Membaca Barat Secara Kritis
Oleh: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Kajian Sikap Dasar Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam Wacana Oksidentalisme
Orientalisme merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan cara pandang Barat terhadap dunia Timur (Islam). Dalam praktiknya, orientalisme tidak selalu bersifat neutral. Banyak penyelidikan dan karya yang lahir dari perspektif orientalis sebaliknya menggunakan kerangka berfikir Barat untuk mentafsirkan Timur. Akibatnya, Timur sering digambarkan sebagai “yang lain” (the other), sesuatu yang eksotik, tidak rasional, atau bahkan ketinggalan dibandingkan Barat. Cara pandang seperti ini tidak jarang berkait rapat dengan kepentingan kolonialisme, di mana pengetahuan tentang Timur digunakan untuk mempermudah dominasi politik, ekonomi, dan budaya Barat terhadap masyarakat Timur, termasuk dunia Islam.
Sebagai respon terhadap dominasi wacana orientalisme, muncul gagasan tentang oksidentalisme. Oksidentalisme adalah disiplin ilmu atau pendekatan kajian yang menempatkan dunia Barat sebagai objek penyelidikan, sementara Timur—termasuk umat Islam—menjadi subjek pengkaji. Dengan kata lain, oksidentalisme merupakan perkara yang bertentangan dengan orientalisme. Jika orientalisme menjadikan Timur sebagai objek yang diteliti oleh Barat, maka oksidentalisme malah menjadikan Barat sebagai objek analisis yang dikaji secara kritis oleh para pemikir dari dunia Timur.
Dalam kerangka orientalisme, sering kali dibina anggapan bahawa pemikiran yang lahir dari Islam bersifat meragukan, tidak saintifik, dan layak untuk dikritik secara bebas tanpa memandang kesuciannya. Sebaliknya, oksidentalisme mengajar sikap kritis terhadap pemikiran Barat. Dalam perspektif ini, pemikiran yang datang dari Barat tidak boleh diterima begitu sahaja. Ia mesti diteliti, dikritik, dan diuji terlebih dahulu oleh umat Islam. Jika dalam banyak naratif Barat, Islam dianggap sebagai musuh ideologi, maka umat Islam juga perlu memandang gagasan Barat secara kritis sebagai ancaman terhadap pemikiran Islam. Dalam konteks ini, pertembungan tamadun (clash of civilizations) adalah suatu kepastian.
Sikap kritis seperti ini dijelaskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Sur’ah al-Badihah. Beliau menjelaskan bagaimana Barat berjaya melumpuhkan kemampuan berfikir umat Islam, sehingga umat menjadi tidak produktif dan mudah menerima idea-idea asing dengan penuh kekaguman. Bagi menghadapi keadaan tersebut, beliau memberikan prinsip dasar yang sangat tegas:
والجواب على ذلك هو أولا وقبل كل شيء أن نعرف أن الغرب هو عدو، وأن أفكاره، جميع أفكاره، فيها شك
Ertinya: “Jawapan atas persoalan ini—pertama dan sebelum segala sesuatu—adalah kita perlu sedar bahawa Barat adalah musuh, dan bahawa seluruh gagasannya terdapat unsur keraguan.”
Beliau menegaskan kembali prinsip ini dengan pernyataan:
فالشك في كل ما أتى من الغرب هو الأصل، وهو الذي يجب أن يوجد، وما لم يحصل الشك في الغرب، وفي كل ما يصدره لنا لا سيما الأفكار ، لا بد أن نظل أسرى لهذا التفكير، ولا بد أن نظل ضحية له، ولفخاخه
Ertinya: “Meragukan segala sesuatu yang datang dari Barat adalah prinsip dasar, dan itulah yang sepatutnya ada. Selama keraguan terhadap Barat—dan terhadap segala sesuatu yang mereka eksport kepada kita, terutamanya pemikiran—belum muncul, kita akan tetap menjadi tawanan cara berfikir itu, dan akan terus menjadi mangsanya serta terperangkap dalam jerat-jeratnya.”
Bahkan secara lebih kritis beliau menyatakan:
لذلك فإن الخطوة الأولى التي يجب أن نخطوها هي الشك في الغرب، وفي كل ما يصدّره لنا، حتى لو كان يصدّره لنفسه، لأنه قد يضحي بنفسه في سبيل تضليلنا.
Ertinya: “Oleh itu, langkah pertama yang perlu kita tempuh adalah bersikap ragu terhadap Barat dan terhadap segala sesuatu yang Barat eksport kepada kita, bahkan terhadap apa yang Barat eksport kepada dirinya sendiri; kerana boleh jadi Barat mengorbankan dirinya demi menyesatkan kita.”
Berdasarkan penjelasan tersebut dapat difahami bahawa sikap skeptikal terhadap produk pemikiran Barat merupakan asas penting dalam menjaga ketajaman intelektual umat Islam. Tanpa sikap kritis tersebut, umat Islam berisiko kehilangan kemandirian berfikir (kemampuan berfikir secara kendiri) dan akhirnya hanya menjadi pengguna gagasan Barat. Buktinya, banyak alumni pelajar pondok/sekolah agama yang silau dengan peradaban Barat dan bergumam “wow” saat pertama kali menjejakkan kaki di Eropah dalam misi biasiswa pendidikan.
Dalam konteks ini, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dapat dipandang sebagai salah satu tokoh oksidentalis: seorang pemikir yang mampu membedah secara kritis ideologi dan pemikiran Barat, terutama kapitalisme. Melalui karya-karyanya seperti Al-Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam dan Naqd al-Isytirakiyyah al-Marksiyyah, beliau tidak hanya mengkritik sistem ekonomi kapitalisme, tetapi juga menghuraikan secara mendalam ideologi sosialisme dan marxisme. Analisis beliau menunjukkan kelemahan mendasar bagi kedua sistem tersebut jika ditinjau daripada perspektif Islam.
Pemikirannya bahkan memberikan pengaruh yang luas dalam diskursus (pertukaran idea) ekonomi Islam dan pemikiran moden. Idea-idea beliau dikatakan telah menginspirasi lahirnya karya monumental seperti Iqtisaduna dan Falsafatuna yang ditulis oleh Muhammad Baqir al-Sadr. Kedua-dua karya tersebut kemudian menjadi rujukan penting dalam kajian falsafah dan ekonomi Islam kontemporari.
Jadi, sikap kritis ini merupakan usaha intelektual untuk mengembalikan kemandirian berfikir umat. Melalui pendekatan ini, umat Islam didorong untuk membaca pemikiran Barat secara kritis, dan meneguhkan kembali paradigma pemikiran Islam.
Lebih daripada itu, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani bukan seorang oksidentalis yang hanya bergerak dalam bidang pemikiran atau dunia akademik semata, malah beliau merupakan seorang tokoh politik pergerakan yang bekerja untuk kebangkitan umat. Bukan hanya memenangkan perdebatan intelektual, tetapi bagaimana agar pemikiran tersebut tegak dalam sistem kehidupan, yang dengan sendirinya akan menyingkirkan dominasi dan hegemoni Barat.
#PemikiranIslam #KecepatanBerfikir #SuratulBadihah #PemikiranMustanir #KecerdasanBerfikir #BerfikirKritis #CriticalThinking