HUKUM FIKH KORBAN – PENGORBAN (ORANG YANG MELAKUKAN KORBAN)
Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman
Qurban (korban) disebut juga sebagai udhḥiyyah. Dalam fikah, udhḥiyyah ialah haiwan ternakan yang disembelih pada Hari Nahr dengan niat melaksanakan ibadah sunnah.
Hukum udhḥiyyah adalah sunnah, sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
“Jika kalian melihat hilal Zulhijjah, dan salah seorang di antara kalian ingin menyembelih, maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya.” [HR Muslim][1]
Sabda Nabi SAW, “Wa arada ahadukum an yudhahhiya,” [dan salah seorang di antara kalian ingin melakukan korban], menunjukkan konotasi korban adalah sunnah, bukan wajib.
Orang yang Dituntut Berkorban (Orang Yang Melakukan Korban)
Korban tidak ditetapkan kecuali terhadap orang yang memenuhi syarat:
- Islam
Korban ialah suatu ibadah, dan ibadah hanya ditetapkan ke atas orang Islam. Sedangkan kepada orang bukan Islam, tidak.
- Bermukim
Korban dituntut bagi orang yang bermukim dan bukan bagi musafir.
- Mampu (mempunyai lebihan harta)
Korban hanya dituntut bagi orang yang mempunyai lebihan harta setelah mencukupi:
- nafkah pada Hari Raya,
- wang untuk melakukan ibadah korban,
- serta telah memenuhi keperluan asasnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Termasuk juga keperluan lain seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
- Tidak disyaratkan baligh dan berakal
Korban boleh dilakukan oleh wali bagi pihak kanak-kanak dan orang hilang akal (gila), kerana korban termasuk dalam bentuk nafkah yang diberikan secara makruf, yang disyariatkan untuk harta.
- Niat berkorban
Niat diperlukan kerana ia membezakan antara sembelihan biasa yang menjadi adat, dengan korban yang merupakan ibadah.
- Korban bagi orang yang berhutang
Membayar hutang hendaklah didahulukan daripada melakukan korban, walaupun pemiutang belum menuntut hutang tersebut.
- Korban bagi orang yang telah meninggal dunia
Korban boleh dilakukan bagi pihak orang yang telah meninggal dunia dan, insya-Allah, ia memberi manfaat kepada si mati.
- Menyembelih dengan tangan sendiri
Orang yang melakukan korban adalah lebih baik menyembelih haiwan korbannya sendiri, atau sekurang-kurangnya menyaksikan penyembelihan tersebut. Namun, ia juga boleh diwakilkan kepada orang lain.
#FikihKorban #Aidiladha #IbadahKorban #HariRayaKorban