Runtuhnya Undang-undang Antarabangsa dan Perubahan Global
Oleh : Ustaz Mumtaz Ma Wara’ an-Nahr (Transoxiana)
Asal-usul undang-undang antarabangsa dapat ditelusuri kembali ke pertengahan abad ke-17. Negara-negara Eropah mula mengatur hubungan antara mereka, yang memuncak dalam Perjanjian Westphalia pada tahun 1648. Perjanjian ini menandakan permulaan pembentukan undang-undang antarabangsa, yang mempengaruhi bukan sahaja di Eropah tetapi juga seluruh dunia. Melalui perjanjian ini, kerajaan-kerajaan Kristian di Eropah menghentikan peperangan yang telah berlarutan antara mereka selama beberapa dekad dan berusaha mengarahkan kekuatan gabungan mereka untuk menentang Khilafah Uthmaniyyah.
Pada Kongres Vienna yang diadakan pada tahun 1815, pelbagai isu yang timbul daripada perang revolusi di Perancis telah dibincangkan, dan kongres tersebut diakhiri dengan penetapan sempadan benua Eropah. Namun, kuasa-kuasa kolonial tidak berpuas hati dengan sempadan yang ditetapkan antara mereka, lalu tercetuslah Perang Dunia Pertama. Dalam peperangan ini, negara-negara yang berpihak kepada Jerman telah dikalahkan, manakala negara-negara pemenang—Britain, Perancis, dan Rusia—mendapat sebahagian besar hasil rampasan perang. Pada tahun 1919, Persidangan Keamanan Paris diadakan, dan Liga Bangsa-Bangsa kemudiannya ditubuhkan.
Dengan itu, undang-undang antarabangsa awam terbentuk dan menjadi satu badan perundangan yang mengawal hubungan antara negara sama ada dalam keadaan aman mahupun perang. Liga Bangsa-Bangsa diberikan kuasa ke atas negara-negara dan berkhidmat untuk Britain, yang pada ketika itu merupakan kuasa terkemuka dunia. Namun, pihak yang kalah dalam Perang Dunia Pertama kembali mencetuskan peperangan, lalu Perang Dunia Kedua meletus pada tahun 1939. Amerika, yang telah muncul sebagai kuasa besar baharu, campur tangan dalam Perang Dunia Kedua dan menjatuhkan senjata nuklear di Jepun. Akibatnya, Pakatan Tiga Negara telah dikalahkan, dan undang-undang antarabangsa dibentuk semula sekali lagi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ditubuhkan dan dikendalikan oleh negara-negara yang muncul sebagai pemenang perang, iaitu Amerika, Britain, Perancis, Rusia dan China melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Seperti yang dapat dilihat dengan jelas, entiti yang menetapkan undang-undang antarabangsa ialah kuasa-kuasa besar yang telah memenangi peperangan, atau kuasa-kuasa besar yang mempunyai kekuatan seimbang dan menyedari bahawa mereka tidak mampu saling menewaskan antara satu sama lain. Oleh itu, mereka membuat perjanjian untuk mengatur hubungan sesama mereka, menandatanganinya, dan seterusnya mengabadikannya sebagai undang-undang antarabangsa. Oleh yang demikian, sekiranya kuasa-kuasa besar ini melanggar undang-undang antarabangsa, tiada entiti yang mengambil tindakan terhadap mereka, walaupun mereka berhadapan dengan tentangan yang kuat daripada negara-negara di seluruh dunia.
Sebagai contoh, pencerobohan Amerika ke atas Iraq pada tahun 2003 merupakan satu pelanggaran besar terhadap undang-undang antarabangsa. Keadaan ini menjadi semakin buruk dengan wujudnya pendapat umum anti-Amerika, yang dipelopori oleh beberapa kuasa besar, terutamanya Britain. Akibatnya, Amerika berusaha untuk mengurangkan kesan pendapat umum global tersebut. Pada tahun 2014, Pengilhakan Krimea (Annexation of Crimea) oleh Rusia, diikuti dengan pencerobohan oleh Putin ke atas Ukraine pada tahun 2022, yang didorong oleh Amerika, merupakan satu lagi pelanggaran ketara terhadap undang-undang antarabangsa.
Adapun entiti Yahudi, yang merupakan sekutu Amerika, telah melancarkan peperangan ke atas Gaza dengan melanggar semua undang-undang antarabangsa, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka. Hal ini jelas menunjukkan runtuhnya apa yang disebut sebagai undang-undang antarabangsa. Lebih-lebih lagi dengan penggal kedua Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, semakin jelas bahawa tiada lagi yang benar-benar tersisa daripada apa yang dinamakan undang-undang antarabangsa. Trump mengarahkan penangkapan Presiden Venezuela, Maduro, dalam satu operasi ketenteraan dengan mengabaikan pandangan antarabangsa serta kuasa-kuasa besar dunia. Bukan itu sahaja, dia turut mencadangkan pengilhakan Greenland dan Kanada ke dalam Amerika Syarikat, serta menuduh beberapa negara di Amerika Utara dan para pemimpinnya melakukan jenayah antarabangsa.
Trump kemudian mengumumkan penubuhan “Majlis Keamanan (Board of Peace)” dan mengadakan mesyuarat pertamanya. Hal ini berlaku ketika Amerika Syarikat telah menarik diri daripada 66 organisasi antarabangsa, yang hampir separuh daripadanya berafiliasi dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Trump melantik dirinya sendiri sebagai presiden tetap majlis tersebut dan memberikan dirinya hak veto tunggal terhadap segala keputusannya. Dia turut mengabaikan struktur antarabangsa sedia ada serta kuasa-kuasa besar dunia lain selain Amerika Syarikat.
Majlis ini dirancang sebagai sebuah badan alternatif untuk menggantikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatannya. Majlis ini mempunyai struktur baharu dan sistem pengundian yang baharu, serta bertindak sebagai saluran selari dengan tatanan dunia sedia ada. Pada masa yang sama, majlis ini diperuntukkan dana sebanyak sepuluh bilion dolar, dan negara-negara anggota diwajibkan untuk menyumbang tambahan sepuluh bilion dolar. Semua ini menunjukkan hasrat Amerika untuk menamatkan tatanan antarabangsa sedia ada dan membina sistem unipolar di mana Amerika menjadi satu-satunya kuasa dominan. Melalui tindakan tersebut, Amerika secara jelas memperlihatkan penolakannya terhadap multipolariti antarabangsa serta keengganannya untuk membenarkan mana-mana kuasa antarabangsa mencabar hegemoni Amerika terhadap tatanan global.
Tindakan angkuh dan melampaui batas ini telah membuka jalan bagi Trump untuk menyerang Iran sekali lagi. Bukan itu sahaja, dia juga berusaha untuk menukar rejim di Iran bagi meluaskan pengaruh sekutu Amerika, iaitu entiti Yahudi. Lebih tepat, matlamatnya adalah untuk mengurangkan peranan serantau Iran dan menjadikannya sebuah negara bawahan yang tidak mampu menimbulkan sebarang ancaman kepada entiti Yahudi.
Oleh itu, perubahan dalam situasi antarabangsa pada masa kini disertai dengan runtuhnya undang-undang antarabangsa, dan persaingan untuk memperebutkan pengaruh di kalangan kuasa-kuasa besar dijangka akan meningkat pada fasa yang akan datang. Tambahan pula, kepentingan perjanjian antarabangsa semakin menurun, kerana setiap kuasa besar akan berusaha mempertahankan pengaruhnya dalam lingkungan pengaruhnya sendiri.
Dalam keadaan sedemikian, keperluan terhadap Islam, yang diturunkan sebagai petunjuk dan cahaya bagi seluruh umat manusia, menjadi semakin besar, begitu juga keperluan terhadap sebuah negara Khilafah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam dalam kehidupan seharian. Khilafah mampu menyediakan penyelesaian yang berkesan terhadap krisis yang dihadapi dunia pada masa kini, serta boleh berfungsi sebagai rujukan bagi peradaban dan undang-undang yang boleh diterima oleh semua umat manusia di muka bumi.
﴿وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ * بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ﴾
“Dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah, Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan Dia lah juga yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani” [TMQ Ar-Ruum (30): 4-5]
#GeopolitikUmat #SistemIslam #Adidaya #PerundanganAntarabangsa #SistemNegaraBangsa #HagemoniAS