[Soal Jawab] Adakah Ahli Waris Wajib Menanggung Hutang Ahli Waris yang Telah Meninggal Dunia?
Oleh: KH. Muhammad Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, adakah ahli waris wajib menanggung hutang pihak yang mewariskan (mayyit), misalnya almarhum ayahnya?
Jawapan:
Para waris tidak wajib menanggung hutang pihak yang mewariskan (mayyit), kerana kewajipan melunaskan hutang itu diambil dari harta si mayyit sebelum harta waris dibahagi. Hanya saja disunnahkan bagi para waris untuk melunaskan hutang pihak yang mewariskan (mayyit) tersebut. Dalam hal Baitul Mal dari negara Khilafah telah kembali di tengah kaum Muslimin, maka Baitul Mal tersebut akan menanggung hutang warga negara Khilafah yang tidak mampu melunaskan hutangnya.
Bahawa para ahli waris tidak wajib hukumnya menanggung hutang pihak yang mewariskan (mayyit), kerana jika seseorang meninggal dunia dalam keadaan dia sedang menanggung kewajipan hutang, maka hutangnya dibayar dari tirkah, iaitu harta waris yang ditinggalkan oleh orang yang meninggal tersebut. Dalilnya firman Allah SWT:
مِنۡۢ بَعۡدِ وَصِيَّةٍ يُّوۡصِىۡ بِهَاۤ اَوۡ دَيۡنٍ
“(Pembahagian-pembahagian waris tersebut di atas) setelah (dipenuhi) wasiat yang dibuatnya atau (dan setelah dibayar) hutangnya.” (TMQ An-Nisā’ [4]: 11).
Adapun jika harta dari orang yang meninggal itu tidak cukup untuk melunasi hutang-hutangnya, maka baki hutang itu tidak menjadi kewajipan atas para ahli warisnya. Imam Ibnu Qudamah berkata:
فَإِنْ لَمْ يَخْلُفْ تِرْكَةً، لَمْ يَلْزَمِ الْوَارِثُ بِشَيْءٍ، لِأَنَّهُ لَا يَلْزَمُهُ أَدَاءُ دَيْنِهِ إِذَا كَانَ حَيًّا مُفْلِسًا، كَذَلِكَ إِذَا كَانَ مَيِّتًا
“Jika seseorang meninggal dan tidak meninggalkan warisan, ahli waris tidak berkewajipan untuk melakukan apa pun, kerana ahli waris tidak berkewajipan untuk membayar hutangnya jika dia masih hidup dan bankrap (muflis), dan hal yang sama berlaku pula jika dia telah meninggal.” (Imam Ibnu Qudamah, Al-Mughnī, Juz V, hlm. 209).
Meski demikian, para ahli waris disunnahkan untuk menanggung hutangnya almarhum pewaris yang meninggal, misalnya ayah atau ibunya. Imam Ibnu Qudamah berkata:
وَإِنْ تَعَذَّرَ إِيفَاءُ دَيْنِهِ فِي الْحَالِ اسْتُحِبَّ لِوَارِثِهِ أَوْ غَيْرِهِ أَنْ يَتَكَلَّفَ بِهِ عَنْهُ كَمَا فَعَلَ أَبُو قَتَادَةَ لَمَّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَهُ بِجَنَازَةٍ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهَا
“Jika terdapat kesulitan untuk melunasi hutangnya (si mayyit) secara segera, disunnahkan kepada para ahli warisnya atau kepada selain ahli waris untuk menanggung hutangnya si mayyit, sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Qatadah (ketika menanggung hutang jenazah) yang tidak disolatkan oleh Nabi SAW …” (Ibnu Qudamah, Al-Syarh Al-Kabīr, Juz II, hlm. 142).
Dalilnya adalah hadis daripada Jabir bin Abdillah RA sebagai berikut:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلََّمَ لاَ يُصلِّي عَلىَ رَجُلٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ، فأَُتِيَ بِمَيِّتٍ، فَسَأَلَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوْا: نَعَمْ، دِيْنَارَانِ، قَالَ: صَلُُّوْا عَلىَ صَاحِبِكُمْ، فَقَالَ أَبُوْ قَتَادَةَ: هُمَا عَلَيَّ يَا رَسُوْلَ اللهِ، فَصَلَّى عَلَيْهِ
“Nabi Muhammad SAW dulu tidak akan melaksanakan solat jenazah untuk orang yang mempunyai hutang. Kemudian satu jenazah dibawa kepadanya, dan baginda bertanya, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Ya, dua dinar.” Baginda berkata, “Solatkan sendiri temanmu itu.” Abu Qatadah berkata, “Dua dinar itu menjadi tanggungan saya, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah SAW berkenan melaksanakan solat jenazah untuknya.” (HR Ahmad, no. 14159; Abu Dawud, no. 3343; dan Al-Nasa`i, no 1962).
Dalam hal Baitul Mal dalam negara Khilafah jika ianya kembali di tengah kaum muslimin, maka Baitul Mal tersebut yang akan menanggung hutang warga negara Khilafah yang tidak mampu melunasi hutangnya. Dalilnya adalah As-Sunnah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
أَنَا أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ فَمَنْ تُوُفِّيَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَعَلَيَّ قَضَاؤُهُ وَمَنْ تَرَكَ مَالًا فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ
“Aku lebih berhak atas jiwa seorang mukmin daripada diri mereka sendiri, barang siapa yang meninggal sementara dia mempunyai hutang, maka akulah yang akan membayarnya, dan barang siapa meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya.” (HR. Ibnu Majah, no. 2406).
Dalam kitab Al-Ifshāh karya Syeikh Ibnu Hubairah (w. 560 H/1165 M) dijelaskan maksud sabda Nabi SAW “Barang siapa yang meninggal sementara dia mempunyai hutang maka akulah yang akan membayarnya” sebagai berikut:
فَإِنْ سَبَقَهُ الْمَوْتُ وَفِي ذِمَّتِهِ دَيْنٌ لَمْ يَقْضِهِ؛ تَعَيَّنَ قَضَاؤُهُ مِنْ بَيْتِ الْمَالِ
“Jika seseorang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai tanggungan hutang yang belum dia lunasi, maka pelunasannya menjadi kewajipan Baitul Mal.” (Ibnu Hubairah, Al-Ifshāh, Juz VI, hlm. 183).
Dalam Syarah Bulūghul Marām, Syeikh ‘Athiyah Salim (w. 1420 H/1999 M) terdapat penjelasan yang sama sebagai berikut:
أَي: أَنَّ بَيْتَ مَالِ الْمُسْلِمِينَ الْمُنْتَظَمَ يَتَضَمَّنُ سَدَادَ دَيْنِ الْمَعْدَمِ ، وَمَغْنَمُ الْمَيِّتِ يَرْجِعُ إِلَى أَهْلِهِ
“Ertinya, bahawa Baitul Mal kaum muslimim yang muntazham (teratur dengan pengurusan yang baik secara syariah) yang akan menanggung hutangnya orang yang meninggal yang tidak mempunyai apa-apa, sedangkan mayyit yang berharta, maka harta yang ditinggalkannya untuk keluarganya (sebagai harta waris).” (Syeikh ‘Athiyah Salim, Syarah Bulūghul Marām, Juz VII, hlm. 208). Wallāhu a’lam.
#Hutang #Pinjaman #Harta #TanggungjawabHutang #MuhasabahKematian