Merayakan Maulid Itu Mudah, Meneladani Rasulullah Itu Perjuangan
Oleh: Nabila Zidane
Bulan Maulid datang lagi. Timeline mendadak penuh selawat, masjid ramai, lampu warna-warni menyala, dan group WhatsApp mula mengirim ucapan “Selamat Maulid Nabi” sejak subuh.
Ada yang menganjurkan acara, ada yang saling mengagihkan makanan, ada pula yang tiba-tiba hafal sejarah kelahiran Nabi. MasyaAllah, bagus. Minima berbanding tiba-tiba menghafal lirik lagu sedih kerana bekas anda memuat naik foto bersama pasangan baharunya.
Tapi pertanyaannya, setelah Maulid berlalu, bagaimana pula?
Adakah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW terhenti pada upacara sahaja?
Abu Lahab saja, yang jelas-jelas kafir dan memusuhi Rasulullah SAW disebut dalam riwayat yang masyhur mendapatkan keringanan azab setiap hari Isnin kerana pernah bergembira menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW. Mengapa kita yang mengaku umatnya, takkan tidak merasa senang dengan kelahiran baginda?
Takkanlah setiap kali Maulid perlu lebih sibuk berdebat, “Boleh atau tidak?”
daripada bertanya, “Sudahkah aku benar-benar mencintai Rasulullah SAW?”
Mencintai Rasulullah SAW tentu bukan sekadar senang ketika mengingat kelahiran baginda. Kecintaan itu perlu berlanjutan dengan meneladani baginda.
Ini kerana, jika kita cuma merasa senang dengan keraian Maulidnya, tetapi ketika berbicara tentang sunnahnya, sebaliknya terus mengatakan, “Yang pentingkan hatinya baik,”
Ia seperti menyukai resipi nasi goreng, tetapi membuang semua arahan memasak. Daripada nasi goreng, anda mungkin akan mendapat nasi yang tidak pasti.
Allah SWT berfirman,
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (TMQ Ali Imran: 31)
Jadi cinta itu ada buktinya. Kalau kita mencintai Rasulullah SAW, maka kita hendaklah berusaha mengikuti baginda. Mengikuti ibadahnya, akhlaknya, perjuangannya, keteguhannya, kepemimpinannya dan mengikuti cara baginda mengatur kehidupan umat.
Bukan dipilih-pilih seperti bufet. Diambil akhlaknya, ditinggalkan syariatnya. Ambil kisah sedekahnya, tinggalkan sistem hukumnya. Ambil cerita kesabarannya, tapi perjuangannya membangun masyarakat Islam dianggap tidak perlu dibahas.
Padahal Rasulullah SAW adalah uswah hasanah, teladan terbaik. Baginda bukan hanya mengajarkan solat, puasa dan sedekah. Baginda juga mendidik masyarakat, menghadapi intimidasi, melawan kekufuran, memimpin umat, mengadili perkara, melantik para pegawai, mengirim utusan, membuat perjanjian, memimpin pasukan, dan membangun pemerintahan di Madinah.
Lengkap. Kaffah.
Jadi jangan sampai kita mengenal Rasulullah SAW hanya sebagai manusia yang lembut kepada anak-anak, tapi lupa baginda juga pemimpin negara. Jangan hanya terharu tatkala mendengar kisah baginda menyayangi kucing sementara kisah perjuangan baginda menegakkan Islam sebaliknya dianggap terlalu berat untuk dibahas.
Rasulullah SAW bukan pemimpin yang dakwahnya dapat dibungkam dengan jawatan.
Kaum Quraisy pernah menawarkan harta. Ditolak.
Ditawarkan kedudukan. Ditolak.
Ditawarkan kekuasaan. Ditolak.
Kalau sekarang mungkin ditambah tawaran kereta mewah, rumah, jawatan menteri, projek bernilai trilion dan endorse produk. Agak-agaknya, anda sebagai pengemban dakwah bagaimana pula imannya?
Namun, Rasulullah SAW tetap teguh. Bahkan baginda menyatakan bahawa seandainya matahari diletakkan di tangan kanan dan bulan di tangan kiri agar baginda meninggalkan dakwah, baginda tidak akan meninggalkannya.
Nah, ini yang namanya integriti.
Prinsip tidak dijual.
Dakwah tidak ditukar dengan kemudahan.
Kebenaran tidak ditukar dengan jawatan.
Islam tidak dikompromikan demi tepuk tangan manusia.
Baginda juga menghadapi caci maki, pemboikotan, penyeksaan, pengusiran sehinggalah peperangan. Tetapi tidak pernah berhenti.
Kadang kita baru dikomentari, “Otak kamu kena dicuci, kamu fanatik!” sudah terasa mahu bersara daripada dakwah.
Padahal Rasulullah SAW dihina jauh lebih dahsyat. Baginda dicaci, dilempari objek, diboikot dan diancam. Namun baginda tetap sabar dan yakin terhadap pertolongan Allah SWT.
Allah SWT berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (TMQ Muhammad: 7)
Maka perjuangan memerlukan kesabaran. Bukan baru dua hari dakwah sepi lalu berkata, “Agaknya algoritma tidak mendukung perjuangan Islam.”
Istiqamah itu memang tidak selalu viral. Tapi yang kita cari bukan viral. Yang kita cari adalah redha Allah SWT. Lalu ada satu hal lagi yang sering dilupakan bahawa Rasulullah SAW juga seorang pemimpin negara.
Baginda memimpin Madinah dengan hukum Allah SWT. Tidak berdasarkan hawa nafsu, kepentingan oligarki, tekanan korporat atau pesanan negara asing.
Baginda menegakkan keadilan tanpa pandang bulu.
Ketika ada perempuan bangsawan Quraisy mencuri, bukan yang kemudian dibuat adalah pertemuan khusus untuk mencari alasan meringankan hukumannya.
Sebaliknya, Rasulullah SAW menegaskan, seandainya Fatimah puterinya sendiri melakukan hal tersebut, hukuman tetap ditegakkan.
Cuba bayangkan kalau keadilan hari ini seperti itu.
Tidak ada hukum yang tajam ke bawah, tumpul ke atas.
Tidak ada rakyat kecil cepat diproses, namun pegawai besar malah sibuk menghilang sambil “Masih dalam perawatan”.
Tidak ada jawatan diberikan kerana membalas jasa politik, atau kerana hubungan kedekatan keluarga atau kerana, “Yang penting dia orang kita.”
Dalam Islam, amanah diberikan kepada orang yang mampu dan dapat dipercaya. Kerana jawatan bukan hadiah. Bukan pula pentas untuk membalas budi. Jawatan adalah amanah.
Maka meneladani Rasulullah SAW tidak cukup hanya dengan memperbanyak selawat ketika Maulid. Selawat tentu mulia. Kecintaan kepada baginda juga wajib. Tetapi bukti cinta itu adalah ittiba’ (mengikuti baginda). Menjalankan syariatnya dalam kehidupan peribadi. Meneladani akhlaknya dalam keluarga. Meniru kesabarannya dalam berdakwah. Mencontohi keteguhannya dalam memperjuangkan kebenaran dan mengambil seluruh ajaran Islam yang baginda bawa sebagai pedoman kehidupan.
Bukan hanya sebahagian yang terasa menyenangkan.
Bukan hanya yang sesuai dengan selera zaman.
Bukan hanya yang tidak mengganggu sistem sekular. Sebab Islam datang bukan untuk menjadi aksesori kehidupan. Islam adalah jalan hidup.
Hari ini umat Islam di seluruh dunia begitu banyak. Negara-negara Muslim memiliki sumber daya, tentera, kekayaan dan wilayah yang luas. Tetapi ketika Gaza dibantai, Palestin menjerit, sementara para penguasa sibuk membuat berbagai kesepakatan dan perjanjian yang tidak benar-benar membela umat, kita sepatutnya bertanya,
“Di manakah kepemimpinan umat?”
Ketika negara-negara Muslim mampu bekerjasama untuk kepentingan tertentu, mengapa kekuatan itu tidak sungguh-sungguh digunakan untuk melindungi kaum Muslim yang dibantai?
Inilah pentingnya kita tidak hanya membaca sejarah Rasulullah SAW sebagai kisah masa lalu. Perjuangan baginda hendaklah menjadi pelajaran untuk hari ini.
Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar agama yang mengatur sejadah. Islam juga mengatur masyarakat dan negara.
Oleh kerana itu sahabat, meneladani Rasulullah SAW secara kaffah bermakna tidak memisahkan agama dari kehidupan. Kalau kita benar-benar mencintai baginda, jangan berhenti pada, “Aku cinta Rasulullah.”
Teruskan dengan pertanyaan,
“Sudahkah hidupku mengikuti ajaran Rasulullah?”
Semoga Maulid Nabi Muhammad SAW menjadi momentum untuk memperbaharui kecintaan kita kepada baginda. Bukan sekadar meriah sehari, lalu setelah itu ajarannya kembali diletakkan di pinggir kehidupan. Tapi kita meneladani akhlak baginda.
Kita melanjutkan perjuangan baginda dan kita berusaha menjalankan Islam yang baginda bawa secara kaffah.
Wallahu a’lam bish-shawab.
#MaulidNabi #CintaNabi #CintaRasul #TerapkanSyariah #TegakkanKhilafah