[SN698] Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan: Islah, Inqilabiyyah Dan Strategi Rasulullah SAW Dalam Membina Negara
Sambutan Maulidur Rasul SAW 1448H/2026M hadir hampir serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-69. Kedua-dua peristiwa ini sewajarnya membawa umat Islam kepada satu persoalan yang jauh lebih mendasar daripada sekadar sambutan, perarakan, slogan dan pengibaran bendera – apakah sebenarnya bentuk perubahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, dan sejauh manakah perjalanan politik umat Islam hari ini benar-benar mengikuti strategi baginda?
Dalam ucapan rasmi Maulidur Rasul pada 25 Ogos, PMX menyifatkan perjalanan daripada fasa Makkah menuju Madinah sebagai suatu proses “perubahan transformasi sosial, reformasi dan islah yang sangat bermakna” yang “tidak mengekalkan tahap yang lama”. Kenyataan ini mengandungi satu persoalan pemikiran yang sangat penting – adakah fasa dakwah Rasulullah SAW daripada Makkah menuju Madinah itu benar-benar suatu proses reformasi dan islah? Huraian berikut merupakan penjelasan kepada persoalan-persoalan dasar yang terkait dengan hal di atas.
1. Adakah Rasulullah Melakukan Islah?
Dalam ucapan rasmi Maulidur Rasul 2026, PMX menekankan pembentukan masyarakat yang mempunyai nilai, akhlak dan idealisme; menolak perkauman sempit, penindasan, rasuah serta penyelewengan; dan menjadikan masyarakat yang dibimbing Rasulullah sebagai contoh perubahan sosial. Sehari sebelumnya, beliau turut menyatakan bahawa strategi Rasulullah dalam membentuk pentadbiran baharu menjadi rujukan kepada usaha perubahan dan islah Malaysia.
Perkataan islah mempunyai kedudukan yang jelas dalam Islam. Akar katanya,ص -ل-ه, membawa makna baik, memperbaiki, mendamaikan dan menghilangkan kerosakan.
Nabi Syu’aib AS berkata:
“Aku tidak bermaksud kecuali melakukan pembaikan (al-islah) sedaya upayaku” [Surah Hud, 11:88]
Justeru, Rasulullah SAW sememangnya seorang muslih, yakni pembawa pembaikan manusia dan masyarakat. Namun persoalan politik yang tepat bukanlah sama ada Rasulullah melakukan islah atau tidak. Persoalannya adalah – apakah sifat islah baginda terhadap sistem jahiliah?
Semasa fasa dakwah di Makkah, baginda tidak memperbaiki penyembahan berhala supaya menjadi lebih tersusun tapi menyeru untuk meninggalkannya. Baginda tidak mengekalkan struktur sosial berasaskan kesukuan dengan sekadar menambahkan beberapa nilai Islam ke dalam kerangka sedia ada. Sebaliknya, baginda membina suatu bentuk ikatan sosial yang berteraskan akidah sebagai asas utama pembentukan masyarakat. Dalam aspek perundangan pula, baginda tidak meletakkan hukum ciptaan manusia sebagai autoriti tertinggi untuk kemudian disesuaikan dengan beberapa ketetapan Islam. Sebaliknya, wahyu dijadikan satu-satunya sumber rujukan tertinggi dalam menentukan prinsip, hukum dan tatacara yang mengatur kehidupan masyarakat.
2. Islah dan Inqilabiyyah: Mana Satu Sepatutnya?
Secara bahasa, islah membawa pengertian memperbaiki sesuatu yang rosak, menghilangkan kerosakan atau mendamaikan perselisihan. Dalam penggunaan syarak, ia merupakan konsep yang terpuji apabila pembaikan tersebut membawa manusia kepada ketaatan dan menghilangkan fasad.
Sebaliknya, perkataan Arab inqilab berasal daripada akar kata qalaba yang pada asasnya membawa makna membalikkan, mengubah atau menukar suatu keadaan kepada keadaan yang lain. Dalam perbahasan gerakan pemikiran kontemporari, istilah inqilabiyyah sering digunakan untuk menggambarkan perubahan yang bersifat mendasar atau menyeluruh dan bukan sekadar perubahan kosmetik pada cabang-cabang sistem.
Oleh itu, islah merujuk kepada usaha pembaikan yang dilakukan dalam kerangka atau struktur yang sedia ada dengan tujuan memperbetulkan kelemahan dan kerosakan yang terdapat di dalamnya. Sebaliknya, inqilabiyyah merujuk kepada perubahan yang lebih mendasar, iaitu perubahan terhadap asas pemikiran, sistem nilai, sistem pemerintahan dan struktur politik apabila asas-asas tersebut dianggap bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.
Oleh sebab itu, apabila sirah Rasulullah SAW dibaca melalui kerangka yang tepat, perubahan baginda bersifat mendasar – daripada dominasi pemikiran jahiliah kepada akidah Islam; daripada kesetiaan kesukuan kepada ikatan mabda Islam; dan akhirnya daripada masyarakat tanpa pemerintahan Islam di Makkah kepada pemerintahan yang menjadikan wahyu sebagai sumber pengaturan masyarakat di Madinah. Allah SWT mengingatkan:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” [Surah al-Ra’d, 13:11]
Dengan itu, perubahan Islam bermula daripada manusia dan pemikirannya, tetapi tidak berhenti pada individu. Ia mempunyai implikasi terhadap masyarakat, hukum dan pemerintahan.
3. Bagaimana Rasulullah Membina Negara?
Pada fasa Makkah, Rasulullah SAW membina kelompok sahabat berdasarkan akidah. Mereka dididik dengan al-Quran sehingga lahir generasi yang memiliki pandangan hidup yang berbeza daripada masyarakat jahiliah.
Seterusnya, dakwah berkembang daripada pembinaan individu dan kelompok kepada seruan terbuka dalam masyarakat. Dalam fasa ini, al-Quran mencabar asas-asas pemikiran dan amalan masyarakat jahiliah, termasuk syirik, penyelewengan dalam kegiatan ekonomi, pembunuhan anak, ketidakadilan sosial, kebanggaan berasaskan keturunan, serta dominasi golongan pembesar yang menolak kebenaran.
Oleh itu, pertembungan yang berlaku tidak boleh difahami semata-mata sebagai perselisihan dalam aspek ritual keagamaan, tetapi sebagai pertentangan yang lebih mendasar antara dua pandangan hidup, sistem nilai dan asas serta sistem pengaturan masyarakat keseluruhan yang berbeza. Firman Allah:
“Katakanlah: Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua.” [Surah al-A’raf, 7:158]
Seterusnya Rasulullah SAW mencari perlindungan dan sokongan bagi dakwah. Peristiwa Bai’atul Aqabah menjadi titik penting sehingga terbuka jalan kepada Hijrah. Selepas Hijrah, Madinah bukan sekadar tempat berlindung bagi umat Islam. Di sanalah Rasulullah SAW mula melaksanakan fungsi kepimpinan politik, kehakiman, pentadbiran, pertahanan, hubungan luar dan pengaturan masyarakat mengikut aturan Islam sepenuhnya. Inilah metodologi gerakan perubahan yang dibina berdasarkan perjalanan Rasulullah dari Makkah hingga pembentukan pemerintahan Madinah.
4. Adakah Rasulullah SAW Membina “Nation-State”?
Mengatakan dan mengaitkan Rasulullah SAW membina sebuah “nation-state” dalam pengertian politik moden merupakan suatu anakronisme sejarah. Konsep nation-state moden berkembang berabad-abad selepas zaman Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memang membentuk suatu komuniti politik yang mempunyai pemerintahan di Madinah, tetapi ia tidak dibina atas doktrin bahawa satu bangsa tertentu mempunyai kedaulatan mutlak untuk menentukan hukum kehidupannya.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya umat kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku” [Surah al-Anbiya’, 21:92]
Islam juga mengakui kewujudan bangsa dan suku, tetapi tidak menjadikannya ukuran kemuliaan manusia:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa” [Surah al-Hujurat, 49:13]
Maka kewujudan bangsa Melayu, Arab, Cina, India, Turki, Kurd, Parsi dan lain-lain tidak dinafikan Islam. Yang ditolak adalah apabila bangsa dijadikan asas tertinggi kesetiaan politik dan sumber penentuan hukum mengatasi wahyu.
Oleh itu, Islam mengemukakan konsep umat Islam yang bersifat transnasional dan menolak nation-state sebagai asas kesatuan politik umat. Atas dasar tersebut, Daulah Islam atau Khilafah dibezakan secara konseptual daripada model negara-bangsa moden. Dalam kerangka ini, asas utama ikatan politik ialah akidah Islam dan kewarganegaraan dalam negara, bukannya kesamaan etnik atau bangsa.
5. Rasulullah SAW Sebagai Ittiba’
Cinta kepada Rasulullah bukan sekadar memperbanyakkan selawat sementara sunnah baginda dipisahkan daripada kehidupan masyarakat. Allah SWT tidak memerintahkan umat Islam sekadar mengagumi Rasulullah, bahkan wajib benar-benar mengikuti (ittiba’) baginda.
Firman Allah SWT:
“Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu” [Surah Ali ‘Imran, 3:31]
Allah SWT juga berfirman:
“Apa yang diberikan Rasul kepada kamu maka ambillah, dan apa yang dilarangnya bagi kamu maka tinggalkanlah” [Surah al-Hashr, 59:7]
Rasulullah SAW bersabda bahawa seseorang belum sempurna imannya sehingga kecenderungannya mengikuti apa yang baginda bawa secara keseluruhan. Secara prinsipnya, seorang Muslim tidak bebas mengambil sebahagian ajaran Rasulullah yang sesuai dengan kehendaknya kemudian meninggalkan sebahagian yang lain.
Khatimah
Maulidur Rasul sewajarnya menjadi medan umat Islam menilai kembali makna sebenar ittiba’ kepada Rasulullah SAW. Maulidur Rasul tidak terhenti pada perarakan, tetapi diterjemahkan melalui penghayatan dan perlaksanaan kehidupan Rasulullah SAW secara menyeluruh. Manakala strategi baginda mestilah dijadikan rujukan, keseluruhan perjalanan dakwahnya mesti diikuti – dari pembinaan generasi berasaskan al-Quran, penyatuan umat atas akidah, penentangan terhadap pemikiran jahiliah, Hijrah, pembentukan pemerintahan di Madinah hingga pengaturan masyarakat berasaskan wahyu. Maka di sinilah wujudnya perbezaan mendasar antara reformasi dalam kerangka negara-bangsa berbanding perubahan menyeluruh menuju kehidupan Islam serta penyatuan politik umat di bawah payung Khilafah ala Minhaj Nubuwwah.
Oleh itu, kecintaan kepada Rasulullah SAW wajib diterjemahkan melalui ittiba’ dan ketaatan kepada risalah yang baginda bawa. Ittiba’ menuntut lebih daripada kekaguman; ittiba’ menuntut ketaatan. Asas yang menyatukan manusia daripada pelbagai bangsa adalah akidah yang membentuk persaudaraan dan syariat yang menegakkan keadilan. Justeru, antara pengajaran utama daripada peringatan Maulidur Rasul adalah keperluan umat Islam menjadikan akidah, syariat dan petunjuk wahyu sebagai kerangka rujukan dalam mengatur kehidupan individu, masyarakat, pemerintahan dan pembinaan negara. Kerangka inilah yang sewajarnya dijadikan ukuran dalam menilai sebarang gagasan perubahan atau pembaharuan yang dikaitkan dengan strategi dan manhaj Rasulullah SAW.
Wallahu a’lam.
#MuhasabahMaulidurRasul #maulidurrasul