[Persepsi Berbahaya] Globalisasi (Bahagian 2/3)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari “Globalisasi” Bahagian 1/3.)
Setelah melaksanakan penstrukturan semula, syarikat-syarikat korporat ini lalu mencari pampasan daripada pengeluaran kilang yang telah ditutup atau pengeluaran cawangan kilang yang telah dijual di Amerika Syarikat. Langkah ini dilakukan dengan mendapatkan bekalan produk pengganti daripada syarikat-syarikat kecil baharu, iaitu entiti yang membiayai upah buruh mereka melalui dana pinjaman. Buruh-buruh ini sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang terkesan akibat pemberhentian kerja (PHK) rentetan daripada penstrukturan semula sesebuah syarikat.
Kaedah lain yang digunakan adalah dengan membina kilang-kilang baharu serta membuka cawangan di luar Amerika Syarikat. Hal ini didorong terutamanya oleh kesan limpahan dasar dolar kukuh yang menyebabkan kos operasi dan upah di luar Amerika Syarikat menjadi sangat muraini memfokuskan pelaburan mereka di negara-negara miskin yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Indonesia, Filipina, Thailand, India, Mexico dan Brazil. Malah, kadar upah bulanan buruh di negara-negara berkenaan adalah lebih rendah berbanding kadar upah sejam atau dua jam buruh kilang di Amerika Syarikat.
Realiti ini tidak hanya terpakai kepada upah buruh tempatan, malah merangkumi skim gaji golongan intelek dan profesional domestik, seperti jurutera dan pengatur cara komputer di mana-mana sahaja. Mereka terpaksa menerima tawaran gaji yang lebih rendah berbanding standard di Amerika Syarikat kerana yang mereka perlukan hanyalah pekerjaan dan gaji (asalkan tidak menganggur).
Di Amerika Syarikat sendiri, tercetus konflik politik berhubung proses penstrukturan semula korporat dan pemberhentian pekerja secara besar-besaran dalam skala yang amat membimbangkan. Ramai rakyat Amerika Syarikat berpandangan bahawa tindakan pengiriman tenaga kerja keluar negara dan sekatan peluang pekerjaan domestik telah menjejaskan sumber pendapatan mereka. Mereka turut menganggap bahawa motif utama syarikat-syarikat ini tidak lain hanyalah bersandarkan kepada ketamakan kapitalistik semata-mata.
Syarikat-syarikat yang ada sudah tentu membantah kerana mereka berasa terpaksa untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut akibat daripada persaingan “global” yang sangat sengit. Mereka juga menyatakan bahawa tiada lagi alternatif bagi mereka, melainkan terpaksa bersaing dalam skala global dan mengglobalisasikan aktiviti-aktiviti mereka.
Rentetan itu, jawatankuasa-jawatankuasa dalam Senat dan Kongres Amerika Syarikat telah mengadakan sidang siasatan terbuka bagi menilai isu globalisasi membabitkan syarikat-syarikat domestik berkenaan. Sidang siasatan tersebut bermula buat kali pertama pada tahun 1989 dan berakhir pada tahun 1992. Siasatan-siasatan ini menjadi punca utama istilah globalisasi tersebar luas. Jawatankuasa terbabit kemudiannya mengiktiraf istilah ini secara rasmi dengan menjadikannya sebagai tajuk bagi resolusi dan keputusan mereka bermula tahun 1989 dan tahun-tahun berikutnya.
Maka, begitulah bermulanya penggunaan istilah globalisasi buat kali pertama sebagai tajuk buku atau keputusan rasmi yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Sejak itu, lambakan buku bertemakan globalisasi mula diterbitkan sehingga mencecah tidak kurang daripada 260 buah buku dalam bahasa Inggeris, dengan sebahagian besarnya diterbitkan pada dekad 1990-an, iaitu sewaktu era pentadbiran Bill Clinton.
Bagaimanapun, di sebalik kemelut tersebut, siasatan-siasatan yang dijalankan terbukti telah meredakan ketegangan politik yang berpunca daripada penentangan terhadap isu PHK dan pensubkontrakan luar pesisir. Fenomena ini sekali gus memberikan legitimasi (legitimacy) kepada tindakan pihak korporat, selain melemahkan penentangan daripada media massa yang sebelum itu rancak mengkritik isu pemberhentian pekerja.
Siasatan berkenaan berakhir pada tahun 1992 dan tidak disambung semula selepas itu, walaupun isu PHK tersebut memberikan impak yang signifikan terhadap keputusan Pilihan Raya Presiden pada penghujung tahun 1992. Selepas Clinton mengambil alih kuasa, Kongres meluluskan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang telah dirintis oleh George H.W. Bush bersama Kanada dan Mexico. Perjanjian tersebut secara jelas memberikan peluang kepada syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan Kanada untuk mengeluarkan produk di Mexico yang menawarkan kos buruh sangat murah, sebelum menjualnya semula ke pasaran Amerika Syarikat dan Kanada.
Perkara inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh kesatuan-kesatuan sekerja dan blok politik lain di Amerika Syarikat yang menentang dasar korporat tersebut, serta menuduh pihak syarikat sengaja memindahkan peluang pekerjaan ke luar negara.
Oleh itu, konflik politik yang tercetus di Amerika Syarikat—termasuklah perseteruan politik yang mengiringi isu PHK besar-besaran dan pemindahan tenaga kerja ke luar negara—menjadi latar belakang kepada penyebaran istilah yang kini dikenali sebagai globalisasi. Perseteruan politik tersebut berakhir pada tahun 1992 dengan kemenangan berpihak kepada komuniti perniagaan dan konglomerat Amerika Syarikat.
Keadaan ini kemudiannya membentuk naratif awam bahawa tenaga kerja profesional, berkemahiran tinggi dan berpendapatan lumayan harus dikekalkan di Amerika Syarikat. Sebaliknya, pekerjaan yang dipindahkan ke luar negara hanyalah sektor yang bergantung kepada tenaga fizikal dengan tugasan rutin yang meletihkan serta upah yang sekadar cukup makan. Sedangkan, perkara ini pun sama sekali tidak mereka inginkan untuk diri mereka sendiri.
Terdapat juga pembentukan persepsi bahawa sekiranya pasaran ini berjaya direalisasikan, manfaatnya akan dinikmati semula oleh rakyat Amerika Syarikat secara menyeluruh. Hal ini kerana sistem ini akan meletakkan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara industri maju yang khusus dengan tenaga kerja profesional, berkemahiran tinggi dan berpendapatan lumayan. Begitu juga dengan pemindahan sektor buruh kasar ke luar negara; barangan akan dihasilkan oleh buruh asing berkos rendah di luar negara, sebelum dibawa masuk semula ke pasaran Amerika Syarikat pada harga yang jauh lebih murah.
Isu ini berakhir dari sudut politik pada tahun 1992 apabila Clinton memegang tampuk kepimpinan pada tahun 1993, lalu mengunjurkan perubahan dalam dasar ekonomi luar Amerika Syarikat. Pendahulu Clinton, iaitu George H.W. Bush, sebelum itu telah mengguna pakai dasar untuk meningkatkan eksport barangan dan mempelopori penubuhan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) bagi menggantikan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) untuk membuka ruang eksport seluas-luasnya.
Walau bagaimanapun, para pelabur dan kalangan perniagaan Amerika Syarikat berpandangan bahawa perkara yang lebih penting daripada peningkatan eksport ialah penyempurnaan langkah yang telah dirintis pada akhir 80-an. Perkara ini melibatkan penstrukturan semula yang menyeluruh terhadap syarikat-syarikat korporat untuk merancakkan lagi operasi syarikat serta meningkatkan keupayaannya untuk menjana keuntungan. Mereka juga berpandangan bahawa penstrukturan semula ini akan membolehkan penghantaran para pakar, bukan sekadar barangan, ke luar negara. Di samping itu, ia membolehkan Amerika untuk menyertai persaingan yang sangat sengit menentang syarikat-syarikat asing (bukan Amerika Syarikat).
Para pelabur turut mengemukakan beberapa idea baharu kepada Clinton dengan harapan beliau akan mengguna pakainya. Mereka menyatakan bahawa sepanjang tempoh Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Dingin dan memikul tanggungjawab antarabangsa yang lain, Eropah dan Jepun telah berjaya memperkukuh paksi ekonomi mereka. Keadaan ini menjadi ancaman kepada kepentingan strategik Amerika Syarikat, terutamanya selepas era Perang Dingin berakhir. Justeru, Amerika Syarikat wajib mempersiapkan keupayaannya untuk bersaing dengan Eropah dan Jepun, serta mula menyaingi kedua-duanya dengan kekuatan penuh.
Amerika Syarikat juga tidak perlu lagi melindungi kepentingan ekonomi Eropah dan Jepun seperti mana yang dilakukan semasa Perang Dingin. Demikian pandangan golongan pelabur tersebut. Malah, mereka menggesa agar agensi perisikan Amerika Syarikat diaktifkan untuk menjalankan risikan ekonomi terhadap pasaran Eropah dan Jepun serta syarikat-syarikat mereka—tugas yang sebelum ini kurang diberi perhatian kerana tumpuannya kepada Perang Dingin dan isu-isu politik lain..
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.
(Bersambung ke “Globalisasi” Bahagian 3/3.)
#PersepsiBerbahaya #Globalisasi #Kapitalisme