Sang Raksasa yang Tertidur: Seruan Haji untuk Persatuan
Setiap tahun, lebih daripada dua juta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di tanah suci untuk menunaikan salah satu ibadah kolektif terbesar, iaitu Haji. Para jemaah hadir dengan mengenakan pakaian putih yang sama, melafazkan kalimah yang sama, dan melakukan menasik yang sama – sebuah bukti nyata bahawa Islam melampaui batas bangsa, bahasa, budaya, dan status sosial – semuanya dengan satu tujuan tunggal, iaitu beribadah kepada Allah SWT.
Haji merupakan salah satu rukun Islam yang agung; Ia adalah suatu ibadah – sama seperti solat lima waktu yang berfungsi untuk membersihkan jiwa, memperbaharui hubungan seorang hamba dengan Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda:
«مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ»
“Barangsiapa menunaikan haji kerana Allah, lalu dia tidak berkata kotor (rafats) dan tidak berbuat kefasikan, maka dia kembali (bersih daripada dosa) seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (HR. Bukhari).
Selain ganjaran pahala yang sangat besar ini, ibadah haji berfungsi sebagai pembaharuan tahunan terhadap nilai-nilai inti Islam, yang paling utama antaranya ialah persatuan dan pengorbanan.
Persatuan: Kekuatan Sebuah Umat
Pada saat negeri-negeri umat Islam berhadapan dengan kolonialisme tanpa henti, pembunuhan beramai-ramai, dan nasionalisme yang telah memecah-belahkan sebahagian besar umat Islam, ibadah haji hadir setiap tahun untuk mengingatkan kita bahawa persatuan umat Islam merupakan kewajipan syarak dan keperluan politik.
Sekadar melihat para jemaah haji walaupun dari kejauhan sudah cukup menimbulkan rasa kagum, di mana jutaan umat Islam bergerak sebagai satu tubuh, yang disifatkan sebagai bentuk kedisiplinan, pengabdian, dan satu tujuan yang sama. Dalam banyak aspek, perhimpunan ini menyerupai satu himpunan besar yang penuh dengan kekuatan dan penyelarasan, sehingga ia menjadi bukti nyata bahawa apabila umat Islam bersatu di bawah satu talbiyah (kalimat yang diucapkan oleh jemaah haji sebagai tanda memenuhi panggilan Allah SWT): Labbaik Allahumma Labbaik (Aku memenuhi panggilan-Mu ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu), dan tujuan bersama, maka hasilnya sungguh mengagumkan.
Nabi Muhammad SAW pernah menggambarkan suatu zaman kita saat ini, sebagai suatu zaman di mana umat Islam jumlahnya ramai tetapi lemah seperti buih di lautan. Sebahagian besar kelemahan yang dialami saat ini berpunca daripada perpecahan politik, bahawa umat Islam terpecah dan terbahagi kepada 57 buah negara yang masing-masing mempunyai pemerintahan, ketenteraan, dan dasar luar negerinya yang tersendiri.
Kita Perlu Melihat dan Menilai Potensi Negeri-Negeri Muslim yang Bersatu:
– Keluasan wilayah geografi: Wilayah negeri-negeri Muslim meliputi kira-kira 12 juta batu persegi, hampir dua kali ganda keluasan Rusia, dan lebih daripada tiga kali ganda keluasan Amerika Syarikat, serta mewakili sekitar 21% daripada keluasan daratan dunia, hal inilah yang memberikan mereka potensi yang sangat besar dalam pengeluaran tenaga boleh diperbaharui.
– Kelimpahan sumber pertanian: Kepelbagaian ekologi ini membolehkan pengeluaran sebahagian besar tanaman makanan utama di dunia, dengan kekayaan sumber ternakan yang sangat besar yang menjadi tunjang ketahanan makanan dan ekonomi.
– Populasi yang muda dan dinamik: Jumlah umat Islam sekitar dua bilion (kira-kira 26% daripada populasi dunia), dengan purata umur hampir 24 tahun, yang mewakili salah satu tenaga kerja muda dan dinamik terbesar di dunia.
– Pengaruh maritim strategik: Negeri-negeri Muslim mengawasi 5 daripada 7 jalur transit minyak global, menurut Badan Maklumat Tenaga AS, seperti Selat Hormuz, Bab el-Mandab, Terusan Suez, Selat Bosporus, dan Selat Malaka, yang memberikan mereka pengaruh ekonomi dan geopolitik yang signifikan.
– Dominasi dalam sektor tenaga: Negeri-negeri Muslim memiliki sekitar 60-65% daripada rizab minyak dunia, di samping sumber semula jadi dan mineral nadir yang melimpah.
– Kemampuan ketenteraan: Umat Islam yang bersatu berpotensi memiliki salah satu kekuatan ketenteraan terbesar di dunia, dengan anggaran antara 20 hingga 25 juta tentera aktif dan simpanan.
Pengorbanan: Inti Ibadah Haji
Pengorbanan merupakan nilai terbesar kedua yang diwujudkan oleh ibadah haji, dan nilai ini telah wujud dan bergema sepanjang zaman. Akar nilai ini berasal daripada Nabi Ibrahim AS. yang memberikan teladan pengorbanan dan pengabdian yang paling agung, dengan rela mengorbankan puteranya setelah sekian lama menantikan kelahirannya, meninggalkan bayi yang baru lahir bersama isterinya, Hajar, di sebuah lembah yang tandus, serta melepaskan keselesaan dan keamanan demi ketaatan kepada Allah SWT.
Demikian juga, pengorbanan para jemaah haji yang bermula bahkan sebelum mereka tiba di Mekah, apabila mereka meninggalkan pekerjaan dan keluarga serta menanggung beban kewangan yang signifikan. Setelah tiba, pengorbanan itu diteruskan dengan melaksanakan manasik di bawah terik matahari, didorong oleh kecintaan kepada Allah dan ketaatan hanya kepada-Nya. Kemudian mereka menyembelih haiwan korban dan mencukur kepala mereka sebagai lambang pembaharuan kesetiaan mereka kepada Allah serta penolakan mereka terhadap segala sesuatu selain-Nya. Oleh itu, umat Islam tidak seharusnya ragu-ragu untuk berkorban jika pengorbanan itu dilakukan demi Allah SWT.
Menjelang musim haji, kita mengenang pengorbanan para pendahulu kita: Nabi Muhammad SAW ketika pengepungan Bani Hasyim, Sumayyah RA, syuhada pertama dalam Islam, keteguhan para sahabat dalam Perang Khandaq, serta Abu Ayyub al-Anshari RA, yang dimakamkan berhampiran tembok Konstantinopel. Ini hanyalah beberapa contoh, namun risalah yang mereka bawa tidak berakhir dengan pemergian dan kesyahidan mereka, tetapi risalah itu terus hidup bersama kita, yang mengingatkan kita bahawa merealisasikan risalah ini memerlukan pengorbanan yang serupa.
Sebagai contoh, perpecahan politik yang telah melemahkan umat tidak akan berakhir tanpa pengorbanan, sempadan-sempadan buatan yang dirancang oleh penjajah tidak akan lenyap tanpa pengorbanan, penguasa zalim tidak akan disingkirkan tanpa pengorbanan, dan penegakan Khilafah, yang merupakan tājul furūdh (mahkota segala kewajipan), tidak akan dapat direalisasikan tanpa pengorbanan. Haji merupakan peringatan tahunan bahawa kita tidak diciptakan untuk berpecah belah, tetapi untuk menjadi satu umat, beriman kepada satu Tuhan, satu agama, dan satu umat. Jalan untuk kembali kepada persatuan itu terletak pada pengorbanan.
Jalan Menuju Kebangkitan
Persoalan-persoalan yang wajar direnungkan ialah: Bagaimanakah jika umat Islam bersatu secara politik, sebagaimana mereka bersatu secara rohani dalam ibadah haji pada setiap tahun? Adakah umat Islam mampu bersatu dan merdeka? Adakah kita bersedia untuk bersatu dan berkorban?
Jawapannya jelas: umat Islam memiliki segala sumber, kelebihan demografi, dan potensi geografi yang diperlukan untuk membangun negara yang moden, berdaulat, dan makmur – sebuah negara yang memanfaatkan potensi besarnya untuk membangunkan sistem pemerintahan yang diredhai Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Di bawah sebuah sistem yang adil yang berteraskan pada wahyu Ilahi, kezaliman tidak akan mendapat tempat berlindung, dan tidak akan dibiarkan berlakunya pelanggaran terhadap kesucian kaum Muslim: darah, harta benda, atau kehormatan mereka. Negara seperti itu akan menampilkan Islam kepada dunia melalui perbezaan yang jelas dan tidak dapat disangkal antara keadilan serta integriti pemerintahan di bawah Islam dengan kerakusan, diskriminasi, dan kemerosotan moral yang meresapi sistem sekular-kapitalis yang berlaku saat ini.
Jalan menuju kebangkitan bukan sekadar melalui reformasi politik atau pembangunan ekonomi, melainkan melalui pemulihan kehidupan Islami dan penegakan pemerintahan berdasarkan hukum Allah di bawah Khilafah ‘ala minhājin nubuwah, Khilafah yang menyatukan umat, menjaga maruah mereka, dan mengembalikan mereka kepada keadaan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu sebagai khairul ummah (umat terbaik) yang diciptakan untuk umat manusia.
Oleh itu, umat Islam wajib berkorban dan mengabdikan diri untuk mencapai kebangkitan mereka, dan terus berusaha untuk meraih redha Allah SWT. Sesungguhnya, kemenangan di dunia dan pahala di akhirat menanti mereka yang menyahut seruan.
﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْناً يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئاً وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾
“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara kamu bahawa Dia pasti akan memberikan kepada mereka kekuasaan di bumi, sebagaimana Dia telah memberikannya kepada orang-orang sebelum mereka, dan bahawa Dia pasti akan menegakkan bagi mereka agama mereka yang telah Dia redhai, dan bahawa Dia pasti akan mengganti bagi mereka, setelah rasa takut mereka, dengan rasa aman – kerana mereka menyembah-Ku tanpa menyekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barangsiapa yang mengingkari setelah janji ini, maka merekalah orang-orang yang derhaka.” (TMQ. An-Nūr [24]: 55).
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 11/5/2026.
#haji #kesatuanumat #TegakKhilafah #TerapIslamKaffah
