[NF151] Pengorbanan dan Hijrah Serta Peranan Strategik Muslimah dari Aqabah ke Darul Islam
Penulis: Hamimah Karmidi
Pendahuluan
Bulan Zulhijjah biasanya sinonim dengan kemuncak ibadah Haji dan pengorbanan yang menuntut ketulusan material serta spiritual daripada setiap hamba yang mendambakan keredhaan Allah SWT. Namun di sebalik kemuliaan syiar tersebut, Zulhijjah sebenarnya menyimpan dimensi politik dan sejarah yang amat besar dalam diari perjuangan Islam melalui peristiwa Bai‘at Aqabah yang menjadi jambatan emas menuju kedaulatan Hijrah. Perlu difahami bahawa Hijrah itu sendiri tidak wajar dilihat sebagai sebuah perpindahan geografi semata-mata dari Mekah ke Madinah, sebaliknya ia merupakan sebuah transisi ideologi yang membawa perubahan menyeluruh daripada belenggu jahiliah kepada kedaulatan syariat Allah di bawah naungan Darul Islam yang hakiki. Momentum Zulhijjah ini seharusnya menyedarkan umat bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan mestilah bermatlamat untuk mengembalikan kemuliaan sistem Islam yang syumul dalam segenap aspek kehidupan manusia, sekali gus menandakan berakhirnya era penindasan menuju fasa kepimpinan yang berteraskan wahyu Ilahi.
Peranan Strategik Muslimah dalam Peristiwa Bai‘at Aqabah dan Detik Penentuan Hijrah
Memahami makna hijrah dalam konteks moden hari ini menuntut kita untuk menelusuri kembali rentetan peristiwa bersejarah di Mina yang berlaku pada bulan Zulhijjah. Bai‘at Aqabah Pertama dan Kedua yang berlangsung semasa musim haji sebenarnya merupakan titik tolak paling penting dalam usaha pembentukan Daulah Islam yang berdaulat.
Sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan adalah bagaimana peristiwa agung ini tidak hanya didominasi oleh kaum lelaki semata-mata kerana kehadiran srikandi hebat seperti Ummu Umarah atau lebih dikenali sebagai Nusaibah binti Ka’ab serta Asma’ binti ‘Amr dalam Bai‘at Aqabah Kedua menjadi bukti kukuh bahawa sejak awal lagi wanita Muslimah telah memikul tanggungjawab politik serta kenegaraan yang sangat besar.
Penglibatan mereka sebenarnya jauh lebih bermakna daripada sekadar kehadiran fizikal kerana ia melambangkan simbol iltizam kaum wanita dalam menyokong transisi masyarakat menuju ke arah sistem Islam yang syumul.
Keberanian luar biasa ini terus terpancar melalui peranan tokoh penting seperti Asma’ binti Abu Bakar yang bertindak sebagai penggerak logistik yang sangat cekal. Pada saat yang paling kritikal dan berbahaya, keberanian beliau menghantar bekalan maklumat serta makanan kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Gua Tsur menunjukkan bahawa ketajaman strategi seorang Muslimah merupakan nadi penting yang menjamin keberhasilan peristiwa Hijrah tersebut. Selain daripada aspek strategi, keteguhan iman yang jernih juga dapat dilihat melalui kisah Ummu Kultsum binti Uqbah yang nekad berhijrah sendirian dengan meninggalkan keluarga yang masih belum beriman demi cintanya kepada Islam. Pengorbanan besar beliau menggambarkan bahawa ketaatan mutlak kepada Allah SWT mengatasi segala bentuk kepentingan peribadi mahupun ikatan kekeluargaan yang sedia ada.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa setiap fasa transisi menuju pembentukan Darul Islam menuntut sebuah pengorbanan atau semangat qurban yang nyata daripada kaum wanita yang merangkumi sumbangan tenaga fizikal, ketajaman buah fikiran mahupun ketabahan perasaan dalam mendepani cabaran.
Muslimah Masa Kini sebagai Agen Perubahan dan Pembina Kesedaran Ummah
Di tengah krisis identiti dan kegagalan sistem dunia yang semakin meruncing pada hari ini, setiap Muslimah perlu bangkit mengambil pengajaran bermakna daripada semangat Zulhijjah bagi memulakan gerak kerja hijrah yang lebih kontemporari serta berkesan. Keperluan untuk melakukan hijrah secara sistemik menjadi semakin mendesak apatah lagi apabila melihat realiti krisis yang melanda Palestin serta ketegangan geopolitik dunia dan pengaruh sistem kapitalisme yang kian mencengkam kehidupan umat. Perubahan besar ini sebenarnya berpaksikan kepada janji Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat sebelas yang menegaskan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka terlebih dahulu. Dalam menelusuri konteks tersebut, Muslimah memikul tanggungjawab yang sangat besar sebagai agen perubahan pemikiran yang bermula dengan memupuk kesedaran jernih dalam institusi keluarga untuk meninggalkan gaya hidup sekular yang sering memisahkan agama daripada urusan kehidupan demi kembali kepada cara hidup berteraskan syariat secara menyeluruh dalam setiap inci tindakan seharian.
Selain itu, Muslimah tidak boleh lagi sekadar menjadi pemerhati yang pasif kerana mereka berdiri teguh sebagai pendidik utama generasi atau dalam istilah tarbiyatul ajyal yang berperanan menjadi benteng pertahanan paling hadapan dalam mendepani asakan ideologi asing yang mengelirukan. Sebagai nakhoda yang mencetak sahsiah anak-anak, Muslimah bertanggungjawab membentuk barisan pemimpin masa hadapan yang memiliki keteguhan akidah serta tidak mudah goyah walaupun diasak dengan pelbagai fahaman yang cuba menjauhkan umat daripada kebenaran Islam yang sebenar.
Peranan strategik ini kemudiannya dilengkapi pula dengan tanggungjawab sebagai penggerak dakwah dalam ruang lingkup masyarakat yang lebih luas melalui perjuangan ilmu untuk menangkis ideologi menyimpang serta perjuangan politik demi mengembalikan kemuliaan umat. Segala usaha ini adalah sangat krusial bagi memastikan kehidupan bermasyarakat serta bernegara kembali bersatu di bawah kepimpinan yang diredai Allah SWT sebagaimana yang telah dibuktikan melalui sejarah penglibatan aktif para sahabiyah dalam baiat politik di Aqabah pada zaman Rasulullah SAW.
Kesinambungan Semangat Zulhijjah dalam Membina Kebangkitan Islam yang Hakiki
Sempena kehadiran bulan Zulhijjah yang mulia ini, marilah kita menghayati dengan sedalam-dalamnya bahawa ibadah haji serta korban merupakan simbol ketaatan mutlak seorang hamba kepada Penciptanya. Sebagaimana peristiwa bersejarah Bai‘at Aqabah yang berlaku pada bulan Zulhijjah telah berjaya membuka jalan luas kepada terdirinya Darul Islam di Madinah, begitu jugalah pengorbanan serta kecekalan para Muslimah pada hari ini diharapkan bakal menjadi sebab utama kepada kebangkitan semula kehidupan Islam yang syumul di seluruh pelosok dunia.
Justeru itu, setiap Muslimah perlu mengambil inspirasi agung ini untuk melaksanakan hijrah secara menyeluruh yang tidak hanya terbatas kepada pelaksanaan ibadah ritual semata-mata, sebaliknya merangkumi setiap aspek kehidupan demi membina kembali izzah atau kemuliaan umat Islam di bawah naungan syariat Allah SWT yang adil lagi diredhai.
Wallahu a’lam bissawab.
#MasyarakatMuslimIdeal #Hijrah #PerananMuslimah