Jerebu Merentas Sempadan: Kegagalan Kapitalisme dan Potensi Solusi Islam
Fenomena jerebu merentas sempadan kini bukan lagi sekadar gangguan atmosfera bermusim, sebaliknya ia merupakan manifestasi kegagalan tadbir urus alam sekitar sistemik di bawah hegemoni ekonomi moden. Krisis jerebu telah menjelma sebagai “kebiasaan baharu” ( new normal ) yang mencabar kerangka meteorologi konvensional. Menurut pakar klimatologi Prof. Dr. Fredolin Tangang, perubahan iklim global meningkatkan risiko keadaan lebih kering di kawasan seperti Sumatera dan Kalimantan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan walaupun tanpa berlakunya fenomena El Niño.
Ini bermakna, ketersediaan bahan bakar di hutan kini bersifat kekal, menunggu sahaja puntung api “imperialisme korporat” untuk mencetuskan malapetaka udara yang merentasi kedaulatan negara. Keadaan ini dibuktikan melalui data Indeks Pencemaran Udara (IPU) sepanjang episod jerebu Julai 2025 yang menunjukkan rantaian kesan langsung daripada aktiviti pembakaran hutan berskala besar:
- Nilai, Negeri Sembilan (IPU 162): Bacaan tidak sihat yang dikaitkan secara langsung dengan asap rentas sempadan akibat pembakaran hutan bagi pembukaan ladang komersial.
- Johan Setia, Selangor (IPU 154): Kawasan yang kerap terjejas teruk akibat kombinasi kebakaran tanah gambut tempatan dan asap merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan.
- Putrajaya (IPU 111): Pusat pentadbiran negara turut terjejas, mencerminkan ketidakupayaan sempadan politik dalam membendung kesan kerosakan ekosistem yang didorong oleh motif keuntungan luar sempadan.
Adakah instrumen ekonomi dan perjanjian antarabangsa sedia ada benar-benar direka untuk memadamkan punca kebakaran ini, atau sekadar menguruskan asapnya demi menjaga kepentingan pasaran global?
Komodifikasi Pencemaran
Penilaian terhadap mekanisme pasaran semasa menunjukkan bahawa sistem kapitalisme gagal melindungi alam sekitar kerana ia memperlakukan ekosistem sebagai kesan sampingan yang boleh diperdagangkan. Isu jerebu tidak akan selesai selagi logik pasaran membenarkan pencemaran menjadi satu bentuk komoditi yang mempunyai nilai harga.
Sistem perdagangan karbon sebenarnya seolah-olah memberikan “lesen rasmi” kepada syarikat besar untuk terus mengotorkan udara. Melalui sistem ini, kerajaan menetapkan had laju pencemaran. Syarikat kaya yang mengeluarkan banyak asap kotor boleh membeli kuota tambahan daripada syarikat lain supaya mereka boleh terus membebaskan gas CO2 tanpa tindakan undang-undang.
Nicholas Stern, bekas Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia, pernah menyifatkan krisis perubahan iklim ini sebagai kegagalan sistem ekonomi terbesar dalam sejarah manusia. Beliau mengkritik sistem pasaran dunia yang gagal mengambil kira kos kerosakan alam sekitar. Namun anehnya, Stern sendiri masih mencadangkan agar pencemaran ini diletakkan tanda harga sebagai jalan penyelesaian. Persoalannya, adakah kita benar-benar perlu mengorbankan alam sekitar demi mengejar kemajuan ekonomi?
Analisis Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM)
Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM – Clean Development Mechanism) sering kali menjadi alat “imperialisme ekologi” di mana syarikat Barat memindahkan beban pencemaran ke negara membangun. Kes kilang kimia di Gujarat, India (Gujarat Fluorochemicals Limited) adalah bukti nyata; di sebalik topeng “projek hijau” PBB, ia telah menghasilkan sisa toksik yang mencemarkan bekalan air penduduk sehingga digelar ‘water of death’ (air kematian). Penduduk kampung berdekatan dilaporkan mengalami skeletal fluorosis (kesakitan sendi, tulang belakang, dan tulang kaku) akibat paras fluorida dan klorida yang jauh melebihi had selamat, di samping kerosakan hasil pertanian.
Evaluasi ASEAN Agreement On The Transboundary Haze Pollution (AATHP)
Meskipun AATHP diratifikasi untuk menangani jerebu, keberkesanannya terhad oleh struktur diplomatik yang lemah:
- Strategi Pencegahan lwn. Kekangan Punitif: Walaupun AATHP secara teoretikalnya bertujuan untuk mencegah dan memantau masalah jerebu menerusi 8 Komponen Strategik Utama, realiti operasinya pula berdepan dengan kekangan kerana tiada tindakan punitif (hukuman) yang bersifat supranasional boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar perjanjian tersebut.
- Kerjasama Erat lwn. Kedaulatan Negara: Matlamat teoretikal untuk mewujudkan kerjasama erat antara ASEAN Member States (AMS) dalam menangani jerebu tertakluk kepada realiti di mana pelaksanaan usaha ini sangat bergantung kepada rundingan muhibah serta penghormatan yang tinggi terhadap kedaulatan mutlak setiap negara anggota.
- Ratifikasi Sebulat Suara lwn. Pengaruh Politik Domestik: Biarpun AATHP berjaya mencapai ratifikasi sebulat suara oleh semua AMS di atas kertas, namun pada realiti operasinya, ia dilihat gagal menyentuh punca akar isu jerebu, terutamanya melibatkan syarikat-syarikat besar yang mempunyai pengaruh politik yang sangat kuat di peringkat domestik.
Kegagalan ini membuktikan bahawa sistem konvensional tidak mempunyai “taring” undang-undang kerana ia berakar umbi daripada ideologi materialistik yang memisahkan pertimbangan moral daripada aktiviti ekonomi.
Mengapa Kapitalisme Gagal Melindungi Alam?
Pandangan alam ( worldview ) Kapitalisme secara fundamental bertentangan dengan kelestarian alam. Dalam sistem ini, alam sekitar dilihat sebagai sumber tanpa had yang hanya bernilai apabila dieksploitasi untuk pertumbuhan ekonomi.
- Teori Kelangkaan vs Masalah Agihan: Kapitalisme dibina atas Theory of Scarcity yang mendakwa sumber adalah terhad manakala keinginan manusia adalah infiniti. Ini mewujudkan “kelangkaan rekaan” untuk memacu pengeluaran. Sebaliknya, Islam melihat masalah ekonomi berpunca daripada agihan ( distribution ) yang tidak adil, bukannya kekurangan sumber fizikal.
- Pemujaan KDNK: Mengejar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara membabi buta menyebabkan kos kerosakan alam (seperti jerebu) diabaikan kerana ia dianggap tidak menyumbang kepada angka pertumbuhan jangka pendek.
- Legitimasi Tamak Haloba: Walaupun Adam Smith (tokoh kapitalisme) menghujahkan bahawa kepentingan diri mesti dikawal oleh institusi moral dan undang-undang. Namun amalan kapitalisme semasa telah menyelewengkan konsep tersebut menjadi sikap tamak haloba yang tidak bersempadan. Ketamakan ini memisahkan ekonomi daripada nilai kemanusiaan, sehinggakan kerosakan ekosistem pun dianggap sebagai kos perniagaan yang boleh dijual beli. Kegagalan moral sekular ini membuktikan bahawa ‘tangan ghaib’ pasaran tidak mampu menyekat nafsu rakus manusia, sekali gus mendorong keperluan kepada alternatif holistik daripada sistem Islam yang berpaksikan amanah sebagai khalifah di muka bumi.
Paradigma Islam
Islam menawarkan kerangka kerja yang tidak memisahkan antara elemen material dan spiritual, di mana setiap tindakan ekonomi tertakluk kepada pengawasan Ilahi.
Dalam ekonomi Islam, setiap tindakan mesti menyelaraskan empat nilai utama:
- Nilai Material: Pembangunan fizikal yang mampan.
- Nilai Spiritual: Kesedaran muraqabah (pengawasan Allah) dalam operasi industri.
- Nilai Moral: Integriti yang melampaui sekadar kepatuhan kontrak.
- Nilai Manusia: Memastikan nyawa dan maruah rakyat tidak dikorbankan demi margin keuntungan.
Aplikasi Prinsip Syarak
Prinsip ‘La darar wa la dirar’ (tidak boleh membahayakan dan tidak boleh membalas bahaya) menetapkan piawaian mutlak bagi industri. Dalam konteks jerebu, syarikat tidak boleh menggunakan hujah “kos operasi yang tinggi” atau “kepentingan ekonomi” sebagai alasan untuk menghalalkan pencemaran. Sebarang kemudaratan wajib dihentikan serta-merta tanpa kompromi material.
Manusia adalah khalifah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi, bukannya pemusnah. Surah Al-Rum: 41 menyatakan: “Telah timbul kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia…” Ayat ini menegaskan bahawa krisis jerebu dan perubahan iklim adalah natijah sistem buatan manusia yang korup, yang memerlukan struktur penguatkuasaan nyata melalui institusi kehakiman Islam.
Sistem kehakiman Islam bukan bersifat reaktif, sebaliknya ia adalah benteng autonomi yang melindungi hak awam (alam sekitar) daripada pencerobohan korporat dan kecuaian pemerintah.
- Qadi al-Hisbah (Hakim Pemeriksa): Berbeza dengan agensi moden yang menunggu aduan, Hakim Hisbah bertindak secara proaktif . Beliau mempunyai kuasa autonomi untuk memeriksa kilang dan kawasan industri secara mengejut bagi memastikan kepatuhan terhadap piawaian alam sekitar tanpa perlu menunggu laporan mangsa.
- Qadi al-Khusamat (Hakim Pertikaian): Berfungsi menyelesaikan pertikaian antara mangsa pencemaran (rakyat yang terkesan jerebu) dengan pihak pencemar. Beliau memastikan pampasan bukan sekadar nilai wang, tetapi pembersihan total terhadap kerosakan ekosistem.
- Qadi al-Madhalim (Hakim Kezaliman): Merupakan institusi berkuasa tinggi yang boleh membatalkan keputusan pemerintah atau menghentikan operasi kilang milik kerajaan yang mencemarkan alam. Beliau adalah pelindung rakyat daripada kezaliman sistemik yang sering kali dilindungi oleh birokrasi politik. Keberkesanan struktur ini hanya boleh dicapai melalui peralihan sistemik yang menolak doktrin pertumbuhan tanpa batas.
Menuju Peralihan Sistemik
Urgensi untuk beralih daripada kerangka Kapitalisme ke arah solusi Islam tidak lagi boleh ditangguhkan. Perjanjian antarabangsa seperti COP15 atau protokol serantau yang lemah terbukti sekadar menjadi instrumen untuk melestarikan status quo hegemoni korporat. Langkah strategik ke arah peralihan ini merangkumi:
- Penghapusan Komodifikasi Pencemaran: Menghentikan serta-merta skim perdagangan karbon yang menghalalkan jenayah alam sekitar melalui pembelian kuota.
- Peralihan Metodologi Tanggungjawab: Menggantikan sistem berasaskan insentif pasaran kepada sistem berasaskan tanggungjawab moral dan perundangan Islam yang mutlak ( Strict Liability ).
- Institusi Hisbah Nasional: Mewujudkan badan pemantau industri dengan kuasa kehakiman mandiri yang mampu bertindak pantas tanpa campur tangan birokrasi politik atau pengaruh syarikat transnasional. Kesimpulannya, selagi dunia memuja pertumbuhan material tanpa had, alam sekitar akan terus menjadi korban.
Khatimah
Islam menawarkan jalan keluar yang menyeluruh melalui sistem yang menghargai alam sekitar sebagai amanah suci yang wajib dipertanggungjawabkan, bukannya komoditi yang boleh dijual beli demi keuntungan. Kegagalan instrumen konvensional dan perjanjian serantau seperti AATHP membuktikan bahawa krisis jerebu rentas sempadan tidak akan dapat diselesaikan selagi dunia terkepung dalam kerangka geopolitik negara-bangsa sekular yang kaku.
Oleh itu, solusi tuntas yang ditawarkan oleh Islam bukan sekadar perubahan dasar kosmetik, melainkan sebuah peralihan sistemik radikal melalui penubuhan Daulah Khilafah. Sebagai sebuah entiti politik Islam, Daulah tidak terikat dengan sempadan geografi yang kekal atau statik. Sempadannya bersifat dinamik dan sentiasa terbuka untuk menyatukan seluruh umat Islam di bawah kepimpinan seorang Khalifah.
Melalui struktur Khilafah ini, segala sekatan diplomatik dan kedaulatan sempadan buatan manusia yang selama ini melindungi korporat zalim dapat dileburkan secara total. Institusi kehakiman seperti Qadi al-Hisbah akhirnya akan mempunyai “taring” yang bebas untuk menguatkuasakan piawaian alam sekitar yang proaktif secara merentas wilayah tanpa dihalang oleh birokrasi politik. Malah, dasar luar Daulah yang berfokus kepada usaha aktif membawa mesej dakwah ke seluruh penjuru dunia akan memastikan model keadilan ekologi Islam ini disebarkan demi rahmat kepada seluruh umat manusia.
Sudah tiba masanya umat Islam bertindak di luar kotak penyelesaian konvensional. Selagi dunia memuja doktrin kapitalisme yang gilakan pertumbuhan tanpa batas, bumi akan terus tenat dikorbankan. Hanya dengan kembali kepada payung siyasah Islam yang berdaulat, ekosistem alam dapat dipulihkan dan manusia dapat menjalani kehidupan yang mampan di bawah keredaan-Nya.
Wallahu a’lam.