Zikir Ketika Masuk Rumah
Disunatkan membaca “Bismillah” (dengan menyebut nama Allah), memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT serta mengucapkan salam, sama ada di dalam rumah tersebut ada orang ataupun tidak.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِذَا دَخَلْتُمْ بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنْفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً
“Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.”
(TMQ an-Nur [24]: 61).
Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW berkata kepadanya:
“Wahai anakku, apabila engkau menemui keluargamu, ucapkanlah salam. Nescaya salam itu membawa keberkatan untukmu dan seluruh ahli rumahmu.”
Diriwayatkan dalam Sunan Abi Dawud daripada Abu Malik al-Asy‘ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا وَلَجَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلِجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ، بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا، ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ
“Apabila seseorang masuk ke rumahnya, hendaklah dia berdoa:
Allahumma inni as’aluka khairal-mauliji wa khairal-makhraji, bismillahi walajna, wa bismillahi kharajna, wa ‘alallahi rabbina tawakkalna.
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk, dengan nama Allah kami keluar, dan kepada Allah, Tuhan kami, kami bertawakal.)
Kemudian hendaklah dia mengucapkan salam kepada keluarganya.”
Kami juga meriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ada tiga golongan yang semuanya mendapat jaminan daripada Allah SWT: … antaranya seseorang yang masuk ke rumahnya dengan mengucapkan salam, maka dia mendapat jaminan daripada Allah SWT.”
Maksudnya, orang tersebut berada dalam penjagaan dan pemeliharaan Allah SWT. Betapa besarnya kurniaan ini. Ya Allah, anugerahkanlah perkara tersebut kepada kami.
Sumber: Al-Adzkar – Imam Abu Zakaria an-Nawawi
#DoaMasukRumah #BaitiJannati