Luka Perjanjian Inggeris-Siam 1909 Tidak Akan Sembuh Selagi Tidak Ada Khilafah
Siri serangan bom serentak di 51 lokasi yang menggegarkan wilayah Selatan Thailand pada penghujung Ogos lalu sekali lagi membuka mata dunia terhadap luka lama umat Islam yang tidak pernah sembuh. Di sebalik tuduhan dan rentetan konflik yang berpanjangan itu, hakikat yang sering disembunyikan oleh musuh-musuh Islam adalah sejarah asal usul tanah tersebut. Wilayah-wilayah di Selatan Thailand, yang meliputi Patani, Yala, Narathiwat, Satun, dan sebahagian Songkhla merupakan sebahagian daripada tanah kaum Muslimin yang terjajah.
Penderitaan umat Islam di sana bermula sejak jatuhnya Kesultanan Islam Patani—sebuah kerajaan berdaulat yang dahulunya menaungi sebahagian besar wilayah-wilayah ini. Namun, percaturan terbesar yang memecahbelahkan umat Islam secara rasmi berlaku menerusi Perjanjian Inggeris-Siam (Perjanjian Bangkok) pada tahun 1909. Melalui perjanjian ini, kuffar penjajah British dan Siam telah melakar sempadan palsu secara sewenang-wenangnya untuk membahagikan penguasaan mereka ke atas Semenanjung Tanah Melayu. British mengambil Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, manakala wilayah Patani, Yala, Narathiwat, Songkhla, dan Satun diserahkan kepada Siam.
Kesan daripada Perjanjian 1909 ini amat tragis dan berpanjangan. Umat Islam yang dahulunya hidup bernaung sebagai satu entiti persaudaraan yang utuh di Tanah Melayu telah dipisahkan secara paksa oleh sempadan geografi ciptaan penjajah. Kaum Muslimin di wilayah-wilayah Selatan Siam ini dipaksa tunduk kepada dasar asimilasi yang zalim, di mana pendidikan Islam disekat, identiti dan bahasa ibunda cuba dipadamkan, serta tanah-tanah mereka dirampas.
Keadaan bertambah buruk apabila kerajaan Siam di bawah Perdana Menteri Plaek Phibunsongkhram memperkenalkan dasar Ratthaniyom (Dekri Budaya) bermula lewat 1930-an. Dasar chauvinis ini bertujuan memaksa asimilasi kebudayaan secara total ke atas seluruh rakyat bagi membentuk satu identiti kebangsaan tunggal berteraskan nilai Buddha dan budaya Thai. Ia merupakan pelan terancang rejim kuffar untuk melenyapkan langsung identiti Islam yang telah sekian lama mengakar di wilayah tersebut.
Akibat dasar Ratthaniyom ini, umat Islam di Selatan Thailand berhadapan dengan penindasan perundangan, kebudayaan, dan pemikiran. Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi serta sistem pendidikan Islam disekat, syiar-syiar Islam cuba dihapuskan, malah kaum Muslimin dipaksa menukar nama mereka kepada nama Siam. Lebih memburukkan keadaan, Mahkamah Syariah yang menguruskan sedikit sebanyak hal ehwal penduduk Muslim telah dimansuhkan dan digantikan secara paksa dengan perundangan sivil Thailand.
Kemelut Berpanjangan Natijah Sempadan Negara Bangsa
Dalam dekad-dekad mutakhir, rintihan dan perjuangan menuntut kembali hak di wilayah-wilayah ini terus dibalas dengan kekerasan rejim, menyebabkan darah umat Islam tumpah dari semasa ke semasa di tanah sendiri. Kezaliman ini memuncak dalam lipatan sejarah hitam Tragedi Takbai pada 25 Oktober 2004, yang berlaku sewaktu kaum Muslimin sedang berpuasa di bulan Ramadan.
Tragedi bermula apabila umat Islam berhimpun secara aman di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi menuntut pembebasan enam saudara mereka yang ditahan secara zalim. Namun, rejim Thai membalasnya dengan tembakan peluru hidup. Umat Islam yang sedang berpuasa itu dipukul, dipaksa membuka baju dan meniarap dengan tangan diikat ke belakang, lalu diangkut dan dihimpit secara bertindih di dalam trak tentera ibarat bongkahan kayu.
Akibat kezaliman di luar batas kemanusiaan ini, seramai 85 nyawa terkorban, di mana 78 daripadanya mati kelemasan dalam perjalanan ke Kem Inkayuthaboriharn. Walaupun lebih dua dekad telah berlalu, tiada seorang pun penjenayah tentera yang dihadapkan ke muka pengadilan, membuktikan betapa murahnya nyawa umat Islam diperlakukan sedemikan rupa oleh golongan kuffar.
Sehingga kini, aspirasi perjuangan di bumi Selatan Thailand terus bergema biar pun perlahan. Baru-baru ini, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang dikatakan kumpulan pemisah terbesar di sana, telah menyuarakan tuntutan hak perintah sendiri (autonomi) ke atas tiga wilayah bergolak (Pattani, Yala, dan Narathiwat).
Mereka mengusulkan sebuah pentadbiran perkongsian kuasa yang merangkumi pelantikan seorang wali al-amri beragama Islam, sebuah majlis syura, dan sistem kehakiman mahkamah syariah. Isu ketidakadilan pengagihan kekayaan sumber asli juga dibangkitkan, khususnya hasil gas di perairan Selatan Thai yang dikongsi dua pihak antara kerajaan Thailand dan Malaysia, tanpa mempertimbangkan penduduk yang berada di wilayah tersebut.
Di pentas diplomatik pula, kerajaan Malaysia telah agak lama memainkan peranan sebagai fasilitator atau orang tengah dalam Proses Dialog Damai Selatan Thailand. Beberapa siri rundingan yang mempertemukan wakil Kerajaan Diraja Thailand dan kumpulan-kumpulan pejuang, khususnya BRN, diatur di Kuala Lumpur.
Walau bagaimanapun, peranan Malaysia sebagai perantara ini hakikatnya masih terbelenggu dengan kerangka persahabatan negara-bangsa dan ikatan sempadan penjajah. Rundingan demi rundingan ini hanya mencari kompromi yang tetap mengiktiraf kedaulatan dan perlembagaan Thailand ke atas tanah ‘Usyriyyah tersebut, dan bukannya bertindak sebagai perisai umat Islam yang bersungguh-sungguh ingin membebaskan wilayah yang dizalimi, yang dulunya merupakan sebahagian daripada Tanah Melayu.
Dari satu sudut, keinginan kaum Muslimin di wilayah ini untuk ditadbir oleh pemimpin beragama Islam dan memiliki mahkamah syariah menunjukkan yang fitrah keimanan masih wujud dalam diri mereka. Namun, sebagai Muslim yang wajib memandang setiap isu dari sudut pandang syarak, persoalan yang harus ditanya ialah, adakah tuntutan autonomi atau rundingan damai di bawah kerangka negara kufur (Thailand) ini merupakan solusi yang menepati thariqah (metode) Islam?
Masa Hadapan Umat Islam
Sesungguhnya wilayah Selatan Thailand merupakan wilayah yang tidak terpisah daripada wilayah-wilayah Islam lainnya. Kesemua wilayah umat Islam ialah wilayah yang satu, dan wajib bersatu di bawah satu pemerintahan, satu pemimpin dan satu bendera. Oleh itu, penyelesaian masalah umat Islam di Selatan Thailand itu menuntut pembebasan sepenuhnya wilayah tersebut daripada penjajahan, tidak ubahnya dengan masalah umat Islam di Palestin.
Penyelesaian masalah wilayah Selatan Thailand tidak boleh diselesaikan melalui bingkai tuntutan autonomi dengan mewujudkan satu lagi “negara-bangsa”. Penyelesaiannya juga tidak boleh datang daripada perjuangan assabiyyah (nasionalisme). Perjuangan kemerdekaan di wilayah Selatan Thailand menuntut kaum Muslimin untuk memisahkan diri sepenuhnya daripada Thailand, lalu bergabung dengan wilayah kaum Muslimin lainnya di bawah bingkai negara Khilafah.
Penyatuan seluruh wilayah umat Islam ke dalam satu entiti negara adalah satu kewajipan syarie yang amat besar. Umat Islam adalah umat yang satu, Tuhan mereka satu, nabi mereka satu, dan kitab mereka satu, dan negara mereka juga satu. Allah (swt) berfirman:
إِنَّ هَـٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱعْبُدُونِ
“Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku” [Al-Anbiya’ (21): 92].
Dalam ayat yang lain, Allah (swt) secara tegas memerintahkan umat Islam bersatu dan mengharamkan perpecahan:
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai” [Ali Imran (3): 103].
Justeru, Muslim mana pun tidak boleh melihat dan membiarkan perjuangan saudara-saudara mereka di Selatan Thailand secara bersendirian, sebagaimana tidak diperbolehkan membiarkan perjuangan saudara-saudara mereka di Palestin sendirian. Sesungguhnya penderitaan yang dialami oleh kaum Muslimin di Selatan Thailand berakar umbi daripada satu punca utama: ketiadaan keinginan politik (political will) dari seluruh penguasa Muslim, khususnya Malaysia sendiri selaku pemilik asal wilayah tersebut, untuk mengambilnya kembali daripada kerajaan Thailand.
Sejak jatuhnya Khilafah pada 1924, tidak ada lagi institusi politik Islam yang menjaga dan melindungi umat Islam dan wilayah mereka. Maka, perjuangan umat Islam, termasuklah umat Islam yang ada di Selatan Thailand wajib digembleng ke arah menegakkan kembali Khilafah di pentas global, dan tidak seharusnya disempitkan dengan perjuangan bangsa atau tuntutan autonomi sendiri.
Insya Allah Khilafah akan tegak kembali dan penegakannya akan bermula di salah satu wilayah yang dikehendaki oleh Allah. Dengan tertegaknya Khilafah nanti, umat Islam akan memiliki seorang Khalifah yang bertindak sebagai junnah (perisai). Khalifah inilah yang akan memobilisasi tentera-tentera Islam untuk membebaskan setiap jengkal tanah kaum Muslimin yang dijajah, termasuklah seluruh wilayah Selatan Thailand, menerusi jalan jihad. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah (saw):
الإمام جنة يقاتل من ورائه ويتقى به
“Sesungguhnya al-Imam (Khalifah) itu adalah perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (menyokong) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya” [HR Muslim].
Aspirasi mulia umat Islam di Selatan Thailand untuk hidup secara holistik di bawah syariat tidak akan dapat direalisasikan secara hakiki menerusi meja rundingan atau apa sahaja rundingan damai di bawah sistem sekular atau kuasa autonomi yang masih berada dalam cengkaman rejim kuffar. Begitu juga dengan isu tuntutan ke atas sumber alam seperti gas dan minyak – di mana ia merupakan milkiyyah ‘ammah (harta milik umum) yang hanya akan dapat diuruskan secara adil dan saksama oleh Daulah Khilafah untuk dikembalikan manfaatnya kepada seluruh umat Islam.
Kesimpulan
Sesungguhnya penderitaan dan penindasan ke atas umat Islam tidak akan berakhir selagi umat ini tidak memiliki perisai yang akan menjaganya. Atas dasar itu, setiap Muslim wajib menyatukan tekad dan perjuangan untuk mengembalikan semula kehidupan Islam menerusi penegakan Daulah Khilafah. Hanya di bawah kibaran al-Liwa’ dan ar-Rayah, Selatan Thailand akan kembali merdeka bi izniLlah, dan akan bersatu teguh dengan seluruh wilayah Islam lainnya, dan Islam akan kembali memimpin dunia dengan rahmat serta keadilan.
Wallahu a’lam bish-shawab.