh bulan puasa dan puasa enam hari selepasnya (pada Syawal) disamakan dengan dua bulan puasa, maka yang sedemikian itu (jika digabungkan) genap setahun.” (HR Imam Ad-Darimi).
Terkait hadis-hadis tersebut, Ustaz M. Shiddiq al-Jawi berpendapat bahawa hadis-hadis tersebut menunjukkan keutamaan puasa enam hari Syawal.
Pertama, seorang Muslim yang puasa Ramadhan, lalu diikuti puasa enam hari Syawal, dia seperti puasa selama setahun.
Kedua, kedudukan puasa enam hari Syawal seperti kedudukan solat rawatib qabliyah dan ba’diyah terhadap solat wajib, iaitu akan menyempurnakan kekurangan puasa wajib bulan Ramadhan.
Ketiga, sebagai rasa syukur dan cinta ketaatan seorang hamba kepada Allah Taala.
Keempat, menunjukkan bahawa amal puasanya ketika Ramadhan diterima oleh Allah Taala. Salah satu bentuk keberhasilan seseorang dalam menjalani ibadah ketika Ramadhan adalah tetap istiqamah dan konsisten meneruskan ibadahnya setelah berakhirnya bulan suci Ramadhan. Ibadah-ibadah yang dilakukan pada bulan mulia tersebut tidak akan berkurang ketika memasuki bulan berikutnya (Syawal). Dia akan terus meneruskan dan membiasakan diri dengannya.
Hukum Puasa Syawal
Jumhur ulama berpendapat, sunnah hukumnya puasa enam hari Syawal, baik secara berturut-turut mahupun terpisah. Akan tetapi, yang afdhal adalah melakukannya secara berturut-turut kerana terdapat kesegeraan untuk melakukan amal kebajikan.
Dalil bahawa puasa enam hari Syawal adalah sunnah adalah hadis Rasulullah SAW. Daripada Abu Ayyub al-Anshari ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang puasa ketika Ramadhan, lalu dia ikuti puasa itu dengan puasa enam hari Syawal, maka itu seperti puasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).
Sayyid Abdullah al-Hadrami pernah ditanya mengenai puasa Syawal yang dilakukan secara terpisah. Kemudian beliau menjawab bahawa puasa Syawal tidak wajib dilakukan dengan cara terus-menerus dan boleh dilakukan dengan cara terpisah-pisah, yang penting semuanya dilakukan dalam bulan Syawal.
Dalam kitabnya disebutkan, “Apakah disyaratkan dalam puasa Syawal untuk terus-menerus? Sesungguhnya tidak disyaratkan dalam puasa Syawal untuk terus-menerus dan cukup bagimu untuk puasa enam hari Syawal sekalipun terpisah-pisah, sepanjang semua puasa tersebut dilakukan dalam bulan ini (Syawal).” (Sayyid Abdullah al-Hadrami, Al-Wajiz fi Ahkamis Shiyam wa Ma’ahu Fatwa Ramadhan).
Walau bagaimanapun, yang lebih utama daripada dua cara di atas ialah yang berterusan tanpa dipisahkan. Puasa Syawal boleh dilakukan dengan cara apa pun, sama ada berterusan mahupun berpisah-pisah, selagi semuanya masih dilakukan dalam bulan Syawal.
Bolehkah Puasa Sunat Syawal Digabung dengan Puasa Qadha?
Tidak dapat dinafikan bahawa ada keadaan tertentu yang menjadikan terdapat uzur syarie bagi seseorang sehingga dia tidak dapat melaksanakan puasa Ramadhan sebulan penuh, contohnya sakit, haid atau nifas, mahupun dalam perjalanan yang melelahkan. Adanya uzur syarie ini mewajibkan seorang Muslim mengganti puasanya pada hari-hari lain selain Ramadhan.
Muncul permasalahan baru, adakah qadha mesti didahulukan kerana hukumnya wajib, baru kemudian boleh menunaikan puasa Syawal kerana hukumnya sunnah?
Para ulama berbeza pendapat mengenai boleh atau tidaknya seseorang berpuasa sunnah enam hari Syawal sebelum mengganti puasa Ramadhannya dalam dua pendapat.
Pertama, jumhur ulama, iaitu ulama Mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafie, secara global membolehkannya. Ulama Mazhab Hanafi membolehkan secara mutlak tanpa disertai kemakruhan, sedangkan ulama Mazhab Maliki dan Syafie membolehkan disertai kemakruhan (jaa’iz ma’a al-karaahah).
Kedua, ulama Mazhab Hanbali mengharamkan puasa sunnah enam hari Syawal sebelum mengqadha puasa Ramadhan. (Ibnu Qudamah, Al-Mughni, Juz III, hlm. 145; Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Juz XXVIII, hlm. 92—93).
Pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah pendapat jumhur ulama yang membolehkan seseorang berpuasa sunnah enam hari Syawal sebelum mengqada puasa Ramadhannya. Hal itu kerana mengqadha puasa Ramadhan adalah kewajipan yang longgar waktunya (wajib muwassa’), yaitu dapat dilakukan mulai Syawal hingga Syaaban berakhir.
Hal ini dikuatkan dengan hadis daripada ‘Aisyah ra., “Saya pernah mempunyai kewajipan qadha puasa Ramadhan, maka saya tidak mampu mengqadhanya, kecuali ketika Syaaban.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa mengqadha puasa Ramadhan itu waktunya adalah longgar dari Syawal hingga Syaaban, yakni sebulan sebelum Ramadhan berikutnya. Sedangkan sudah kita ketahui bahawa ‘Aisyah ra. adalah orang yang sangat gemar melaksanakan amal ibadah sunnah, termasuk melaksanakan puasa enam hari Syawal.
Imam Ibnu Rajab al-Hambali dalam kitabnya, Al-Qawaid, menjelaskan tentang kebolehan mendahulukan sunnah atau an-nawafil daripada kewajipan yang longgar waktunya atau wajib wasa’. Jika ibadah mahdhah itu waktunya longgar atau wasa’, boleh melakukan yang sunnah sebelum melaksanakan yang wajib, seperti solat. Boleh juga melakukan sunnah sebelum mengqadha suatu kewajipan, seperti puasa Ramadhan.
Momentum Memulakan Konsistensi Ketaatan
Islam memang luar biasa. Allah SWT telah menjadikan Syawal mengiringi Ramadhan. Di dalamnya Allah mensyariatkan puasa enam hari dengan penuh keutamaan, serta sangat besar fadhilat dan ganjarannya. Sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis, puasa Syawal ini dinilai seperti puasa sepanjang tahun.
Sungguh luar biasa, melaksanakan puasa sunnah sebanyak enam hari Syawal selepas melaksanakan puasa fardhu ketika Ramadhan diibaratkan seperti puasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda.
Ini diperkuat lagi dengan hadis riwayat Tsauban bahawa Rasulullah bersabda, “Puasa sebulan (ketika Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan puasa dan puasa enam hari selepasnya (ketika Syawal disamakan) dengan dua bulan puasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (HR Imam Ad-Darimi).
Khatimah
Demikianlah, betapa istimewanya Syawal, bulan yang mengiringi Ramadhan. Di dalamnya Allah memberi peluang kepada kita untuk menambah pundi-pundi pahala selepas Ramadhan, iaitu dengan menunaikan puasa enam hari yang dinilai seperti puasa sepanjang tahun.
Sudah tentu ini tidak boleh dilepaskan oleh setiap Muslim. Di sinilah sebenarnya puasa Syawal menjadi momentum bagi umat Islam untuk memulakan konsistensi ketaatan kepada Allah SWT selepas Ramadhan.
Semoga Allah SWT menerima amal puasa kita semua dan kita termasuk orang-orang yang mendapatkan kemenangan. Semoga di sepanjang tahun ini kita semua sentiasa dalam kebaikan.
#Puasa #PuasaSyawal #PuasaEnam #JomIstiqamah #Syawal