Perbuatan, Pemikiran dan Perasaan Adalah Cerminan Keimanan
Oleh: Rahmah
Aktivis Muslimah Malaysia, Ustazah Husna menyatakan bahawa perbuatan, pemikiran dan perasaan adalah cerminan keimanan seseorang.
“Perbuatan, pemikiran dan perasaan yang selari adalah cerminan keimanan Muslim sejati. Itulah standard yang Allah bagi,” katanya dalam program Tautan Hati bertajuk Pemikiran, Perbuatan, Perasaan; Seiring dan Sejalan, Sabtu (19/9/2026).
Menurutnya, seorang Muslim sejati tidak akan membiarkan pemikiran, perasaan dan perbuatannya bertentangan dengan syariat Islam malah sentiasa menyerahkan seluruh urusan kehidupannya kepada Allah Ta’ala.
“Dalam Islam, kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah Ta’ala. Ibadah, hidup mati, urusan kehidupan semuanya kepada Allah tapi bila mana kita berkelakuan tidak sesuai dengan syariat Islam, maka dah tak menjadi selarilah pemikiran, perasaan dan perbuatan itu tadi. Jadi macam mana Allah nak mengakui kita sebagai Muslim yang sejati?” soalnya.
Beliau berkongsi tiga perkara bagaimana menjadikan pemikiran, perbuatan dan perasaan agar selari.
Yang pertama, mencari ilmu sebelum melakukan perbuatan. Beliau menjelaskan bahawa sebelum beramal, seseorang perlulah menuntut ilmu agar amalannya sesuai syariat Islam kerana amal tanpa ilmu akan menyebabkan seseorang melakukan banyak kerosakan.
“Sebelum kita nak melakukan sesuatu amalan itu, kita mesti ada ilmu. Kalau kita tak ada ilmu, macam mana kita nak beramal. Imam Hasan al-Basri rahimahullah ada menyatakan orang yang beramal tanpa ilmu seperti orang yang berjalan bukan pada jalan yang sebenarnya dan kerosakan yang dilakukannya lebih banyak daripada apa yang diperbaikinya,” terangnya.
Tambahnya lagi, seseorang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya telah melakukan ketaatan dan mendapat dua kebaikan di sisi Allah Ta’ala.
“Kalau seorang itu beramal, pasti sebelum itu menuntut ilmu kan, kemudian beramal. Jadi, di sisi Allah dia mendapat dua kebaikan. Satu kerana dia menuntut ilmu, kedua kerana dia beramal dengan ilmu yang dituntut,” katanya.
Kedua, menundukkan pemikiran dan perbuatan kepada peraturan Islam. Beliau menjelaskan sekiranya seseorang tidak mengikut perintah Allah, hakikatnya seseorang itu mengikuti hawa nafsu semata-mata.
“Kita ini kalau tak ikut perintah Allah, kita mengikut hawa nafsu. Contoh dalam sistem sekular, pemisahan antara agama dan kehidupan. Jadi konsepnya kita boleh beribadah tapi dalam soal kehidupan itu manusia yang uruskan. Contohnya, dalam pergaulan sistem sekular, ada freedom in action. Macam sekarang kita lihat LGBT, ada fahaman yang mengatakan seseorang itu dia bebas isytihar diri dia, apa yang dia rasa. Sedangkan dalam Islam orang lelaki yang menyerupai perempuan ada hukumnya,” tegasnya.
Yang ketiga, menghadirkan perasaan sesuai tuntunan Islam. Ustazah Husna menjelaskan bahawa seorang Muslim bukan sekadar melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah namun hendaklah menghadirkan rasa tidak keberatan dan senang hati sebagai bukti sempurnanya keimanan.
“Bila kita buat apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang, dan kita merasa senang hati untuk beramal dengan apa yang diperintahkan tadi, baru sempurna iman. Seandainya kita ikut tapi kita tak redha dalam hati, belum sempurna lagi iman,” terangnya.
Lanjutnya, “Kalau kita dengar syariah, kalau dengar Allah larang sesuatu, kita sami’na wa ato’na bukan sebaliknya. Seolah kita tak redha walaupun ia datang dari Allah.”
Beliau menyimpulkan pentingnya memahami kesinambungan daripada selarinya pemikiran, perbuatan dan perasaan kerana semuanya berhujung kepada ketaatan kepada Allah hingga layak berbahagia dengan ganjaran syurgaNya.
“Di sebalik hukum syarak, ada pahala dan ampunan dosa. Di sebalik ampunan dosa, ada syurga. Dan di sebalik syurga, ada bahagia dan berbahagialah ketika taati hukum syarak kerana kita sedang dalam jalan menempuh syurga,” simpulnya. []
#Iman